Penindasan ini agak jelas menggambarkan kesan Islamofobia di beberapa daerah Myanmar dalam perkembangan polarisasi keagamaan di daerah tersebut antara rakyat majoriti Buddha dengan golongan minoriti Muslim negara tersebut.

Justeru, insiden ini adalah kekejaman yang dilakukan terhadap golongan rakyat kerana penindasan agama dan hal itu berbeza daripada bentuk Islamofobia di Barat dan di negara-negara maju, yang digambarkan bahawa unsur keganasan dan tindakan tidak berperikemanusiaan oleh umat Islam sendiri yang menyebabkan masyarakat di Barat menghadapi segala mala petaka.

Oleh itu, berlakulah tindak balas sama terhadap umat Islam, seperti digambarkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terhadap pemulauan terhadap pendatang dan penduduk Islam dari beberapa negara Islam baru-baru ini.

Prasangka dan persepsi buruk terhadap Islam sering timbul di Barat, khususnya di Amerika AS sejak lama dulu hinggalah ke mutakhir ini. Sebuah institut penyelidikan di AS (Public Religion Research Institute) dalam satu penyelidikannya tentang nilai AS baru-baru ini menyatakan bahawa, tidak ada sebarang kepercayaan agama, kumpulan kaum dan etnik yang didiskriminasikan sebegitu rupa selain daripada penganut Islam dan agama Islam itu sendiri.

Ketakutan kepada Islam dan para penganutnya telah menjadi satu wabak dalam masyarakat tersebut, malah ancaman sering ditujukan kepada orang Islam. Kalau pada masa lepas ketakutan ini sering dihubungkan dengan al-Qaeda, Boko Haram, Al Shabab dan sebagainya, namun kini sasaran itu telah diubah kepada gerakan ‘ke­ganasan’ yang baharu terutamanya IS atau Daesh, seolah-olah kumpulan keganasan yang agak lama itu telah berkubur bersama terkuburnya para pemimpin dan ketua kumpulan tersebut, lalu timbullah pula gerakan terbaharu atas nama Islam dan pejuangnya.

Peristiwa yang berlaku kepada James Foley, seorang pemuda AS yang dipaksa berlutut di hadapan seorang ‘jihadis’ berpakaian serba hitam memegang pisau tajam, amat mengerikan. Pemuda ini diminta membaca teks pengakuan yang disediakan dan dia membaca dengan suara yang amat mengharukan, penuh rasa takut dan tertekan.

Lalu apabila selesai sahaja membacanya, maka mungkin penonton tidak sanggup melihat penyembelihan dilakukan terha­dapnya, lebih kejam daripada penyembelihan biasa sesama manusia disaksikan selama ini dalam sejarah manusia zaman moden ini. Ini kerana cara penyem­belihannya dilakukan seperti ­menyembelih lembu atau kerbau dengan memotong lehernya.

Media Barat yang menghebohkan gerakan jihadis itu sebagai ‘pejuang Islam’ diberitakan dengan meluas kini sedang mengancam akan meneruskan perjuangannya ke seluruh dunia, dan terakhirnya ialah ke Asia terutama Filipina, Indonesia dan Malaysia. Misi kumpulan itu kononnya adalah berkempen untuk menghapuskan ‘musuh Allah’ dan ‘musuh Islam’ serta negara-negara lain yang mungkin di­tafsirkan sebagai ‘darul-harb’ iaitu negara-negara yang seharusnya diperangi secara berhabis-habisan.

Mungkin ramai antara kita masih ingat kenyataan Trump kepada Anderson Cooper dari CNN bahawa, “Islam membenci kita...” yang dengan sendirinya menyatakan bahawa penganut Islam berjumlah 1.6 bilion di seluruh dunia memusuhi AS. Prasangka ini tidak membuat sebarang pemisahan di antara penganut agama kedua terbesar di dunia ini dengan gerakan yang dilabelkan dengan ‘jihadis Islam’ yang dihubungkan dengan pejuang Islam yang menyeleweng itu.

John L. Esposito menggambarkan hal ini dalam tulisannya tentang gejala Islamofobia sebagai satu pendirian yang membawa kehancuran terhadap kemanusiaan (apocalyptic world view) dengan tindakan yang melulu dan hanya mengandungi unsur-unsur ketakutan yang tidak ­berasas. Menurut Esposito lagi, pendirian ini juga yang dilaporkan bahawa Trump telah bercadang untuk menukar program Memerangi keganasan puak pelampau (Countering violent Extremism) kepada Memerangi Keganasan Islam (Countering Islamic violence).

Akhir-akhir ini kejadian keganasan dengan cara merempuh orang awam di atas jalan sering berlaku di Barat, seperti di Charlotte Virginia, Sepanyol, Barcelona dan Mearsile France. Agak malang sekali para pemandu yang melakukan rempuhan itu membawa nama Islam seperti disiarkan agensi berita antarabangsa, kecuali seorang pemandu anak tempatan yang dihubungkan dengan penyakit jiwa dan tidak siuman.

Hal inilah yang merupakan satu salah faham yang sering diprojekkan dalam kalangan dunia antarabangsa selama ini, ter­utamanya di dunia Barat dalam teori ‘anti keganasan’ ‘menentang para mujahidin’ ‘menghapuskan senjata pemusnah besar-besaran’ (WMD) dan berbagai lagi slogan lain yang nampaknya telah berjaya mengaburi mata dunia selama ini, termasuk teori ‘pertembungan tamadun’ (The clash of Civilizations) yang dilahirkan pada 1977 (Huntington) yang merupakan kepelbagaian wajah Islamofobia yang telah lahir dalam fasa-fasa berbeza dari dulu hingga sekarang dan mungkin akan lahir dalam nama-nama lain pada masa-masa akan datang.

Bagaimanapun, pendekatan terhadap Islamofobia yang agak ‘bertamadun’ di Barat itu agak sukar untuk dilakukan tindak balas oleh umat Islam, kerana ‘contoh’ dan ‘model’ Islam yang sebenar­nya tidak tergambar di dalam insiden dan perilaku segelintir umat Islam dan pemerintahannya di dunia ini, terutamanya di bumi para nabi dan rasul yang kini tercemar dengan pertumpahan darah dan pembunuhan sesama Islam, akibat daripada penyelewengan umat Islam sendiri.

Sebagai umat Islam yang masih menghargai keharmonian dan kesejahteraan masyarakat, hal ini perlu difahami dengan baik tanpa melakukan sesuatu kesilapan yang dapat mencemarkan nama baik umat Islam, terutamanya di negara ini kerana perilaku dan tindakan kita sendiri yang menyeleweng amat sering dipergunakan untuk me­remehkan Islam dan umatnya itu.

PROFESOR DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah Penyandang Kursi Sultan Mizan Zanal Abidin, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).