Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang berpandangan, kejayaan usaha tersebut amat bergantung kepada kerjasama semua pihak di negara ini. Beliau turut berkongsi harapannya untuk memperkasakan peranan Dewan Negara ke arah pembangunan negara bangsa. Ikuti wawancara wartawan Utusan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan jurugambar, SAIFOL BAHARI ASHARI bersama Abu Zahar di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

UTUSAN: Pandangan Tan Sri secara umum tentang situasi dan cabaran sosioekonomi serta politik yang dihadapi negara?

ABU ZAHAR: Kita bersyukur kerana negara ini mencapai banyak kemajuan sejak merdeka. Namun, selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), situasi geopolitik negara kita banyak berubah. Bukan lagi menjurus kepada kepentingan ekonomi, keharmonian dan kesejahteraan negara. Masuk unsur-unsur yang cuba menjejaskan sistem demokrasi berparlimen.

Teguran yang membina, kita terima. Tetapi jangan membuat kri­­tikan yang menghancurkan. Cari jalan untuk menyelesaikan masalah dan bukannya menambah masalah. Jangan menodai undang-undang untuk mencapai matlamat dan kepentingan masing-masing manakala pada masa sama, membelakangkan keharmonian dan kesejahteraan rakyat.

Saya tidak menyukai sama sekali perbuatan memfitnah. Malangnya, kegiatan memfitnah itu kini seolah-olah sudah menjadi lumrah, saban hari berlaku tanpa mengira akibatnya. Keadaan ini akan menjejaskan kestabilan politik sekali gus menjauhkan pelabur asing daripada negara ini.

Malaysia dihuni oleh masyarakat majmuk dan berbilang bangsa. Kita hidup aman damai sejak 1957 hingga sekarang. Namun, mengapa sejak akhir-akhir ini berlaku polarisasi kaum?

Kadang-kala orang politik juga yang memainkan isu tersebut. Polemik ini perlu dikurangkan. Fikirkan tentang pembinaan negara bangsa. Rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini sepatutnya mengetepikan ideologi ekstremisme dan cauvinisme. Fikirkan tentang untung nasib generasi akan datang.

Bagaimana pula pandangan Tan Sri dari segi kesiapsiagaan negara dalam menghadapi gejala ekstremisme?

Isu agama, kepercayaan dan politik kalau tidak dibendung boleh mengancam keselamatan negara. Perpaduan juga amat penting. Apabila perpaduan kita goyah dan masyarakat mula cenderung memihak puak tertentu, mereka lebih mudah terpengaruh. Contohnya, orang Islam yang pe­ma­haman agamanya cetek dan terpengaruh ajaran sesat, mereka sanggup menjadi anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) dan sebagainya.

Ini menunjukkan sebahagian anggota masyarakat hari ini dipengaruhi unsur-unsur yang tidak baik dan berniat jahat. Rakyat khususnya golongan muda mesti memahami sejarah perjuangan negara. Jangan hanya mengikut apa yang disebarkan melalui media sosial seperti Facebook sehingga undang-undang pun tidak dipedulikan.

Apakah langkah yang boleh diambil bagi menangani cabaran yang timbul terhadap Perlembagaan Persekutuan?

Saya sering mengingatkan kepada semua Ahli Dewan Negara agar sentiasa mematuhi dan menghormati Perlembagaan Persekutuan. Kalau tidak memahaminya, mereka tidak layak menjadi Senator.

Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sememangnya dijamin dalam Perlembagaan manakala agama lain bebas untuk diamalkan di negara ini secara aman dan harmoni. Perkara ini telah diterima pakai oleh masyarakat sejak dahulu lagi melalui kontrak sosial. Tetapi, mengapa isu-isu ini dibangkitkan sekarang?

Perkara 151, 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan sudah lama wujud. Apa rasionalnya kaum bumiputera diberi keistimewaan? Ada sebabnya. Jika tidak, tragedi 13 Mei 1969 mungkin berulang.

Tragedi itu berlaku ekoran perbuatan ahli politik yang kadangkala bersikap perkauman dan ekstrem dengan mencaci serta mengguris sensitiviti kaum lain. Semua kaum tak suka diperlekehkan lebih-lebih lagi bumiputera.

Saya menyaksikan sendiri tragedi tersebut semasa bertugas sebagai pegawai polis dan saya tidak sanggup melihat ia berulang. Sebab itu negara kita mempunyai undang-undang seperti Akta Hasutan 1948. Bercakap itu ada hadnya, tidak boleh hendak melepaskan geram masing-masing sahaja. Sebarang perhimpunan atau rapat umum mestilah mengikut lunas undang-undang. Selagi undang-undang itu wujud dan berkuatkuasa, rakyat mesti terima.

Bagaimana Tan Sri melihat peranan wakil rakyat da­lam usaha membina negara?

