Bidalan ini juga tiada kaitan dengan janji menurunkan harga minyak kepada RM1.50 seliter. Itu awak kena 'jual minyak’. Berhati-hatilah dengan orang yang banyak merungut, kerana mereka 'tahi minyak’.

Orang Sarawak 'naik minyak’ atau dalam bahasa standard, marah terhadap Petronas, bukan direka-reka, bukan ayat macai, bukan Fake News. Marahnya orang Sarawak ibarat Puteri Santubong geram terhadap Puteri Sejinjang.

Saban hari, dada akhbar tempatan Sarawak membentangkan rasa amarah daripada pelbagai pihak. Kerajaan negeri bersiap-sedia dengan barisan peguamnya. Pembangkang turut menzahirkan solidariti, walaupun di hujung hujah mesti menyelitkan 'ini semua salah kau sebab tidak uruskan benda ini lama dulu’. Memang high class...

Ada juga yang sudah mula menjauhkan diri daripada menggunakan produk minyak Petronas, malah menggunakan tandas di stesen minyaknya pun tidak lagi sudi.

Kenapa? Apa yang berlaku? Tanya anda yang mungkin terlepas kejadian. Tidak juga salah anda 100 peratus. Berita ini kecil sahaja siarannya di media massa Semenanjung ini. Lainlah jika anda ada sahabat dari Sarawak dalam Facebook, kemungkinan besar anda akan dapati mereka berkongsi berita ini.

1 - Pada 4 Jun lalu, Petronas memfailkan permohonan terhadap Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan perisytiharan bahawa Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974, yang digubal oleh Parlimen dan bahawa Petronas memiliki kuasa regulatori eksklusif terhadap aktiviti huluan di seluruh Malaysia, termasuk Sarawak.

Oleh kerana dilihat mendadak, ada yang beranggapan tindakan Petronas ini semacam perisytiharan perang kerana ia memiliki implikasi politik yang sangat besar, pasca kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum ke-14.

2 - Antara persoalan yang ditimbulkan ialah apakah tindakan Petronas ini mendapat restu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad? Ini kerana tindakan perundangan ini bertentangan sama sekali dengan janji manifesto PH kepada rakyat Sarawak untuk membela nasib penduduk negeri dan mendapatkan royalti minyak sebanyak 20 peratus.

Sudahlah projek Lebuh Raya Pan-Borneo dimasukkan dalam projek-projek mega yang dikaji semula, sekarang hal minyak juga mahu dinafikan. Apakah Petronas tidak melihat sudut implikasi politik ini, yang pasti merumitkan PH untuk meyakinkan rakyat Sarawak selepas ini?

3 - Tujuan asas Petronas mengambil tindakan undang-undang ini ialah bagi mendapatkan pengesahan Mahkamah Persekutuan, yang akan membantu memberi penjelasan seterang-terangnya mengenai bidang kuasa PDA terhadap industri minyak dan gas di Sarawak.

Tidak berapa kena jika melihatnya sebagai 'mengajak berperang’. Tidak masuk akal sebenarnya. Petronas telah menyumbang besar kepada pembangunan sektor minyak dan gas di Sarawak, terutama di Bintulu. Jadi, perkara ini hendaklah diurus dengan tenang dan waras.

Pada masa ini, mengikut Akta Pembangunan Petroleum tersebut, kerajaan negeri hanya layak menerima royalti 5 peratus. Untuk meningkatkannya kepada 20 peratus, memerlukan akta itu dipinda di Parlimen. Dan Parlimen sekarang dikuasai oleh Pakatan Harapan.

4 - Usaha kerajaan negeri untuk meraih 20 peratus royalti dimulakan oleh Allahyarham Tan Sri Adenan Satem pada 2014, yang membawa usul tersebut ke sidang Dewan Undangan Negeri, dan diluluskan. Kini tanggungjawab ini dipikul Ketua Menteri Datuk Abang Johari Tun Openg.

Kerajaan Sarawak (dan juga Sabah) telah sekian lama menuntut agar royalti minyak yang ditetapkan hanya 5 peratus, dinaikkan kepada 20 peratus. Bila tidak dilayan, maka pada Julai 2017, Abang Johari mengumumkan penubuhan entiti pengurusan minyaknya sendiri, Petroleum Sarawak Berhad atau Petros.

Semua syarikat yang beroperasi dalam aktiviti huluan O&G di negeri itu dikehendaki memperoleh lesen dan pajakan dari kerajaan negeri bermula 1 Julai. Ia meliputi kontraktor, subkontraktor dan vendor. Penubuhan Petros adalah bersandarkan Ordinans Perlombongan Minyak 1958.

Menurut satu laporan, Peguam Negeri Sarawak mengutus surat kepada Petronas pada 13 April mengenai peraturan tersebut. Petronas, dalam surat bertarikh 22 Mei, menolak tafsiran kerajaan negeri tersebut dengan menyatakan tiada keperluan untuk memohon lesen atau pajakan dari Sarawak.

5 - Itulah rentetan peristiwa membawa kepada tindakan Petronas mengaju kepada mahkamah mengenai status sebenarnya. Bukan hendak berperang. Sekadar mendapat penjelasan tentang kaedah terbaik untuk berterusan mencipta nilai bagi negara dan rakyat.

Merrepak tidak mahu menghalusi daripada sudut perundangan. Tidak pasal-pasal nanti dituduh subjudis pula. Namun hakikatnya, persoalan tuntutan penambahan royalti minyak dari 5 peratus kepada 20 peratus sudah lama dibuat. Jika kerajaan Barisan Nasional dulu buat tidak tahu, apakah kerajaan Pakatan Harapan pun akan buat tidak tahu?

Seharusnya Kerajaan Pakatan Harapan amat memahami sensitiviti soal royalti minyak dalam kalangan rakyat Sabah dan Sarawak ini, yang jika tidak dipenuhi bakal memberi implikasi negatif kepada kedudukan parti Pakatan Harapan di kedua-dua negeri itu.

6 - Satu jalan penyelesaian kepada isu tuntutan ini ialah meminda Akta Pembangunan Petroleum 1974 di Parlimen untuk memberi apa yang sememangnya hak hasil bumi kepada rakyat Sarawak dan Sabah.

Suara-suara 'naik minyak’ makin lantang bukan sahaja di Sarawak tetapi juga di Sabah ekoran isu ini, termasuk meminta penelitian sedalam-dalamnya Perjanjian Pembentukan Malaysia 1963 (MA63). Menafikan atau membisu mengenai tuntutan 20 peratus royalti minyak ini dengan terus-menerus tidak melayan permintaan penduduk Sabah dan Sarawak, bukanlah satu pilihan wajar bagi Kerajaan Persekutuan sekarang, dari segi ekonomi dan politik.