Kerana lumrahnya tiada orang yang suka dengan orang yang bersifat sombong dan bongkak, berasa terlalu percaya sesuatu kejayaan itu berlaku kerana kelebihan dan kebolehan dirinya.

Oleh sebab itu hiduplah dalam emosi kesederhanaan – tidak terlalu merendah diri dan tidak terlalu meninggi diri. Ketidakseimbangan emosi inilah yang membuatkan hidup kita nanti terbelenggu dalam kerisauan.

Hidup kita ini tidak boleh lepas daripada kerisauan terutama jika kita hidup dalam kesusahan, kemiskinan dan tanpa kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Namun begitu, hal ini bukan bermakna orang yang kaya, berkedudukan dan berpangkat tinggi tidak mengalami kerisauan, malah lebih ironi lagi golongan elit dan atasan inilah yang hidup mereka dibelenggu kerisauan.

Kerisauan mereka didorong oleh rasa risau dan takut apa-apa yang mereka miliki akan hilang dicuri atau dirampas orang, hingga kedudukan mereka yang bahagia, berharta, berkuasa, berpangkat dan berkedudukan, dimuliakan serta disanjung hilang sekelip mata (kerisauan duniawi).

Bagaimanakah caranya kita hendak mengawal emosi sendiri yang negatif, (risau hingga menyebabkan stres) ini supaya menjadi positif? Untuk mencari kekuatan diri sebagai landasan kekuatan untuk hidup di dunia dan di akhirat kita mesti pegang kepada empat prinsip hidup.

Pertama, mesti tahu apa yang kita buat dan mesti ada tujuan. Kedua, pastikan konsep hidup pilihan kita. Ketiga, fokus kepada tujuan hidup kita, sama ada hendak mencari reda Allah dan bebas daripada penghargaan manusia atau sebaliknya. Keempat, lihat konsep hidup yang menjadi pilihan kita ini adakah untuk memberi manfaat serta menjadi hamba Allah supaya kita bertanggungjawab menjalankan suruhan-Nya dan memberi manfaat kepada orang atau sebaliknya.

Dengan ilmu dan iman yang kita ada emosi negatif dapat kita kawal. Lagi banyak ilmu dan lagi tinggi tahap ketakwaan kita, lagi terkawallah emosi kita untuk mengurus setiap peristiwa yang berlaku ke atas kita. Kalau kita selalu fikirkan Allah sentiasa tengok apa yang kita buat, kerisauan kita akan hilang. Pasti. Allah jadi tempat pergantungan kita.

Tidak berbaloi

Masalahnya kebanyakan daripada kita ini dibelenggu oleh kerisauan kehidupan duniawi. Apa yang kita risau adalah mengenai urusan dunia yang tidak selesai-selesai seperti masalah kesihatan, pekerjaan, pelajaran, harta benda dan kekayaan.

Risau yang begini tidak berbaloi, yang hanya membuatkan kehidupan kita stres dan memberikan kesan hidup negatif, sebab stres yang tidak memberatkan timbangan pahala kita di padang mahsyar.

Contohnya, risau bimbang suami beralih kasih kepada orang lain, risau sebab anak tidak mengenang jasa baik kita dan membalas budi kita membesarkannya hingga dia berjaya dalam hidup. Kerisauan ini memberikan kita kehidupan stres yang negatif. Sebaliknya jika kerisauan kita itu kerana bimbang kita tidak cukup kuat beramal ibadah, bimbang anak tidak menutup aurat dan seumpamanya, ia membawa kepada stres positif.

Alangkah ruginya kalau kita tidak dapat kawal kerisauan kepada perkara yang kita tidak boleh kawal, yang terletak dalam genggaman dan kekuasaan dan takdir Tuhan. Biarlah kita tentukan hidup kita ini meladeni kerisauan hati dan fikiran yang memberi makna dan berbaloi.

