Dalam tulisannya Kadir meng­akui bahawa dia antara wartawan yang paling awal melaporkan ‘laporan palsu’ dan tersasar berkaitan BMF, mungkin kerana kenaifannya mempercayai kenya­taan seorang pegawai BBMB atau mungkin juga kerana mahu melindungi bosnya.

Kadir juga cuba mengaitkan kes BMF dengan Allahyarham Tun Hussein Onn dan Tengku Razaleigh Hamzah. Namun Kadir lupa bahawa laporan CIA yang didedahkan sama sekali tidak menyebut bahawa kes BMF mempunyai kaitan dengan Tun Hussein dan Ku Li, sebaliknya tanpa sebarang kesipuan dan secara jelas menyebut kaitannya dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Laporan CIA menyebut Mahathir secara jelas mungkin kera­na dari segi fakta, penyaluran wang pinjaman ke Kumpulan Carrian dan George Tan terus berlaku setelah Mahathir menjadi Perdana Menteri pada 1982 sehinggalah Jalil Ibrahim dibunuh pada 1983.

Banyak ‘cover up’ berlaku selepas pembunuhan Jalil dan tiada siasatan secara telus dibuat ke atas BMF sehingga CIA melaporkan dalam laporannya bahawa terdapat kemungkinan pegawai-pegawai Bumiputera yang dipenjarakan telah dikambinghitamkan.

Dalam skandal BMF, Jalil dihantar ke Hong Kong kerana terdapat kecelaruan audit.

Jalil dibunuh supaya pinjaman yang besar kepada pihak luar dapat diluluskan dengan segera. Perdana Menteri ketika itu adalah Mahathir.

Dalam skandal BMF, siasatan tidak dijalankan secara terbuka dan telus, sedangkan dalam kes 1MDB, audit forensik dilakukan oleh Jabatan Audit Negara dan laporan ini telah diteliti secara lebih mendalam pula oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang turut dianggotai ahli Parlimen pembangkang.

Paling penting, tiada ‘bail-out’ untuk menyelamatkan 1MDB. Sebaliknya dalam skandal BMF, menurut laporan CIA, nilai yang lesap akibat pinjaman BMF kepada Kumpulan Carrian adalah sebanyak RM2.255 bilion dan jumlah ‘bail-out’ menggunakan wang Petronas, adalah sebanyak RM2.188 bilion, iaitu RM933 juta untuk membeli saham BBMB dan RM1.255 bilion untuk mengambil alih hutang bermasalah BBMB.

Keseluruhan jumlah wang yang ‘lesap’ adalah RM2.255 (pinjaman kepada Kumpulan Carrian) + RM2.188 (‘bail-out’ BBMB) = RM4.443 bilion (mungkin sekitar RM17.8 bilion nilai wang semasa).

SKANDAL FOREX

Berkaitan skandal forex Bank Negara, Kadir berbohong apabila mengatakan bahawa penglibatan Bank Negara dalam forex adalah untuk mempertahankan nilai ringgit. Hakikatnya, Bank Negara telah menceburkan diri dalam kegiatan spekulasi mata wang dengan menggunakan rizab wang bank untuk membuat keun­tung­an.

Isyarat bahawa Bank Negara akan berspekulasi di pasaran pertukaran wang asing disebut di dalam satu syarahan yang disampaikan oleh Gabenor Bank Negara ketika itu, Tan Sri Jaafar Hussein di Delhi pada 1989 yang menyebut bahawa beliau telah menambahkan dimensi ketiga dan keempat kepada pengurusan rizab Bank Negara, iaitu, mengoptimumkan keuntung­an dan membangunkan kemahiran berurus niaga di dalam pasaran wang asing, sedangkan sebelum itu, teras utama pengurusan rizab adalah untuk menjaga dan melin­dungi nilai ringgit dan mengekalkan kecairannya di dalam pasaran.

Terdapat juga laporan media ketika itu yang menyebut, pada tahap kemuncaknya, Bank Negara pernah berspekulasi di dalam pasaran pertukaran wang asing sehingga RM270 bilion (AS$90-100 bilion). Pedagang-pedagang mata wang asing Bank Negara amat agresif dan digelar sebagai market bully. Penglibatan Bank Negara di dalam perjudian pasar­an pertukaran wang asing ini telah dikesan oleh Bank Pusat Amerika dan gabenornya ketika itu, Alan Greenspan yang menegur dan menggesa Bank Negara agar menghentikan segera perbuatan itu. Kenapa Kadir me­nyembunyikan cerita ini?

Bank Negara telah mengakui bahawa akibat penglibatannya dalam kegiatan spekulasi mata wang ini, kerugian yang direkodkan adalah sebanyak AS$10 bilion atau RM44 bilion nilai semasa.

Sama seperti skandal BMF, kerugian RM44 bilion ini dalam spekulasi forex ini juga tidak disiasat secara telus dan tidak dibentangkan kepada PAC seperti dalam kes 1MDB.

Dalam skandal BMF sebanyak RM2.255 bilion benar-benar lesap dan RM2.188 bilion ‘lesap’ dalam konteks wang yang digunakan sebagai ‘bail-out’, manakala dalam skandal forex Bank Negara, RM44 bilion benar-benar lesap.

Mengambil kira jumlah wang yang hilang dan yang ‘lesap’ kerana digunakan untuk ‘bail-out’ skandal BMF dan Forex ketika pemerintahan Mahathir, iaitu RM61.8 bilion (RM4.44 bi­lion skandal BMF) (nilai semasa RM17.8 bilion ) + RM44 bilion (skandal forex)), tidakkah wajar siasatan yang telus dilakukan? Terutamanya apabila skandal-skandal inilah yang telah menjadi punca krisis kewangan 1997-1999 iaitu krisis ekonomi paling buruk dalam sejarah Malaysia yang telah menyebabkan beratus-ratus ribu rakyat hilang pekerjaan dan ramai menjadi papa kedana ke­rananya?

Apa masalahnya sehingga Kadir terlalu takut dan kelam-kabut jika “perkara lama” ini disiasat oleh Suruhanjaya Diraja?

PENULIS ialah Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang juga bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mempengerusikan Unit Media Baru sesi 2009-2013.