SURAT melalui whatsapp yang diterima oleh rakan penulis.

Ia berterusan selama berbulan-bulan, bagaimanapun pemilik rumah tetap membersihkannya, langsung tidak marah. Jika sekali mungkin boleh dimaafkan kerana berkemungkinan pelakunya itu mengalami cirit-birit. Namun jika berlanjutan, wajarkah untuk terus bersabar?

Sesuatu perlu dilakukan jika tidak pemilik rumah itu bakal disisihkan oleh jiran-jiran dengan dituduh sebagai pengotor tanpa diketahui cerita sebenar tentang kebaikan ‘tidak bertempat’ tuan rumah itu.

Kisah ini hanya khayalan namun ia sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan beberapa kes yang berlaku kini. Minggu lepas rakan penulis ‘terkena’, sama dengan ramai lagi penduduk negara ini. Modus operandi seolah-olah sama, iaitu disebut nama penuh lengkap dengan nombor kad pengenalan oleh pemanggil yang mendakwa sebagai pegawai kastam.

Rakan penulis itu kononnya lari daripada membayar cukai barang dan perkhidmatan (GST), selepas dinafikan, panggilan itu dipindahkan kepada seorang pegawai polis dan selepas pemeriksaan dibuat, rakan penulis dikatakan mempunyai musibah lebih besar iaitu kes dadah.

Selepas puas ‘bersilat’, panggilan itu dipindahkan kepada seorang ‘pegawai kerajaan’ berpangkat lebih besar yang berterusan mengherdik kerana kononnya rakan penulis tidak memberikan kerjasama sewajarnya.

“Saya boleh arahkan orang saya datang sekarang juga untuk ‘ambil’ encik,” kata pegawai itu yang disusuli de­ngan penghantaran satu fail pdf ‘surat rasmi’ kerajaan melalui WhatsApp.

Surat dari Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Putrajaya itu mengenai arahan penangkapan dan pembekuan aset! Ayat dalam surat itu seperti pelik iaitu meminta supaya dirahsiakan kes bagi elak polis menjalankan tugas.

Penama diarahkan memindahkan aset kepada Jabatan Audit Negara untuk membuktikan tidak bersalah. Surat itu ditandatangani oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaysia .

Dalam kes di atas, beberapa agensi kerajaan terpalit dengan ‘najis’ yang dibuang oleh penjenayah itu - Kastam, polis, mahkamah dan Jabatan Audit Negara. Itulah rasionalnya daripada cerita pada permulaan dimensi ini.

Pihak berkuasa wajib melakukan sesuatu. Maruah dan integriti kerajaan sedang dilumurkan dengan ‘najis’. Siasat hingga ke lubang cacing dan heret mereka ke muka pengadilan. Nombor telefon tertera dalam senarai pemanggil dan nombor akaun bank penjenayah yang menerima bayaran daripada mangsa terpedaya, mungkin boleh dijadikan sebagai asas siasatan.

Pada masa sama, Kerajaan juga perlu ‘memasyarakatkan’ maklumat kepada rak­yat tentang bagaimana me­ngenali taktik penjenayah sekali gus mampu mengelak daripada terpedaya.

Kepada pembaca, ada sikit pesanan daripada Imam Hassan Al-Banna untuk renungan dan manfaat bersama: “Ramai orang sibuk memikirkan hidup yang senang. Tetapi lupa memikirkan cara mati yang senang. Dunia ini bukanlah tempat tinggal tetapi tempat untuk me­ninggal...”