Walaupun, kebiasaan yang ponteng itu adalah doktor pelatih, kita mahu tindakan segera diambil untuk menge­nal pasti punca seterusnya mencari penyelesaian. Dari segi kewangan, memanglah perbuatan sedemikian merugikan negara kerana kos untuk melahirkan seorang doktor mencecah RM1 juta seorang.

Nisbah doktor kepada pesakit di Malaysia pun masih belum mencapai keperluan negara. Setakat tahun 2015, nisbah doktor kepada pesakit di Malaysia adalah satu doktor bagi setiap 650 pesakit. Negara juga kekurangan 12,000 doktor pakar untuk menampung jumlah penduduk ketika ini selain kemunculan pelbagai penyakit yang rumit.

Perbuatan ponteng dan ‘hilang’ ini tidak akan berlaku jika kita memahami konsep ibadat secara meluas. Ibadat bukan hanya solat, puasa, zakat dan menunaikan haji. Sebarang usaha yang dilakukan untuk mencari nafkah bagi menyara keluarga dengan cara yang halal juga termasuk ibadat. Suruhan bekerja ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah dan i­ngatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.” (al-Jumuah: 10)

Kita melakukan kerja yang halal bagi memastikan sumber pendapatan yang diperoleh juga halal. Sebabnya duit itu untuk dibagi makan isteri dan anak-anak. Suami dan ayah yang bertanggungjawab tidak akan menjerumuskan keluarganya dalam bakaran api neraka. Malangnya, ada para suami yang tidak mengambil berat bab masa bekerja, bab tuntutan perjalanan, tuntutan lebih masa dan seumpamanya.

Walhal duit daripada unsur-unsur syubhat inilah yang akan ‘membakar’ kita dan ahli keluarga dalam neraka. Ini ditegaskan dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh daripada barang yang ha­ram, maka nerakalah yang patut baginya.” (Riwayat Tirmidzi)

Perbuatan ponteng atau mengular semasa bekerja ternyata melanggar amanah dan kontrak antara majikan dan pekerja. Umumnya kita dibayar upah bekerja selama lapan jam dan satu jam waktu rehat. Maka wajiblah bagi kita menunaikan amanah itu. Bukannya datang punch card pukul 8 pagi dan pukul 10 pagi ‘ponteng’ menyelesaikan urusan peribadi atau sebagainya. Lepas waktu lunch baru balik semula ke pejabat.

Jika ada yang melakukan perkara sebegini, hentikanlah. Walaupun kita rasa, bos atau majikan tidak tahu perbuatan itu, ingatlah Allah SWT sentiasa melihat apa yang kita lakukan. Malaikat Raqib dan Atid tidak pernah berhenti mencatat segala gerak-geri kita. (rujuk surah Qaaf ayat 18)

Untuk itu, amat penting memastikan kita memang bekerja dalam tempoh lapan jam waktu kita bertugas seharian. Ini bagi memastikan keberkatan rezeki yang kita bawa pulang hasil upah yang diterima. Rezeki yang berkat itu sedikitnya mencukupi, banyaknya boleh diagih-agihkan. Rezeki yang tidak berkat pula sedikitnya tidak mencukupi, banyaknya tidak puas umpama kita minum air laut. Makin diminum makin haus.

Ambillah iktibar kisah Nabi Isa yang diberi mukjizat oleh Allah SWT menghidupkan orang yang telah mati. Ringkasannya, Nabi Isa bertanya apakah yang terjadi kepada kamu? Mayat itu menjawab, aku sedang ditanya satu soalan yang masih belum terjawab. Kata Nabi Isa, apakah soalan itu? Mayat itu berkata, “..aku bekerja sebagai penjual kayu api, apabila selesai urusan jual beli aku memikulnya untuk dihantar ke rumah pembelinya. Semasa dalam perjalanan aku ambil sedikit hujung kayu api itu untuk mencungkil gigi tanpa pengetahuan pembeli tersebut. Oleh sebab itu, aku ditanyakan soalan mengenainya sehingga 70 tahun soalan itu masih belum dapat dijawab.”