Al-Hasan Abdullah al-Safadi al-Abbasi, seorang tokoh persuratan, pakar pelbagai bidang (polymath) yang menguasai ilmu nahu dan penerangan (al-ba­yan), dan wazir kepada Sultan al-Malik al-Nasir Muhammad al-Qalawun, menulis sekitar 1317 Masihi bahawa peperangan diumpamakan pe­nyakit badan, berlawanan de­ngan aman dan keselamatan yang diumpamakan kesihatan. Jus­teru, kerajaan bertanggungjawab memelihara kesihatan melalui urusan politik, menghindarkan penyakit melalui urusan pepe­rangan, dan sentiasa sibuk de­ngan urusan menjaga keamanan.

Sungguhpun kumpulan militan Islamic State (IS) dan Islamic State of Iraq and Syria (ISIS) atau dikenali sebagai Daesh diberitakan baru-baru ini kekalahannya di Syria dan Iraq, ahli-ahli pakar antikeganasan meramalkan masalah keganasan melampau yang dilakukan atas nama agama akan terus menjadi ancaman ke­selamatan negara untuk 20 tahun akan datang.

Hakikatnya, masalah golongan pelampau yang menggunakan kekerasan demi mencapai matlamat adalah kesan terputusnya kaum Muslimin daripada tradisi keilmuan dan kerangka pemikiran Islam. Pemutusan tradisi ini berpunca daripada masalah kehilang­an adab sebagaimana yang acap­kali disebut oleh sarjana dan pemikir ulung Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Hal ini telah membarah tidak terhad kepada perpecahan umat Islam yang terzahir sebagai gejala mengangkat isu-isu cabang (furu‘iyyah), pada masa sama mengabaikan isu pokok (usuliy­yah), malahan jua masalah kepim­pinan, tadbir urus, kekeliruan autoriti dan terputusnya daripada tradisi ketenteraan Islam yang sah dan kaedah perang yang dibenarkan oleh syarak. Atas sebab inilah kumpulan-kumpulan militan berleluasa dengan nas-nas agama menarik para pengikut untuk tujuan keduniaan, iaitu penguasaan sumber dan wilayah, melalui penyembelihan orang Islam yang pastinya terpisah daripada apa yang dicitakan oleh agama.

Masalah ini mirip kekeliruan di zaman Imam al-Ghazali apabila perkelahian para pelampau agama akhirnya mengundang pertumpah­an darah dan menyebabkan ketidakupayaan umat Islam dalam menghadapi anca­m­an musuh iaitu tentera Salib yang menakluki Baitulmuqaddis pada 1087. Hanya setelah usaha islah selama 100 tahun barulah umat Islam direzekikan oleh Allah SWT dengan kejayaan membebaskan kota suci melalui kepimpinan dan keperwiraan Salahuddin Al-Ayyubi.

Sehingga kini tiada apa yang dilakukan oleh Daesh membantu mengembangkan syiar Islam. Pembunuhan dan penindasan orang Islam masih berlaku di kawasan konflik seperti di Palestin, Syria, dan Yemen sedang umat Islam sedunia yang berjumlah 1.7 bilion tidak berhasil mewujudkan kesatuan dan menggembleng kekuatan untuk menghentikannya. Kadar gejala Islamofobia yang menekan umat Islam telah meningkat termasuk juga kes-kes jenayah kebencian terutama di negara bukan Islam yang memang­sakan golongan minoriti Muslim.

Masalah pemikiran memerlukan penyelesaian di peringkat pemikiran jua. Strategi mengatasi golongan pelampau seharusnya memanfaatkan kerangka utuh Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang merangkumi dan tidak menjuruskan kepada perpecahan.

Pihak luar lagi asing, terutama yang mungkin turut menyumbang kerosakan pemikiran dan mendanai keganasan, tidaklah boleh diharap menyelesaikan masalah dalaman kaum Musli­min; sebaliknya khazanah ilmiah tamadun Islam mesti dimanfaatkan dengan berani untuk tujuan ini bersama seluruh kekuatan akal dan kebendaan yang dimiliki.

Al-Farq bayn al-Firaq, karya oleh alim dalam mazhab Shafie dan autoriti dalam usul al-din Abu Mansur ‘Abd al-Qahir al-Baghdadi (wafat 1037 M), memberikan penjelasan terbaik siapakah yang tergolong dalam ASWJ. Pembahagian beliau yang merangkumi; 1) ahli kalam, 2) para fuqaha’, 3) ahli hadis, 4) ahli lughah, 5) ulama tafsir al-Quran, 6) kaum sufi, 7) golongan yang berjuang mene­gakkan agama termasuk askar-askar yang mempertahankan sempadan dan perbatasan negara orang Islam daripada ancaman musuh, dan akhir sekali 8) golong­an awam di negara bersyiarkan Islam sekali gus menolak kesempitan pemikiran takfiri yang menunjangi Daesh.

Imam Abu Hafs ‘Umar Najm al-Din al-Nasafi (wafat 1142 M) menerangkan dalam karyanya al-Aqa’id al-Nasfiyyah, iaitu matan kerangka pemikiran yang menjelaskan perkara-perkara penting iman dan Islam, bahawa antara kewajipan agama bagi pemimpin ialah memastikan suasana aman demi pelaksanaan tuntutan agama Islam. Ia tiada terpisah daripada penyelenggaraan kota (Madinah) di mana urusan agama (al-din) dijalankan dan perlengkapan angkatan bersenjata untuk mempertahankan negara daripada ancaman luar dan dalam termasuklah golongan yang menggunakan kekerasan dan keganasan secara haram.

Dengan membandingkan ke­dua-dua hujah di atas dengan rekod keganasan dan huru-hara yang dicetuskan oleh Daesh, jus­teru kelihatan kecelaruan yang bertentangan prinsip akidah dan kepalsuan slogan jihad yang digunakan bagi menarik perhatian golongan muda, terutama yang berhasrat benar menjadi wira dan pahlawan tetapi keliru menilai antara intan dan kaca dalam memperjuangkan agama.

Sebaliknya, semangat keperwiraan (futuwwah) dan kepahlawanan (furusiyyah) dalam Islam bukanlah sewenang-wenangnya membunuh dan menumpahkan darah saudara seagama tetapi mempertahankan yang lemah daripada penindasan. Bait syair oleh Usamah ibn Munqidh, seorang kesatria terhandal yang berkhidmat di bawah Salahuddin Al-Ayyubi, dalam memoir beliau Kitab al-I‘tibar memberikan nafas baharu yang menyegarkan makna bersempena sambutan hari ini:

Si pengecut dalam kalangan lelaki pantas mengundur daripada ibu yang dianggap bahaya, sedangkan si pemberani melindungi orang biarpun bukan tanggungannya.

Selamat Hari Pahlawan 2017.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan IKIM.