Rupa-rupanya bukan semudah yang disangka. Ada sahaja yang tidak kena. Ada sahaja yang tidak cukup, dan ada juga ketika saya tak bertegur-sapa dengan isteri gara-gara berbeza pendapat - mengenai majlis itu.

Semuanya kena dibereskan dengan sempurna. Kita mahukan semuanya berjalan lancar. Tidur malam tak lena kerana memikirkan semua itu.

Saya dan isteri tiada pengalaman untuk menguruskan majlis seum­pama ini. Lebih-lebih lagi membabitkan anak sulung, dan pertama kali bagi keluarga kami.

Soal jemputan dan senarai tetamu cukup sensitif. Takkan saya nak jemput lebih 2,000 senarai nama yang ada dalam buku telefon bimbit saya? Kenalan isteri saya lagi, kawan anak-anak?

“Aku bukan orang politik yang mahu menjemput beribu-ribu tetamu?”

Tetapi kawan saya ramai. Jika tidak jemput si polan itu dan ini apa kata mereka? Kecil hatikah mereka?

Pelbagai perkara bermain di fikiran.

Semalam saya cuba menelefon para jemputan untuk mendapatkan pengesahan kehadiran. Orang putih memanggilnya RSVP atau istilah Perancisnya berbunyi Répondez s’il vous plaît.

Namun orang kita jarang-jarang mahu membalas RSVP. Sehingga ke saat-saat terakhir tuan rumah terpaksa membuat panggilan demi panggilan untuk mendapatkan pengesahan.

Antara panggilan itu, kepada bekas pensyarah saya lebih 30 tahun dulu yang pernah mengajar subjek Public Relations (PR). Beliau kini bergelar Datuk.

“Datuk Prof. saya rasa kita kena buat kajianlah mengenai satu tajuk dalam PR.”

Sambil beliau bertanya mengenai tajuk apa, saya berkata “sikap orang mengenai RSVP...”

Tiba-tiba beliau tergelak besar. “Oh maaf. Saya ingat nak telefon esok untuk RSVP majlis you.”

Kad jemputan kepada beliau telah saya hantar lebih tiga minggu lalu dan -- senyap sunyi.

Itu satu hal. Satu hal lagi ialah melayan kerenah pengantin yang tidak pernah cukup itu dan ini. Rupa-rupanya jika kita pun risau pelbagai hal, beliau juga risaukan pelbagai hal.

Namun saya terkenangkan nasihat seorang sahabat baik saya. “Biar mempelai gembira di hari besarnya. Jangan biarkan dia bersedih...”

Ketika pergi memanggil (istilah Kedah bererti menjemput ke ken­duri kahwin), ramai rakan dan sanak-saudara yang menasihati itu dan ini.

“Kenduri pertama kali jangan anggap akan sempurna. Sudah tentu ada yang kurang sempurna, dan itu adalah biasa,” kata seorang sahabat berusia 75 tahun di Kampung Tunku PJ.

Yang penting pastikan makanan cukup, nasihat beliau ringkas.

Sampai ke satu rumah lagi, kami bercerita mengenai hal yang sama. Beliau telah mengahwinkan semua anaknya. Macam-macam ragam.

Ada antaranya tidak setuju dengan kenduri-kendara ini. Dia dan isteri cuma mendaftar di pejabat kadi dan selesai. Kenduri membazir, kata anaknya.

Semasa memandu pulang saya terfikir cara anak sahabat saya itu. Hmmm...bagus juga?

Kos untuk majlis kenduri perkahwinan bukan murah.

Namun yang pasti, ramai juga rakan yang sporting, tidak kisah dengan kad jemputan.

“Ala kau WhatsApp saja...” “Tapi saya dah buat kad?” “Kau ambik gambar dan hantar kat aku, kau jimat setem 80 sen,” kata rakan itu bergelar Tiger.

Kepada sahabat yang mempelawa diri menjadi penyambut tetamu di majlis itu, kami ucapkan terima kasih banyak-banyak.

Terima kasih juga kepada jiran-jiran tetangga saya yang tidak mengira darjat sanggup menolong kami, mengedar-edarkan telur untuk direbus bersama-sama. Siapa kata semangat tolong-menolong antara kita di kota kosmopolitan ini sudah luntur. Syabas Perdana Heights!

Apapun ini satu pengalaman yang cukup mendebarkan.

Menunggu tarikh itu merupakan satu penyeksaan.

Kepada para pembaca yang tidak menerima jemputan maafkan saya ya. Insya-Allah saya ada tiga orang lagi anak. Benar kata pujangga, semuanya bermula dengan pengalaman pertama.

Tolong doakan semuanya dipermudahkan. Amin.

PAS KINI UMPAMA KAIN PUTIH

SEMUA orang tahu, parti Melayu hanya dua. Satu UMNO, dan satu Pas. Itulah parti yang orang Melayu menaungi.

PKR pula hanyalah parti sementara waktu. Selepas Muktamar Tahunan Pas baru-baru ini parti itu telah menjadi seperti kain putih. Namun bukanlah kain kapan yang bererti kematian, tetapi kain ihram yang dipakai untuk melaksanakan tanggungjawab yang cukup besar.

Pas kini adalah sebuah parti yang sudah jelas perjuangannya. Tiada lagi slogan Anwarinas, atau Puak Profesional atau Islamis Sosialist. Ia adalah parti Islam jitu berteraskan perjuangan ulama.

Partai Islam Se-Malaysia itu kini lebih relevan daripada sebelum ini. Sebagaimana ramalan kita dahulu, Pas yang berteraskan slogan itu akan padam dengan ketiadaan Mursyidul Am Tuan Guru Nik Aziz.

Ternyata telahan itu benar. Pas berjaya dibersihkan daripada orang seperti Mat Sabu, Khalid Samad dan konco-konco mereka -- yang sudah terserlah belangnya bersekongkol dengan DAP.

Teruskan perjuangan Pas yang sejati. Jika DAP mahu mengetepikan mereka persetankan, kerana sememangnya dari awal DAP dan Pas umpama bumi dan langit, bulan dan bintang.

Saya tidak berhasrat mahu melihat Pas dan UMNO bergabung kerana lebih baik orang Melayu ada dua parti yang boleh check and balance antara kedua-duanya. Namun jika boleh bekerjasama demi agama, bangsa dan negara juga tiada salah pun.

Yang pasti pertubuhan baru yang bakal diwujudkan oleh puak yang kalah-kecewa dalam Pas itu iaitu Gerakan Harapan Baru (GHB) tidak akan ke mana.

Nama pun sudah tidak menunjukkan kejituan dalam perjuangan. Yang saya tahu istilah ‘harapan’ atau hope ini banyak digunakan oleh pertubuhan-pertubuhan keagamaan lain.

Entahlah. Wallahualam.