Saya hendak melihat pembangkang yang sihat dan memberi pandangan yang membina. Saya pernah menyaksikan perbahasan bajet di Diet (Parlimen) Jepun. Saya terpegun apabila melihat Ketua Pembangkang di sana berhujah dengan penuh hormat, tertib dan bersopan santun namun pada masa sama, menyuarakan pandangannya secara terbuka. Pada masa itu, saya bertanya kepada diri sendiri: Bilakah perkara sama akan berlaku di Parlimen Malaysia?

Ahli Parlimen di negara ini perlu beradab, sopan dan tertib. Ini budaya kita. Soal membina negara bangsa adalah sangat penting dan semua pihak mesti memikul tanggungjawab ini. Setiap Ahli Parlimen, tanpa mengira sesiapapun, mesti mempunyai hasrat untuk membina negara bangsa. Tetapi saya risau apabila melihat keadaan dalam Parlimen hari ini yang tidak menghormati langsung decorum (kesopanan). Saya rasa sedih kerana kualiti Ahli Parlimen kita menurun, tanpa mengira sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang.

Pihak tertentu membantah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) kerana kata mereka, undang-undang seperti itu bersifat drakonian. Komen Tan Sri?

Dahulu, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pun mereka kata undang-undang drakonian. Tetapi tanpa ISA, kita tidak akan dapat menikmati apa yang kita ada sekarang. Semua undang-undang itu berunsur pencegahan. Kalau kita tiada kuasa ini, negara boleh jadi huru-hara. Yang menentang undang-undang tersebut adalah golongan minoriti. Bila undang-undang sudah diluluskan, mereka ikutlah dahulu.

Rakyat Malaysia mung­­kin mengambil mudah tentang nikmat keamanan. Pandangan Tan Sri?

Di beberapa negara seperti Bangladesh, rakyatnya hendak makan pun susah. Faktor keamanan dan kestabilan itu penting. Kalau tidak dijaga, kita mungkin jadi begitu juga. Kalau rakyat kita berada di negara lain, mereka akan menyedari bahawa Malaysia adalah amat istimewa.

Ada juga kenalan saya yang berhijrah ke Australia dan Kanada kerana tidak berpuas hati dengan keadaan di negara ini. Namun, kerajaan Australia dan Kanada mesti memberi keutamaan kepada rakyatnya sendiri. Bila hidup susah di sana, mereka kembali ke Malaysia.

Sikap rakyat dalam menuntut hak mereka mesti berpatutan. Jangan terlalu beremosi dan berprasangka. Kalau kita memikirkan kepentingan diri sahaja, susah kita hendak mencapai persetujuan dengan semua pihak. Apabila negara kita sudah maju, jangan runtuhkan melalui tindak-tanduk yang tidak bertanggungjawab. Golongan muda terlalu mudah dipengaruhi isu-isu yang viral melalui media sosial tanpa menyelidiki perkara yang sebenar. Fitnah pun mereka terima bulat-bulat.

Harapan Tan Sri menjelang sesi persidangan Dewan Negara tahun ini.

Iltizam saya adalah untuk mewujudkan Dewan Negara yang bermaruah, berwawasan dan menyumbang ke arah pembangunan negara. Saya tidak mahu Dewan Negara dilihat sebagai ‘rubber stamp’.

Saya ingin mengubah tanggapan tersebut. Sehubungan itu, saya berusaha memastikan setiap Ahli Dewan Negara tahu apa yang mereka ingin bentangkan. Tahu bagaimana sikap yang betul dan sentiasa menambah ilmu khusus­nya berkaitan isu semasa.

Harapan saya, sekiranya boleh, lantikan Ahli Dewan Negara dibuat dalam kalangan orang yang berilmu, berintegriti, bermoral dan bermaruah supaya mereka boleh menyuarakan pandangan tanpa segan silu semasa berbahas demi untuk kebaikan. Mereka juga tidak akan bersikap emosional dan prejudis.

Bagaimana dengan kualiti Ahli Dewan Negara ketika menyampaikan hujah?

Ramai berpendapat, perbahasan terhadap setiap rang undang-undang di Dewan Negara adalah lebih baik berbanding di Dewan Rakyat. Terlalu banyak politik di Dewan Rakyat. Tumpuan dari segi ilmiah adalah tidak begitu mendalam. Bila bercakap sahaja, mesti dipolitikkan dan akhirnya menimbulkan huru-hara, hinggakan melanggar peraturan mesyuarat dan etika Dewan.

Ahli Parlimen jangan beri memberi keutamaan untuk menarik perhatian ‘galeri awam’ semasa berhujah atau bagi mendapatkan simpati pihak luar. Hujah yang dikemukakan itu mesti ada kualiti dan menjurus ke arah usaha membina negara, bukannya untuk mendapatkan publisiti murahan.

Perkara yang paling mencabar kepada Tan Sri ketika mengendalikan Dewan Negara?

Saya menghadapi cabaran yang besar apabila satu rang undang-undang itu tidak dikemukakan dalam bentuk yang lebih kemas. Kita tidak mahu meluluskan undang-undang yang tidak baik. Sekiranya undang-undang itu dicabar di mahkamah, ia akan menyusahkan hakim. Jangan gubal undang-undang yang mengandungi kesamaran.