Hasil pengamatan penulis, ada dalam kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) mereka terlalu ingin menjadi penyampai pertama atau first informer dari sesuatu headline tanpa meneliti kesahihan sumber.

Justeru, dalam tempoh 60 saat sahaja telah membuat ‘kesimpulan awal’. Lantas, menghantar kepada rakan-rakan group Whats­App, Facebook, Twitter dan WeChat atau media sosial lain kerana ghairah menjadi ‘pemberita pertama’. Yang penting siapa dulu menjadi penyampai pertama dalam kala­ngan rakan. Amat berbahaya budaya ‘menggegarkan maklumat’ seumpama ini.

Dan realitinya dalam mengha­rungi cabaran suasana politik semasa, mana-mana parti politik atau ahli politik itu sendiri memerlukan model ‘perang’ media yang berkesan.

Baik parti kerajaan mahupun pembangkang, mereka perlukan strategi dan taktik dalam memahami cause and effect. Ini antaranya mengetahui risiko setiap tindakan dan penyampaian semasa berkempen. Maklumat mesti cukup sensasi untuk memastikan terus menuju ke sasaran pengundi.

Perang media atau media warfare adalah satu disiplin ilmu merangkumi kajian perihal pe­nggunaan media bagi tujuan pe­nyaluran maklumat sebagai instrumen yang efektif. Ia bagi membina reputasi dan kredibiliti seseorang atau kumpulan untuk mencapai hasrat jika dikuasai de­ngan baik.

Se­jak terciptanya World Wide Web, 28 tahun lalu, disiplin ini merubah cara seseorang berkomunikasi. Impak ketara dapat dirasai terutamanya dalam ekonomi dan politik.

Benar, sekarang kita sudah tidak dapat pisahkan apa-apa da­ri media sosial, termasuk juga politik. Kebanyakan dalam kala­ngan orang politik lama mungkin masih ingat bagaimana berpolitik sebelum wujudnya internet.

Tetapi kini ada gene­rasi baharu yang sejak kecil telah diajar untuk menyalurkan informasi se­cara online. Generasi ini tidak akan ingat berpolitik cara dulu. Jadi, kita harus bersedia menghadapi perang politik berpentaskan media sosial bersama generasi baharu ini.

Jika 50 tahun dahulu, sesuatu berita walau sensasi mana pun akan hanya dapat sampai kepada pembaca melalui surat khabar keesokan paginya. Bagi sesete­ngah kawasan pedalaman pula, berita yang sama akan mengambil masa sedikit lama sampai ke pengetahuan umum. Kini gambar, video dan berita sensasi yang diambil di sesuatu tempat kejadian boleh dikongsi serata dunia selang beberapa saat sahaja.

Semua ini mampu dilakukan melalui penggunaan media, khu­sus­nya media sosial. Bayangkan apa yang boleh berlaku di arena politik tatkala pilihan raya. Pe­rang politik menggunakan media sosial pasti ada impak keberkesanannya.

Presiden Amerika Syarikat, Do­nald J Trump ialah contoh terbaik dalam penggunaan media sosial. Walaupun dianggap underdog, kempen politik Trump melalui media sosial berjaya me­numpaskan Hillary Clinton. Ke­menangan beliau berkisar pada perancangan yang rapi oleh pekerja kubu kuat Trump dan mengejutkan penganalisis politik di seluruh dunia.

Penggunaan media sosial oleh Trump secara konsisten dalam menyampaikan retorik politik amat berkesan sehingga media arus perdana Amerika Syarikat seperti CNN, CNBC, ABC, CBS dan sebagainya melabelkan retorik kempen Trump sebagai satu kempen no holds barred dan menjadi berita utama dalam kebanyakan laporan berita.

Strategi Trump bersama media arus perdana dan media sosial begitu popular hingga beliau sewenang-wenang melabel lawan dengan bahasa sempit dan keras. Pengalaman sebagai ahli perniagaan digunakan sebaiknya oleh Trump bagi close the deal dalam meraih sokongan pengundi.

Umum mengetahui dunia po­litik penuh dengan persepsi serta tanggapan yang berbeza. Pada PRU-14 akan datang, tentunya penelitian siapa bakal berjaya mempengaruhi pengundi sebenarnya berpusat bagaimana penggunaan media sosial dan strategi taktikal seseorang dalam menyampaikan retorik kempen masing-masing.

Lantas, penyaluran dan sikap mencari maklumat dalam kala­ngan masyarakat di Malaysia dilihat sebagai kritikal. Malah lebih kritikal adalah kualiti maklumat bagi memenuhi keperluan dalam membuat keputusan. Selain media sosial yang tersedia di tangan, media arus perdana juga penting. Media arus perdana amnya tidak mungkin meluluskan ucapan-ucapan sensasi dan kontroversi pihak lawan.

Dengan itu pihak lawan dilihat akan menggunakan dua kaedah ucapan yang lebih straightforward dan no holds barred.

Maksudnya, retorik mereka con­dong ke arah nothing to lose but everything to gain. Akan ada calon yang akan berkata, apa sahaja yang difikirkan perlu asalkan ia terlebih sensasi dan mendapat liputan media. Pastinya, akan ada yang lebih provokatif, kontroversi dan sensasi supaya petikan kata-kata dimuatkan dalam media arus perdana dan disebarkan.

Apa yang ingin dicadangkan adalah strategi yang digunakan harus jelas dalam aliran informasi kempen dari satu media ke media lain dan dari satu pentas khalayak ke pentas khalayak yang lain. Retorik kempen harus tepat pada waktu, tempat, topik dan audience. Seperti Trump, beliau sendiri berada di sebalik tadbir bersama pasukan jenteranya merancang kempen perang media dengan teliti.

DATUK MOHD. NIZAR SUDIN ialah Penganalisis Politik merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).