Sebanyak 18 jiwa telah terkorban; empat daripadanya adalah anggota keselamatan, dan 14 merupakan pengikut Ibrahim bin Mahmood yang juga dikenali sebagai Ibrahim Libya. Bilangan tersebut termasuk juga Ibrahim sendiri. Dipercayai puluhan orang cedera, 23 daripadanya anggota polis manakala 14 orang adalah dalam kalangan orang awam.

Selepas tragedi itu pula dipercayai bahawa angka individu yang ditahan ekoran kejadian tersebut adalah kira-kira 159 orang, iaitu 118 lelaki, 29 wanita dan 12 kanak-kanak. Oleh sebab peristiwa ini dibaluti dengan sentimen dan kontradiksi fakta maka ia belum lagi berhenti daripada perbahasan.

Beberapa perkara telah disuarakan oleh pihak tertentu dalam pelbagai nada. Bagi tujuan tulisan ini saya cuma memetik beberapa tulisan yang telah didokumentasikan.

Antaranya, buku bertajuk Memoir Tragedi Memali, tulisan Riduan Mohamad Nor, CN Afghani diterbitkan pada tahun 2010 oleh Jundi Resources. Buku ini memaparkan pengalaman dan pandangan penulis berkenaan Peristiwa Memali. Penulis juga adalah orang yang berada secara langsung semasa tragedi berlaku.

Sementara itu, buku Memali: A Policeman Remembers, tulisan Tunku Muszaffar Shah Bin Tunku Ibrahim yang diterbitkan pada tahun 2011 oleh Marshall Cavendish memaparkan pengalaman dan pandangan daripada perspektif Ketua Polis Daerah Baling. Manakala buku Frankly Speaking, tulisan Tun Musa Hitam yang diterbitkan pada tahun 2016 oleh Pelanduk Publication menyuarakan apa yang dikatakan tidak dapat disuarakan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri itu, yang juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang bertanggungjawab semasa peristiwa hitam Memali berlaku.

Tun Musa Hitam juga merupakan menteri yang membentangkan Kertas Perintah 21 yang juga dirujuk sebagai Kertas Putih berkaitan Peristiwa Memali di Dewan Rakyat pada Februari 1986.

Sementara itu tulisan akademik daripada perspektif sejarah bertajuk Penilaian semula historiografi Malaysia melalui sejarah lisan telah dibuat oleh Rahilah Omar dan Siti Fathihah dan diterbitkan dalam Geografia Online Malaysia Journal of Society and Space, sebuah jurnal akademik pada tahun 2012.

Kambing hitam

Kertas akademik ini mengambil pendekatan case study dalam mewacanakan sumber sejarah. Ia mengambil Peristiwa Memali dan mencadangkan supaya kenyataan lisan daripada pihak tempatan juga boleh dijadikan sumber sejarah.

Berkenaan Kertas Perintah 21 yang dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Dalam Negeri menyatakan beberapa fakta yang memberikan justifikasi kepada pihak kerajaan untuk bertindak. Antara aspek-aspek diketengahkan dalam Kertas Perintah 21 tersebut, antara lain, termasuk sikap dan tindakan melampau kumpulan diketuai Ibrahim bin Mahmood.

Sikap melampau tersebut termasuklah mengajak kepada perpecahan antara pengikut parti-parti politik Pas dan UMNO dengan melabelkan orang UMNO sebagai ‘kafir’. Dikatakan juga bahawa sikap melampau tersebut adalah dengan mengajak dan menggerakkan semangat jihad dan syahid. Kumpulan tersebut dikatakan telah memulakan ‘Gerakan Revolusi Islam’.

Hal ini dikaitkan dengan pendekatan yang diambil oleh Pas sebagai parti politik yang memperjuangkan Islam dengan merujuk kepada ucapan Tuan Guru Haji Hadi pada April 1981 yang kemudiannya disebarkan sebagai Amanat Tuan Guru Haji Hadi.

Fakta-fakta atau justifikasi kerajaan, terutamanya berkaitan jihad menentang kerajaan dengan senjata dan Gerakan Revolusi Islam sehingga kini disangkal sesetengah pihak, termasuk para pengikut Ibrahim bin Mahmood atau sesetengah masyarakat tempatan.

Sementara itu, kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri dalam bukunya serta pengucapannya berkaitan peranan beliau dan kesan Peristiwa Memali ke atas beliau juga mencambahkan keraguan. Beliau memberi fakta baharu Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamed berada di dalam negara, bukan di luar negara sebagaimana difahami sebelum ini.

Bagi pasukan polis pula beberapa persoalan yang disenaraikan oleh penulis buku A Policeman Remembers berkaitan tindakan kepolisan atau arahan pimpinan pasukan juga perlukan pemerhatian sewajarnya kerana ia melibatkan kehilangan nyawa, walaupun penulis buku tersebut, juga Ketua Polis Daerah Baling pada ketika itu tidak menyanggahi fakta-fakta dalam Kertas Perintah 21 1986.

Secara ringkasnya eksploitasi agama dan ancaman kepada keselamatan negara dikatakan antara dua sebab utama yang mencetuskan Peristiwa Memali. Lebih kurang setahun sebelum tragedi, kerajaan telah membentangkan Kertas Putih bertajuk “Ancaman Kepada Perpaduan Umat Islam dan Keselamatan Negara”.

Kertas Putih yang dikeluarkan pada 8 November 1984 itu antara lain, menyatakan wujudnya kegiatan dan propaganda yang mengeksploitasi agama. Persoalan pokok yang sering dijadikan bahan perbahasan, adakah tindakan pihak keselamatan dalam Peristiwa Memali kerana tujuan politik, bukan semata-mata keselamatan?

Adakah kenyataan Kertas Perintah 21 yang dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat adalah suatu pembohongan sebagai yang dinyatakan oleh segelintir pihak. Adakah Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu telah dijadikan kambing hitam oleh pimpinan negara ketika itu? Atas aspek-aspek yang dinyatakan itu, adalah dicadangkan supaya sebuah pasukan siasatan yang berkecuali ditubuhkan untuk memeriksa semula fakta-fakta atau hujah-hujah berkaitan.

Pada Ogos 2017, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri dilaporkan berkata bahawa kerajaan bersedia menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat Peristiwa Memali sekiranya ada permintaan daripada mana-mana pihak termasuk keluarga mangsa.

Dimensi boleh diperincikan oleh suruhanjaya ialah merungkai dan mengesahkan fakta-fakta bercanggah yang terbit daripada semua pihak. Ia juga boleh membersihkan kejelikan kepada nama baik Islam, agama suci dan dianuti majoriti masyarakat Malaysia. Tafsiran konsep jihad dan syahid perlu diperjelaskan.

Tragedi Memali mendambakan keadilan holistik yang boleh mencerahkan kesuraman, memutihkan kegelapan dan merungkaikan persoalan-persoalan yang semakin hari semakin berserakan dan membingitkan.

Penubuhan suruhanjaya ini juga boleh menyumbang kepada memberhentikan penyebaran perspektif-perspektif atau fakta-fakta tertentu yang tidak tepat dan mengelakkan daripada meletakkan sasaran yang salah.

Penemuan Suruhanjaya Siasatan ini juga nanti akan dapat mengelak sebarang polemik berkaitan Peristiwa Memali selain mengelak mana-mana pihak mengambil peluang dalam kekeruhan isu ini.

PENULIS ialah Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).