Pengasingan ini berjaya mencapai matlamatnya apabila semua kaum terpisah dengan cara yang sangat sistematik. Tetapi selepas negara mencapai kemerdekaan dan penjajah balik ke negara asalnya, dasar penjajah diteruskan dalam bentuk baru dengan wujudnya sekolah berteraskan kaum iaitu sekolah vernakular.

Ini antara faktor utama yang menyumbang pada polarisasi kaum dan tampak dengan jelas dalam beberapa kejadian melibatkan pergeseran kaum ketika ini. Sepatutnya para pemimpin yang mewakili kaum masing-masing bimbang dengan perkembangan yang cukup mencemaskan ini.

Pemimpin semua kaum sejak awal merdeka lagi sebenarnya tahu bahawa sekolah vernakular adalah barah pada perpaduan. Selagi barah ini tidak dibuang, selama itulah juga semua perkara bersangkutan dengan perpaduan akan terhalang. Tetapi mereka tidak mempunyai kesungguhan politik untuk mewujudkan sistem satu sekolah - sekolah kebangsaan.

Penyata Razak 1956 umpamanya secara tegas lagi jelas mencadangkan supaya diadakan sekolah satu aliran yang terbuka kepada semua kaum. Sekolah kebangsaan sangat penting kerana di sinilah pendedahan awal kepada kanak-kanak untuk hidup dalam persekitaran sosial dengan kaum lain.

Tetapi ini tidak dipedulikan dan tersimpanlah Penyata Razak diam-diam di Arkib Negara. Sekolah vernakular berkembang dan pemimpin terus berkokok tentang perpaduan. Anak-anak kita pula terus terpisah daripada rakan sebaya kaum lain, yang Melayu pergi ke sekolah kebangsaan, kanak-kanak Cina pergi ke sekolah aliran Cina dan India ke sekolah aliran India.

Memang ada kanak-kanak Cina dan India dihantar ke sekolah kebangsaan. Tetapi pertumbuhan sekolah vernakular apa lagi diberi peruntukan kewangan seolah-olah sekolah kebangsaan memberikan isyarat yang membimbangkan. Sekolah kebangsaan diketepikan oleh sesetengah bukan Melayu apabila sekolah vernakular semakin ditonjolkan dan diperjuangkan.

Pada masa yang sama tanggapan serong seolah-olah sekolah kebangsaan adalah ‘sekolah Melayu’ tidak pernah cuba diperbetulkan dengan bersungguh-sungguh. Ini satu tanggapan yang salah sama sekali. Hakikatnya sekolah kebangsaan bukan sekolah Melayu tetapi untuk semua - Melayu, Cina, India dan etnik di Sabah dan Sarawak. Orang Melayu tidak ada sekolah.

Maka pemimpin politik tidak perlu apologetik untuk mengakui bahawa ibu segala penghalang perpaduan adalah sekolah vernakular. Pemimpin politik gagal bertegas menyatukan semua kaum di bawah satu sekolah. Toleransi melulu ternyata lebih merugikan daripada menguntungkan.

Sekolah adalah institusi sosial yang paling awal selepas institusi keluarga untuk membentuk peribadi seseorang warga. Di sekolah adalah tempatnya untuk mereka menyerapi kepelbagaian dalam kebersatuan. Bagaimanapun hal ini sama sekali tidak menghalang mereka mengamalkan bahasa dan budaya asal dengan syarat bukan untuk dalam situasi rasmi.

Sekiranya sistem satu sekolah dapat dizahirkan dengan keberanian mengetepikan kepentingan politik kaum, perpaduan dan persefahaman dalam kalangan pelbagai kaum berlaku dalam keadaan semula jadi, tanpa paksaan.

Bagaimanapun untuk melakukan sesuatu untuk kepentingan negara menuntut keberanian dan kesungguhan yang tinggi melampaui kepentingan politik kaum. Perpaduan, keamanan dan persefahaman antara kaum tidak datang tanpa pengorbanan daripada pihak tertentu.

Perjuangan mengekalkan sekolah vernakular oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu sebenarnya adalah suara politik kaum di negara ini. Apabila sekolah vernakular menjadi barang tawar menawar di pasaran politik, selama itulah perpaduan sekadar perhiasan bukan keperluan.