Waima, janjilah bermacam-macam agenda mahupun propaganda, sedikit pun hati rakyat negeri ini tidak mudah terjentik dengan pengaruh luar dari kawasan pantai timur. 

Selama 28 tahun Pas memerintah Kelantan segalanya sudah didoktrin sempurna bahawa Pas parti memperjuangkan Islam. Pegangan yang sudah lama berakar umbi sejak dari kanak-kanak, sebab itu adanya Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti). 

Cubaan DAP meresap masuk pemikiran orang Melayu khususnya di kawasan bandar seperti Pengkalan Chepa ibarat politik ‘kamikaze’ yakni berani mati kerana umum mengetahui Parlimen itu merupakan kubu kuat Pas. 

Durasi 17 minit Penasihat DAP, Lim Kit Siang berucap sempena Majlis Rumah Terbuka DAP Kelantan malam semalam, intipatinya adalah menentang sebuah kerajaan korupsi dan tidak berintegriti. 

Apakah Kit Siang lupa untuk melihat rekod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kerajaan Pas Kelantan?

Soalnya, apakah Melayu sebenarnya diperkudakan meneruskan agenda dan matlamat mereka? 

Sudahlah pemimpin Melayu dalam PH membisu tentang isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) melibatkan sekolah persendirian Cina yang bakal dilaksanakan kepimpinan parti itu, dapat pula ‘Melayu’ cadang tutup semua sekolah tahfiz di negara ini dengan kenyataan berbaur pandangan peribadi. 

Mimpi apakah DAP ingin menawan Kelantan? Hakikatnya, kenapa perlu iri hati dengan kemenangan Pas di Kelantan dan Terengganu? Ibarat ‘sudah dapat betis hendak peha’, jagalah dahulu negeri yang kalian menang. 

Barisan Nasional (BN) juga sudah cukup bersyukur memiliki Perlis dan Pahang. Sekarang adalah masanya setiap parti mengotakan setiap janji bukan masa mendongak ke langit. 

Perang strategi itu perlu, tetapi jangan sampai mengguris hati orang Melayu di tanah air sendiri. - UTUSAN ONLINE