Pernahkah anda melalui keadaan yang mana semasa memerlukan bantuan kewangan atau kemudahan yang memang sudah disediakan tetapi terlalu sukar untuk mendapatkannya kerana terpaksa melalui macam-macam prosedur?

Terlalu banyak halangan, birokrasi dan pelbagai syarat yang perlu dipenuhi membuatkan anda yang ketika itu berada dalam kesusahan dan terdesak, makin tertekan dan bertambah pening kepala memikirkan apa semua ini.

Inilah cerita yang paling kerap kita dengar. Apabila minta tolong atau mahu menggunakan bantuan tertentu, pihak yang amat memerlukan ini terpaksa menahan segala rasa sabar, marah, kecewa dan ada kalanya malu, sebelum boleh menerima bantuan itu.

Persoalannya, peruntukan memang sedia ada, tetapi mengapa susah untuk dikeluarkan? Ini membuatkan kita terfikir, apa masalah sebenarnya? Hendak beri atau tidak? Atau sukakah pihak yang menguruskan bantuan itu melihat orang yang sedang dalam kesusahan ini bagaikan peminta sedekah. Merayu sana-sini, menghubungi pihak terbabit berulang kali dan dijawab dengan endah tak endah.

Kalau betul pun ada prosedur yang perlu dilalui, janganlah sampai merumitkan. Kenapa perlu meminta macam-macam. Contohnya, meminta dokumen-dokumen yang sukar diperoleh. Bukankah lebih baik jika syarat-syarat sudah dipenuhi, maka dipermudahkan saja.

Kadang-kadang, prosedur biasa-biasa sahaja, tetapi pihak yang menguruskannya bersikap terlalu ‘berkira’. Ibarat wang atau kemudahan itu dia yang punya. Dan ada yang memandang orang yang meminta bantuan itu, seolah-olah menyusahkan dia pula, kerana kena buat banyak kerja. Yang hairannya apabila kena pada diri sendiri, cepat sahaja dia bertindak. Bila kena pada orang lain, banyak pula permintaannya.

Persoalan yang lebih besar lagi di sini, kenapa perlu menyusahkan? Kenapa tidak menggunakan pertimbangan kemanusiaan dan logik akal? Kenapa terlalu mengikut buku sangat? Biarlah orang itu susah, asalkan ikut buku.

Inilah yang perlu dilihat dan difikirkan oleh pihak yang menguruskan peruntukan dan kemudahan-kemudahan lain tidak kiralah dalam sesebuah agensi, jabatan kerajaan atau swasta atau di mana-mana pun.

Kena ada pertimbangan kemanusiaan. Kena berfikir di luar kotak dan kaya jiwa. Orang yang datang meminta pertolong­an, adalah orang yang sedang dalam kesusahan dan amat memerlukan bantuan itu. Mengapa mahu disusahkan lagi hati mereka? Kalau senang, mereka tidak datang meminta tolong dan sudah pasti tidak suka-suka mahu melalui semua kerenah birokrasi itu. Lebih baik duduk diam-diam di rumah.

Dan dalam Bajet 2018 yang dibentangkan Jumaat lalu, kita melihat banyak peruntukan untuk membantu golongan-golongan tertentu. Justeru, kita berharaplah peruntukan tersebut dapat diagihkan melalui sistem yang efisien dan lancar. Tidak perlulah minta terlalu detail. Minta macam-macam dokumen, tandatangan sokongan dan sebagainya. Kalau orang itu sudah terbukti susah, tidak diragui, patut dibantu, tolong sajalah.

Penjawat awam yang menguruskannya, uruskanlah de­ngan sepenuh jiwa. Anda juga telah mendapat keistimewaan dan insentif tertentu dalam bajet itu. Jangan pandang pihak yang meminta bantuan seperti orang yang menyusahkan kerana menambahkan kerja anda.

Yang akan terjejas imejnya kerana kerenah birokrasi tahap tertinggi ini selalunya sudah tentulah pihak yang menge­luarkan bantuan atau peruntukan itu, bukannya pihak yang menguruskan. Ini perlu difikirkan.

Niat membantu memang murni dan amat dihargai tetapi ia mesti seiring dengan sistem penyampaian yang cekap dan memudahkan. Jika kita permudahkan urusan orang lain, Tuhan pasti akan mempermudahkan urusan kita pula. Jika hendak menyulitkan semua hal, tidak perlulah ada bantuan atau menyediakan kemudahan itu dan ini. Simpan sajalah semuanya itu ‘ketat-ketat’. Habis cerita.