Lebih membimbangkan terdapat rancangan tidak ditapis atau tidak diluluskan oleh kerajaan Malaysia disediakan untuk penonton yang mungkin boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat seperti menyumbang kepada masalah jenayah, maksiat dan akidah.

Kanak-kanak adalah golongan paling terkesan dengan keadaan ini disebabkan sifat mereka yang mudah terpengaruh dengan apa dilihat terutamanya apabila melihat cerita animasi (kartun).

Rancangan seperti Superwings, Alvin and The Chipmunks, Pickle & Peanut, Maruku Can, Crayon Sinchan dan Ninja Boy Rantaro adalah antara animasi luar negara yang cukup diminati kanak-kanak. Ramai beranggapan animasi ini adalah hiburan semata-mata dan bagus untuk perkembangan kognitif dan sosial.

Walaupun ada antara animasi itu membawa mesej dan pe­ngaruh positif, namun harus diberi perhatian kepada ibu bapa untuk menilai kesesuaian watak, budaya dan elemen lain dari sudut pembangunan sahsiah dan jati diri kanak-kanak tersebut.

Kajian dilakukan di Amerika Syarikat (AS) mendapati semua jenis animasi adalah faktor utama dalam pembentukan jati diri atau personaliti kanak-kanak di negara tersebut yang mana personaliti adalah antara elemen penting sebagai pengiktirafan terhadap kewujudan dan kehebatan sesuatu bangsa dan mencerminkan nilai dibawa oleh bangsa tersebut.

Rancangan animasi memberi kesan ke atas gelagat dan sikap kanak-kanak seperti cara berkomunikasi, bahasa, adab dan tingkah laku dan cara berpakaian. Namun kesan animasi sama ada positif atau negatif perlu dilihat kepada animasi secara individu atau spesifik.

Aspek pertama iaitu pertuturan atau komunikasi. Dari sudut positif, animasi yang ditayangkan membantu dalam penguasaan bahasa Inggeris dari aspek pertuturan, dialek dan pemahaman.

Malah turut membantu kemahiran bertutur dalam bahasa Melayu khususnya bagi kaum yang mempunyai bahasa pertuturan mereka sendiri (selain bahasa Melayu), manakala dari sudut negatif, terdapat kanak-kanak yang menukar dialek dan slang bahasa mengikut percakapan dari luar negara yang secara perlahan-lahan mengikis personaliti bahasa anak Malaysia.

Aspek seterusnya melihat kesan animasi ke atas tingkah laku dan adab. Animasi mendedahkan kanak-kanak dengan pelbagai sikap dan sifat positif seperti toleransi, tolak ansur, berunding dan mampu mengawal emosi diri ketika berdepan dengan orang sekeliling. Sebagai contoh animasi Robocar Poli dan Superwings menunjukkan nilai murni dalam pergaulan seharian seperti saling membantu, tidak mementingkan diri dan nilai persahabatan sebagaimana dititikberatkan dalam masyarakat Malaysia.

Namun animasi juga memberikan kesan negatif dalam aspek ini. Mengambil contoh animasi Alvin and The Chipmunks, kanak-kanak kecil memanggil nama ayahnya ‘Dave’ dan animasi Pickle and Peanuts yang menyebut perkataan dan aksi lucah.

Dalam contoh lain, watak Maruko dalam animasi Maruko Can yang suka memaksa orang tuanya mengikut kehendaknya dan memberontak jika permintaan­nya tidak dipenuhi. Ini sama sekali bertentangan dengan budaya Malaysia dan prinsip Rukun Negar kelima, iaitu kesopanan dan kesusilaan.

Kesan negatif yang ketara adalah perlakuan aksi ganas kanak-kanak terhadap rakan mereka selepas melihat adegan berlawan di dalam animasi dengan meniru teknik dan kemahiran berlawan ditayangkan dalam program animasi yang dilihat.

Kesan animasi juga dapat dilihat terhadap pengaruh pemakaian. Pakaian adalah identiti sesuatu karektor dan melambangkan sesuatu bangsa. Watak animasi dari luar negara menampilkan imej dan budaya mereka yang tidak sesuai untuk masyarakat Malaysia yang lebih mementingkan aurat dan kesopanan. Contohnya, animasi Digimon dan Pokemon, karektor wanitanya berpakaian seksi yang menayangkan organ feminin mereka secara terbuka dalam hampir setiap episod.

Senario hari ini juga dapat melihat kanak-kanak perem­puan khususnya lebih tertarik memakai gaun seperti watak Elsa dalam animasi Princess berban­ding memakai baju kebangsaan seperti baju kurung, cheongsam mahupun sari.

Secara keseluruhannya, terdapat animasi kartun luar negara yang memberi kesan positif dan negatif, namun kesan ini perlu dinilai oleh ibut bapa dengan melihat animasi tersebut secara individu.

Dengan ketersediaan ranca­ngan animasi di pelbagai platform selain televisyen, ibu bapa harus bijak memilih dan mengawal ranca­ngan kartun yang bersesuaian agar animasi ini tidak hanya bersifat hiburan semata, tapi turut menyumbang kepada pembentukan personaliti anak-anak.

PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Mualamat, Universiti Sains Islam 
Malaysia (USIM).