Ia bukanlah sesuatu mengejutkan kerana itulah sikap mereka apabila ada isu-isu melibatkan kepentingan bersama. Sebelum ini pun kita sudah lihat bagaimana mereka akan bersatu biarpun hakikatnya MCA, DAP dan Gerakan mempunyai ideologi berbeza serta berada dalam kelompok berlainan. MCA bersama Barisan Nasional (BN), DAP dalam Pakatan Harapan manakala Gerakan kini berjuang sendirian.

Dr. Maszlee berhujah berdasarkan fakta dan memaparkan ketegasannya dalam mempertahankan hak orang Melayu dan bumiputera. Apakah kerana Dr. Maszlee menyentuh perkara berkaitan kaum Cina maka beliau dianggap rasis?

Pemimpin-pemimpin MCA, DAP dan Gerakan sepatutnya lebih bersikap terbuka dalam soal ini. Mereka tidak boleh melihat kenyataan beliau dari sudut sempit. Kalau betul mereka berjiwa rakyat Malaysia, mereka sepatutnya tidak perlu lagi membangkitkan soal kuota dalam matrikulasi.

Isu tersebut sepatutnya boleh dianggap selesai apabila pada 24 April lalu, Kabinet mengekalkan kuota kemasukan 90 peratus untuk pelajar bumiputera manakala 10 peratus kepada bukan bumiputera tetapi meningkatkan jumlah pengambilan kepada 40,000 orang berbanding 25,000 orang tahun lalu.

Langkah itu akan membolehkan jumlah pelajar bumiputera meningkat daripada 22,500 kepada 36,000 orang manakala jumlah pelajar bukan bumiputera meningkat daripada 2,500 kepada 4,000 orang.

Oleh itu apa lagi pemimpin MCA, Gerakan mahupun DAP tidak puas hati? Apakah keadilan hanya dianggap sudah terlaksana apabila apa juga perkara berkaitan kuota melibatkan orang Melayu dan bumiputera diberikan sama rata?

Mungkin apa yang penulis hujahkan ini tidak menyenangkan banyak pihak dan akan dianggap berbaur perkauman, tetapi inilah yang berlegar-legar dalam fikiran orang Melayu.

Dr. Maszlee bukanlah bersikap perkauman, beliau hanya menyatakan kebenaran. Sepatutnya pemimpin-pemimpin berkenaan berlapang dada menerima kenyataan beliau dan bukannya melenting tidak tentu pasal, seolah-olah sentuh sahaja soal kepentingan kaum Cina, ia akan dianggap perkauman.

Kenyataan Dr. Maszlee disokong Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Ir. Dr.Badlishah Ahmad yang menegaskan, “sebagai seorang yang berada dalam persekitaran pendidikan sejak 1990-an lagi, saya merasakan pandangan Menteri Pendidikan adalah jelas dan bukan bersifat perkauman.”

Hujah Dr. Badlishah, keadilan bukanlah bererti memberi hak sama rata tetapi meletakkan sesuatu yang hak di tempat sepatutnya. Perlembagaan Malaysia sendiri menggariskan perkara-perkara yang menjadi pasak negara dan sewajarnya menjadi pegangan teguh dan difahami semua pihak.

Tidak payahlah mahu mempolitikkan kenyataan Dr. Maszlee semata-mata mahu menonjolkan diri masing-masing sebagai pejuang kepada kaum sendiri. Kalaulah mereka boleh berhujah macam-macam bagi mempertahankan kepentingan kaum mereka kenapakah Dr. Maszlee tidak boleh melakukan perkara yang sama?

Ia seperti mana kata Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani, keputusan itu amat adil kerana selari matlamat asal program matrikulasi semasa diperkenalkan.

“Perlu diingat program matrikulasi ini diperkenalkan khusus untuk pelajar bumiputera ekoran masalah ketidakseimbangan kaum di universiti sehingga Jemaah menteri di bawah kepemimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Jun 2002 meluluskan peruntukan 10 peratus kuota bagi pelajar bukan bumiputera mulai sesi kemasukan 2003,” katanya.

Berdasarkan hujah itu lebih baik jika polemik berhubung kuota matrikulasi tersebut dihentikan dan tidak dipolitikkan.

Seperkara lagi apabila Dr. Maszlee membangkitkan soal syarat bahasa Mandarin, beliau bukanlah mahu mencampuri urusan Kementerian Sumber Manusia. Ia memandangkan Dr. Maszlee hanya mengetengahkan persepsi masyarakat terhadap syarat seumpama itu.

Kalaulah pemimpin MCA berhujah Dr. Maszlee perlu meminta Menteri Sumber Manusia melakukan kajian sebelum membuat tuduhan, kenapakah dalam soal kuota matrikulasi, pemimpin-pemimpin parti itu dan Gerakan tidak mahu membuat kajian sebelum membantah kuota sedia ada? Kenapakah baru sekarang ia dibangkitkan sejak sistem kuota dilaksanakan pada 2002?

Semua orang tahu puncanya. Apa yang pasti seperti mana kata Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Pendidikan itu tidak perlu takut atau minta maaf!