Anggota The Parliamentary Network on the World Bank & International Monetary Fund itu turut mengulas tanggapan yang diuar-uarkan bahawa orang Melayu/ bumiputera diketepikan dalam era pentadbiran Malaysia Baharu ini.
“Kita bercakap tentang piawaian Melayu tinggi,” kata Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dalam temu bual sejam di Putrajaya semalam.

 

UTUSAN: Apa makna Hari Malaysia kepada Yang Berhormat (YB)?

SHAMSUL ISKAN­DAR: Ia suatu mesej untuk rakyat Malaysia. Pertama, saya nak ulangi bahawa Malaysia Baharu adalah Malaysia yang adil. Malaysia adil itu bermaksud adil, demokrasi, inklusif dan lestari di mana apa yang telah berlaku setelah fajar baharu ini kita lihat tidak ada parti yang akan kekal.

Ini bermakna sama ada Pakatan Harapan (PH) atau pembangkang iaitu Barisan Nasional (BN) mesti akui suatu realiti baharu bahawa rakyat Malaysia tidak lagi setia kepada mana-mana parti untuk selama-lamanya. Yang kekal ialah rakyat itu sendiri yang merupakan satu institusi yang kekal dalam realiti baharu demokrasi di Malaysia.

 

Ada kekangankah dalam soal ini?

Kita tahu ada kumpulan-kumpulan yang menyuarakan isu yang sensitif seperti LGBT dan hal-hal berkaitan ras, kemajmukan dan agama. Perkara-perkara sensitif ini perlu ditangani secara berhemah dan bijaksana kerana sekarang ini rakyat merasakan kebebasan yang sebenar.

Dan ia berkait dengan syarat kemerdekaan itu sendiri. Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman menyatakan perisytiharan kemerdekaan itu adalah Malaysia negara yang adil, bebas dan kemudiannya merdeka. Prinsip keadilan dan kebebasan itu melatari perisytiharan kita dan itu sebenarnya yang kita saksikan kelahiran semula dalam suasana kita menyambut Hari Malaysia ini.

 

Adakah hal ini memberi kesan kepada parti politik tertentu?

Rakyat tidak lagi pilih parti yang perjuangkan isu-isu ras dan kaum. Mereka kali ini merasakan perlu beri peluang kepada parti yang memperjuangkan keadilan kepada semua golongan minoriti dan majoriti. Itu juga saya tegaskan dan ulangi misalnya masalah berkaitan masyarakat India yang kira-kira lima hingga tujuh peratus sahaja yang berjaya ke pengajian tinggi. Itu yang dikemukakan oleh Khazanah Research Institute berbanding Melayu, 50 peratus dan Cina 30 peratus.

 

Jadi, Malaysia Baharu ini bukanlah bermakna orang Melayu/bumiputera itu diketepikan?

Tidak timbul kerana kita bercakap soal keadilan. Jika orang Melayu/bumiputera ketinggalan, kita dukung, beri ruang dan peluang supaya mereka boleh bersaing. Pada masa sama tidak ditinggalkan dalam kekalutan ekonomi atau ketidakadilan antara kelompok-kelompok kaum, apatah lagi dalam konteks masyarakat pertengahan, bawah B40 dan miskin.

Tapi YB, masih ada tanggapan dalam empat bulan ini seolah-olah Melayu/bumiputera dianaktirikan?

Tanggapan itu lebih bersifat persepsi. Ini kebetulan dengan beberapa pelantikan dalam Kabinet yang mungkin setelah sekian lama tak berlaku, sekarang berlaku antaranya YB Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.

Walhal ini bukan perkara baharu. Di peringkat awal kemerdekaan, kita ada pemimpin kalangan Cina yang menjadi Menteri Kewangan (Tun Tan Siew Sin dari 1959-69 dan 1970-74). Kali ini berlaku semula. Perubahan ini tentu beri satu isyarat yang kurang jelas dari kelompok atau pemimpin yang lain daripada pemimpin politik yang merasakan Melayu tak lagi diangkat.

Ini seterusnya disusuli pelantikan Peguam Negara (Tommy Thomas) dan Ketua Hakim Negara (Tan Sri Richard Malanjum) yang bukan Melayu juga yang kesemua ini ibarat satu deretan yang beri gambaran bahawa persepsi orang Melayu telah dikesampingkan.

Ini ketakutan tak berasas dan kita perlu takluk kekuatan ini. Bila sudah takluk kekuatan ini, kita akan takluk perkara-perkara lain.

Kita nak Melayu yang ada asas yang kuat. Tak lagi bercakap bahawa kononnya Melayu perlu diberi ‘tongkat’.

Bagaimana mahu pastikan wajah sebenar Malaysia yang lebih kuat?

Saya fikir pemimpin-pe­mimpin dahulu tak lihat Hari Malaysia itu penting sehinggakan tiada cuti umum. Yang angkat Hari Malaysia itu ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ia perlu disambut dengan menghayati makna sebenar kesatuan negeri-negeri di dalam satu bumbung sebuah negara bernama Malaysia. Itu diangkat oleh Anwar dalam siri program ketika beliau menjadi ketua pembangkang.

Ia tentu sekali kesan dari perjuangan Parti Keadilan itu sendiri kerana kita merasakan penduduk di Sabah dan Sarawak perlu fahami kita sebahagian dari Malaysia. Sebab itu terdapat sentimen Sabah for Sabahan atau Sarawak for Sarawakean yang perlu diharmonikan kerana kita adalah satu warganegara.

 

Mungkinkah cabaran yang akan dilalui negara agak getir dalam lima tahun ini?

Saya fikir cabaran yang kita akan hadapi adalah cabaran suasana yang baharu. Bukan cabaran biasa, tetapi cabaran baharu yang saya simpulkan dalam tiga perkara, iaitu bagaimana kita sebagai parti (gabungan) yang baharu mengisi kemenangan.

Dan sudah pasti keduanya, dalam konteks menguruskan kemenangan dan ketiga, bagaimana kita meyakinkan pelbagai kaum dalam negara ini bahawa kepelbagaian itu suatu kekuatan.

Ini bukan bermakna apabila bercakap kepada kelompok Melayu, mereka ditakut-takutkan dengan kebangkitan Cina, India dan kaum-kaum yang lain.

Ini merupakan suatu cabaran yang perlu kita uruskan dengan baik dan saya yakin kita mula de­ngan langkah yang baik kerana dalam pemilihan barisan Kabinet dan institusi negara, kita sudah mula beri ruang kepada kaum-kaum yang lain untuk jadi pemimpin dalam institusi masing-masing. Kita bergerak ke arah menjadikan negara itu faktor bersatu kita.

Sebab itu saya berharap kepemimpinan kerajaan baharu ini dapat membaca dan mene­laah buku terbaharu karya Prof. Francis Fukuyama yang berada di pasaran bertajuk Identity: The Demand for Dignity and the Politics of Resentment.

Buku ini membahaskan pertembungan antara leftist dan rightist iaitu leftist yang begitu beri tumpuan kepada hal-hal berkaitan sosialisme. Di sebelah kanan (rightist) pula kumpulan yang bercakap soal-soal nasionalisme yang mana faktor kebersatuan itu adalah negara. Negara jadi pengikat pertembungan kedua-dua ini.

Dan kalau diterjemahkan dalam konteks Malaysia, kepelbagaian ini bukan sahaja kita ada leftist, rightist malahan pelbagai kelompok. Maka Hari Malaysia menjadi faktor kebersatuan kita untuk berkhidmat kepada Malaysia. Kepelbagaian itulah kekuatan.