Saya tersentuh melihat satu video yang memohon bantuan segera bagi menempatkan berpuluh-puluh anak yatim yang dihalau dari rumah kerana anak pemilik tanah  yang diwakafkan mahu mengambil semula tanah tersebut. Terpaksalah anak-anak yatim itu berlindung di rumah ustaz dan  ustazah yang lain.

Rezeki Allah yang menentukannya. Ada sebuah bangunan yang dalam pembinaan untuk dijadikan madrasah dan tempat tinggal anak-anak yatim itu.  Pembinaannya perlukan sumbangan anda.

Eloklah perkara yang baik disebar kepada semua umat Islam semoga masing-masing dapat pahala. Namun kita kena juga berhati-hati bila permintaan derma atau sedekah yang dibuat melalui media sosial. Sebab pernah berlaku, sebaran hal minta derma sumbangan membiayai kos rawatan di hospital sebenarnya melibatkan kes yang sudah beberapa tahun sudah berlalu. Maknanya benda yang sama diulang-ulang. Tak tahu nombor akaun bank siapa pula yang dipergunakan.

Jadi berhati-hatilah dalam hal menderma berdasarkan maklumat melalui media sosial. Periksa dahulu jika berhajat bersedekah.

Susulan topik tentang peminta sedekah minggu lalu, ada pembaca yang memberi komen. Antaranya Ismail yang berpendapat sikap murah hati rakyat Malaysia yang suka bersedekah telah mengundang gejala tidak sihat iaitu lambakan pengemis termasuk pengemis warga asing yang menjadikan Malaysia sebagai lubuk untuk mereka mendapatkan wang.

Ada kalangan pengemis yang mampu mengutip hasil pendapatan se­­banyak  RM150 hingga RM300 seha­ri. Tanpa perlu bekerja keras, cuma ber­lakon dengan riak wajah yang sugul dan berpakaian kusam, kecacatan yang dibuat-buat maka mereka boleh mendapat wang secara mudah.

Seorang lagi pengirim e-mel, Suhaimi melihat mutakhir ini pelbagai cerita tentang  peminta sedekah. Dia kesal kerana kebanyakan cerita yang tidak baik tentang pengemis. Ada pengemis didakwa berpura-pura buta dan meminta sedekah daripada orang ramai. Ada pengemis yang memang kurang upaya (OKU) tetapi telah diperalatkan oleh sindiket-sindiket tertentu untuk mendapatkan keuntungan hasil daripada kerja mengemis di tempat-tempat awam. Juga terdapat laporan yang menyebut ada individu yang malas bekerja dan menjadikan kerjaya mengemis sebagai pekerjaan tetap.

Semua cerita yang negatif ini sedikit sebanyak menyebabkan timbul keraguan dalam kalangan orang awam untuk bersedekah kepada pengemis. Untuk menangani keraguan begini, dicadangkan kita perlu mengenal pasti dahulu pengemis itu. Kalau rasa ada yang meragukan, tak perlu beri apa-apa kepada pengemis itu.

Memang tidak wajar untuk menghukum semua pengemis adalah sama hanya berdasarkan kepada dua tiga penemuan kes penipuan.

Kalau kita rasa benar-benar mahu bersedekah, lebih baik sedekahkan terus kepada rumah-rumah orang tua, rumah anak yatim dan golongan yang benar-benar memerlukan.

Dengan cara ini kita rasa lebih yakin dan percaya sumbangan kita terus kepada yang memerlukan. Tidak ada rasa tertipu.

Rasanya kita elok hentikan memaksa anak-anak yatim dan pelajar tahfiz daripada meminta derma atau sedekah. Pusat pungutan zakat di setiap negeri dipercayai menerima sumbangan zakat yang banyak setiap tahun. Gunakanlah wang zakat itu untuk membantu asnaf.

Sebaliknya yang kita lihat sejak berdekad lalu, pusat zakat pula sibuk memperluaskan pelaburan dan membesarkan pejabat. Memang ada golongan asnaf yang dibantu, tetapi kenapa masih banyak lagi yang meminta derma dan sedekah di jalanan, di depan pintu bank, dan masjid. Kenapa tidak dibantu rumah-rumah anak yatim yang kesempitan kewangan untuk mengurus keperluan harian penghuninya.

Kalau ada kalangan kita yang ragu-ragu untuk memberi sumbangan sedekah kepada mana-mana rumah anak yatim atau golongan asnaf yang memerlukan bantuan atas sebab-sebab tertentu, maka biasakanlah diri berkunjung ke rumah anak yatim atau pusat tahfiz.
 

BAHASA MALAYSIA ATAU BAHASA MELAYU ?

Persoalan tentang kedudukan sebenar nama yang patut diberi kepada bahasa rasmi negara ini sudah berlarutan sekian lama. Sekejap bahasa Malaysia, sekejap bahasa Melayu!
Kedua-duanya boleh. Kita pun sudah lama tidak meneliti kesan penggunaan nama pada bahasa kebangsaan ini. Saya tertarik dengan e-mel yang diterima daripada saudara Mohd Zul.

Katanya, dia terpanggil untuk menulis selepas terbaca berita bertajuk ‘Bahasa Malaysia tool to unite communities’ (The Sun, 10 January 2017).

Pemimpin politik menggantikan  istilah ‘Bahasa Malaysia’ bagi menggantikan ‘Bahasa Melayu’ atas alasan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.

Menurut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan; "Bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu’’.
Bahasa Inggeris tetap dipanggil bahasa Inggeris tidak kira di Britain, Amerika Syarikat, Australia atau New Zealand.  

Samalah bahasa Melayu dipanggil bahasa Melayu di Brunei dan Singapura. Di Indonesia, bahasa Melayu dipanggil bahasa Indonesia mungkin kerana kaum Melayu di sana hanyalah etnik minoriti. Presiden Sukarno dahulu mungkin tidak mahu menimbulkan rasa kurang senang keturunan Jawa.

Di negara kita, kata Mohd Zul agak keliru, mana satu hendak dipanggil - bahasa Melayu atau bahasa Malaysia?

Jalan terbaik untuk memupuk perpaduan bukanlah me­nukar nama bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia tetapi dengan menggalakkan murid pelbagai kaum untuk belajar dalam satu aliran persekolahan.

Untuk mansuhkan sekolah jenis kebangsaan Cina atau sekolah jenis kebangsaan Tamil memang agak sukar kerana memang sifat orang Melayu begitu bertimbang rasa.

Terpulanglah pada budi bicara rakyat Malaysia, mana satu ‘bahasa’ pilihan mereka.