Kita tidak boleh kawal hati orang waima suami/isteri atau anak-anak kerana Allah yang mentakdirkan setiap peristiwa yang berlaku ke atas mereka. Risau kepada benda yang tidak boleh kawal kita akan penat.

Risau tentang dunia yang kita tidak boleh bawa mati amat merugikan. Betulkan akhirat kita, dunia kita juga akan turut terjaga. Ingatlah setiap peristiwa baik atau buruk yang terjadi kepada kita adalah takdir Allah SWT. Tindakan kita adalah bagaimana kita mentakbir, takdir Allah yang sudah ditetapkan berlaku ke atas kita.

Takdir diri menentukan kesan keimanan dan berdoa dekat dengan Allah SWT. Setiap kerisauan akhirat akan membetul kerisauan duniawi. Kawal kecerdasan minda dan emosi agar seimbang dan mampu menimbang baik buruk peristiwa kehidupan. Emosi positif ialah kasih sayang, hormat menghormati, menghargai, belas kasihan.

Kita akan tenang kalau ada emosi positif, kerana nadi kita akan tenang. Amalan yang paling baik adalah menahan marah. Sebab dari marah, kita dendam, dengki, khianat, tamak, dan risau kepada perkara yang tidak sepatutnya iaitu, “risau apa orang kata.”

Ingatlah apa yang kita risau dan streskan itulah yang akan terjadi. Contohnya banyak orang yang risau sesuatu penyakit itu akan berjangkit, maka berjangkitlah ia. Umpamanya sakit mata jika semua doktor mempunyai sistem kepercayaan ini maka tiadalah seorang pun pesakit mata yang dapat dirawat. Apa yang pertama kali tergambar pada fikiran kita akan menentukan emosi kita.

Jika kita berfikir yang bukan-bukan, itulah yang dinamakan law of concentration, iaitu apa yang kita konsentrasi atau tumpukan itu akan menambah. Apa yang fikiran kita fokus itulah yang akan terjadi, sebab kepercayaan dan kerisauan kita terhadap hal itu kian meningkat.

Orang anxiety atau “kerisauan” selalu fokus kepada perkara yang tidak elok, dan orang begini dinamakan orang neurotik. Orang yang neurotik bahasa yang biasa digunakan atau keluar dari mulutnya adalah seperti, “masalahnya”, “kalau tidak jadi macam mana”. Iaitu kata-kata yang negatif, yang mematahkan semangat sebelum melakukan sesuatu perkara.

Jom audit diri dan lakukan transformasi diri dari segi akidah dahulu. Orang yang beriman kepada hari kiamat pasti akidahnya mantap. Seterusnya jaga ibadah, laksanakan ibadah dengan sempurna.

Termasuk kaum wanita, aurat solat kita sentiasa bersedia untuk solat, jaga pergaulan dan lain-lain jaga akhlak dengan Allah dan dengan orang. Apabila akhlak dengan orang baik orang pun baik dengan kita. Kecerdasan emosi adalah apabila kita melakukan sesuatu kita tenang.

Setiap kali bangun pagi apa yang kita ingat atau apa yang pertama kali terlintas di hati kita, itulah menentukan tingkat keimanan dan ketenangan hati kita (Allah atau hal-hal dunia?) Kalau bangun tidur terus ingat hendak bertahajud maka kita ingat Allah.

Kita mengharapkan hubungan suami isteri bukan hanya sebagai pasangan untuk berkasih sayang tetapi jadilah pasangan untuk beribadah. Apabila suami isteri mengejar dunia, salah seorang akan kalah. Tetapi, kalau suami isteri berebut akhirat sekeluarga akan dapat manfaatnya.

Jom audit diri apakah visi dan misi kita untuk diri dan keluarga kita, semoga niat hati kita seia sekata untuk membawa keluarga ke syurga. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Penulis adalah Pengarah Pusat Mata dan Lasik Prof. Muhaya.