Manusia waras tidak akan sanggup tetapi masalahnya ramai penunggang dan pembonceng motosikal di negara ini seperti menawarkan kepala mereka bagi diuji tahap kekerasan. Terkadang meremang bulu roma penulis setiap kali melihat mereka ini dengan berani memecut atau menyelit antara kenderaan tanpa memakai topi ­keledar. Keras sangatkah kepala masing-masing? Adakah ada jaminan bahawa kepala tidak akan pecah jika terhentak atas jalan raya?

Alasan mudah selalu diberikan, hanya jarak dekat atau jalan kampung. Fakta yang tidak boleh dipersoalkan ialah jalan tar yang dilalui adalah tetap sama keras dengan apa yang terdapat di jalan utama.

Mungkinkah juga mereka tidak mampu membeli topi keledar? Motosikal berharga ribuan ringgit mampu dibeli tetapi topi keledar yang hanya puluhan ringgit tidak sanggup dibelanjakan.

Hasil pemerhatian juga mendapati mereka mempunyai perangai pelik iaitu ‘malu’ untuk memakai alas keselamatan itu. Dalam kebanyakan kes, sanggup pula topi keledar itu disimpan elok dalam raga, mungkin bagi menjaga ke­selamatan ‘raga’ itu daripada tercalar berbanding kepala sendiri.

Selain itu, terdapat juga pemandangan pelik khusus­nya pada waktu pagi, tengah hari atau petang di kawasan sekitar sekolah. Bapa atau ibunya elok menyarung topi keledar tetapi kepala anak yang membonceng dibiarkan ‘dogol’. Malang itu tidak berbau dan jika ditakdirkan berlaku kemalangan, adilkah perbuatan ibu bapa se­perti ini?

Dalam budaya Melayu, kepala mempunyai kedudukannya yang agak tinggi, banyak simpulan bahasa dicipta menceritakan mengenai kepala. Antaranya, kepala angin, kepala batu, berat kepala, kepala dingin, kepala kongsi, kepala mayat, kepala ribut, kepala udang, kepala kancil, kepala arwah, kepala daerah, kepala negara, jual kepala, ringan kepala dan besar kepala - sekadar menyebut sebahagian.

Menurut carian dalam Internet, secara puratanya ke­tebalan tengkorak lelaki dewasa mencapai sekitar 6.5 milimeter (mm) manakala wanita sekitar 7 mm yang bermakna anggota badan itu tidaklah kebal. Yang pasti, tengkorak yang turut mempunyai otak itu akan pecah atau sekurang-kurangnya retak apabila terhentak.

Tolonglah jaga kepala masing-masing kerana tempurungnya tidak dijual di mana-mana kedai. Kepala selain adalah anggota badan yang berada pada kedudukan ­‘paling tinggi’, ia juga mempunyai aset paling bernilai iaitu otak. Tanpa otak siapalah manusia itu.

Jika masih berkeras enggan memakai topi keledar, jangan bimbang kerana masih ada pilihan. Pergilah belajar ilmu kepala keras dengan seorang ahli gusti profesional Amerika Syarikat, John Ferraro yang turut terkenal de­ngan gelaran Kepala Tukul.

Beliau pernah membuat demonstrasi mengetuk paku sepanjang sembilan inci hanya menggunakan dahinya. Pada 19 Ogos 2010, Ferraro muncul dalam rancangan te­levisyen Stan Lee’s Superhumans. Menerusi program itu, tengkorak Ferraro diperiksa dengan mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) oleh pakar dari Harvard Medical School dan didapati tempurung kepalanya setebal 16 mm, tiga kali ganda lebih tebal berbanding manusia biasa.

Beberapa tahun lalu, pernah wujud isu pemakaian topi keledar oleh pelajar pondok di Kelantan hingga menyebabkan polis negeri mengeluarkan kenyataan akan menghentikan pengeluaran saman terhadap penunggang motosikal beragama Islam yang memakai serban sehingga mendapat arahan lanjut daripada Bukit Aman dan Jabatan Peguam Negara.

Mungkin kepala boleh terselamat jika memakai serban tetapi dengan syarat ia mesti dipakai dan diikat dengan kemas serta kukuh, tidak timbul isu siapa yang memakainya sama ada pelajar pondok atau orang kampung.

Roh atau semangat undang-undang itu adalah untuk menjaga kepala daripada tercedera apabila terlibat dalam kemalangan. Ia bertepatan dengan prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga kepentingan nyawa. Orang mahu jaga nyawa kita, takkan yang itu pun mahu bangkang.