Antaranya ialah sikap segelintir para ulama moden yang dilihat berlumba-lumba mempamerkan kelebihan masing-masing dalam penampilan dan perbicaraan tentang agama di media dan di hadapan umum.

Dalam persaingan ini, akan keluar beberapa fatwa dan paling banyak sambutan ialah fatwa yang keras seperti mengharuskan keganasan terhadap golongan yang dianggap memusuhi Islam. Malah mereka turut membuat tafsiran sendiri tentang beberapa konsep yang tertentu seperti sekular, syirik dan sebagainya tanpa mencuba untuk memahami dengan jelasnya apakah sebenarnya konsep yang cuba ditafsirkan itu. Fatwa seumpama ini lazimnya dikeluarkan oleh golongan radikal.

Hakikatnya, pentafsiran me­ngenai istilah agama dan fatwa yang tertentu sering menimbulkan kekeliruan dan kekecohan dalam masyarakat kerana setiap individu mempunyai panda­ngan mengikut tafsirannya secara pe­ri­badi serta berdasarkan dalil yang sah pada tanggapannya.

Justeru akan terkeluarlah fatwa yang bercanggah antara satu dengan yang lain. Sudah tentu keadaan tersebut akan mengelirukan umat Islam sendiri.

Oleh itu, autoriti fatwa seperti yang terdapat di Malaysia adalah satu saluran sah untuk tujuan tersebut. Bahkan setiap negeri mempunyai institusi rasminya sendiri dalam mengeluarkan fatwa tanpa mengakui sebarang fatwa bebas yang diputuskan di luar badan fatwa rasmi negeri-negeri berkenaan.

Satu ke­gem­­paran lain yang se­ring berlaku dalam kalangan para ulama Asia Barat sejak beberapa tahun lalu ialah tentang ulama yang mengejar populariti di kaca televisyen. Perkembangan ini mempunyai hubungan juga de­ngan isu fatwa ekoran terdapat ramai ulama yang mencari publisiti dengan mengeluarkan fatwa segera dalam kaca televisyen sa­ma ada melalui telefon, internet, e-mel, Facebook mahupun khid­mat pesanan ringkas (SMS).

Seorang pengkritik media Arab, penulis serta tokoh agama, Abdullah Manna berkata, program soal jawab agama di stesen televisyen satelit telah tergelincir daripada matlamat asal penyebaran Islam iaitu mendidik setiap umatnya.

Ini kerana ulama terbabit tidak dapat bersemuka dengan penyoal, bersoal jawab dengan lebih terperinci, masanya terhad, analisis hukum yang tidak mendalam dan jawapan yang tergesa-gesa tentang persoalan agama tertentu.

Situasi ini juga telah menimbulkan kontroversi dalam ma­syarakat Islam dan banyak me­nimbulkan perbincangan yang se­­ring menimbulkan krisis pemikiran. Lebih malang turut me­ngakibatkan perpecahan dalam kalangan para ulama sendiri.

Seperkara lagi isu yang sering juga me­nerima kritikan dan kecaman ialah mengenai wujudnya satu aliran tidak sihat yang me­nyusup ke dalam masyarakat ulama untuk tujuan perdagangan atas kepentingan material.

Walaupun pada dasarnya hal ini tidak memudaratkan kita, namun faktor komersial itu kadang-kadang boleh membawa kepada penyelewengan yang bercanggah dengan nilai moral kerohanian Islam tanpa disedari oleh para ulama tersebut.

Di tanah air kita sendiri pun terdapat syarikat, media tradisional dan baharu membawa para ulama dan ahli-ahli agama untuk mela­riskan produk serta perkhidmatan mereka. Yang bererti menambahkan lagi keuntungan berlipat ganda dengan menggunakan agama sebagai pelaris kepada barang-barang keluaran mereka.

Dalam persaingan melariskan produk perubatan umpamanya, etika farmasi seringkali tidak dihormati lagi lebih-lebih lagi apabila dipergunakan nas-nas Al-Quran dan hadis umum untuk difokuskan kepada produk tertentu.

Pada masa sama ustaz atau ulama akan mengeluarkan teori-teori perubatan seperti seorang pakar perubatan yang tulen berasaskan kepada pengertian umum nas yang sebenarnya tidak mempunyai sebarang hubungan secara langsung dengan produk perubatan dipromosikan itu.

Hal inilah yang ditekankan oleh pengkritik di negara Arab yang mengatakan bahawa dalam zaman ini ulama juga asyik mencari publisiti dengan menggunakan teknologi maklumat moden tanpa menepati etika dan moral kerohanian yang sebenarnya da­lam ajaran Islam. Keadaan akan menjadi lebih mengelirukan sekiranya para ulama akan mengeluarkan ‘fatwa’ yang tidak tepat dan mengelirukan dalam usaha mengejar habuan kebendaan itu.

Segala perkembangan ini amat diharapkan tidak akan berlaku di negara kita yang masih ter­kenal sebagai negara model Islam yang ber­ilmu dan berhikmah walaupun yang terlibat dalam penya­lahgunaan agama ini hanyalah segelintir sahaja.

Apa pun isu itu jika tidak dita­ngani dengan bijak boleh mencemarkan nama baik agama, ajarannya serta meremehkan nilai-nilai adab serta akhlak umat Islam sendiri iaitu ketika pengaruh kebendaan dan glamor menjadi satu trend untuk mengaut ke­un­tu­ngan terutama mereka yang ber­gelar selebriti produk.

Galakan untuk berdakwah sememangnya agenda umat Islam sampai bila-bila tetapi galakan itu tidaklah sehingga mengorbankan prinsip moral dan ajaran Islam yang penuh dengan nilai murni ke­sopanan, amanah, etika dan peradaban yang tinggi terutama­nya akidah tauhid itu sendiri.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti 
Malaysia (Integriti).