Pada sidang akhbar di Pelabuhan Klang kelmarin, Hishammuddin menyifatkan Kang Chol biadab dalam mengeluarkan kenyataan berhubung kes itu dan bertindak ‘melebihi apa yang dipertanggungjawabkan terhadapnya sebagai duta’.

Kenyataan Hishammuddin boleh dianggap paling tegas dibuat oleh pemimpin kanan kerajaan Malaysia selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sikap Kang Chol dilihat ‘biadab dari segi diplomatik’ manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu Duta Besar Korea Utara itu menghormati undang-undang Malaysia.

Sememangnya sikap yang ditunjukkan oleh Kang Chol amat memualkan. Sejak hari pertama kejadian lagi ada laporan yang mengatakan beliau menghalang proses bedah siasat dijalankan dan menuduh kerajaan Malaysia bersekongkol dengan pihak luar khususnya Korea Selatan dalam kes tersebut.

Kita memahami tekanan yang dihadapi oleh Kang Chol tetapi beliau perlu faham walaupun seorang diplomat, beliau mesti menghormati undang-undang negara ini. Jong-nam dibunuh di Malaysia, oleh itu pihak berkuasa negara ini perlu menjalankan siasatan rapi bukannya sewenang-wenangnya membuat kesimpulan atau keputusan ia hanya satu kes kematian mengejut.

Rakaman litar tertutup di KLIA2 jelas menunjukkan Jong-nam ‘diserang’ oleh dua wanita yang kini sudah ditahan oleh pihak polis dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar membentangkan fakta-fakta yang menjurus kepada petunjuk bahawa pembunuhan ke atas Jong-nam dilakukan secara terancang.

Sepatutnya, Kang Chol berterima kasih kepada kerajaan Malaysia khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang begitu pantas menahan suspek-suspek dan mendedahkan perancangan jenayah kejam tersebut. Tetapi malangnya Kang Chol bagaikan ‘tidak keruan’ apabila mendapati pihak polis negara ini hampir berjaya menyelesaikan kes pembunuhan tersebut.

Walaupun kita tidak tahu kenapa Kang Chol bersikap demikian namun berdasarkan corak pemerintahan di Korea Utara, semua orang boleh meneka kenapa beliau sanggup melanggar batas-batas seorang diplomat.

Oleh itu Hishammuddin telah membuat kenyataan yang tepat bagi merumuskan sikap Kang Chol. Ini memandangkan Duta Besar Korea Utara itu perlu mematuhi undang-undang negara ini. Malaysia tidak ada apa-apa kepentingan apa­tah lagi mahu bermain politik dalam kes pembunuhan itu.

Sebaliknya pihak berkuasa Malaysia menjalankan siasatan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada dan mematuhi piawaian antarabangsa. Justeru Kang Chol tidak payah mahu tunjuk pandai atau memberi tekanan kepada Malaysia seolah-olah negara ini perlu mengikut telunjuk Korea Utara.

Sebagai bekas Menteri Dalam Negeri dan berkelulusan undang-undang serta cukup berpengalaman dalam soal hubungan dua hala, Hishammuddin sudah pasti layak untuk membidas kebiadaban Kang Chol.

Biarpun kenyataan itu mungkin tidak akan disenangi oleh Korea Utara, tetapi itu sahaja cara untuk memberi pemahaman kepada diplomat seperti Kang Chol supaya jangan terlalu celupar dalam tindak-tanduknya.

Adalah diharapkan Malaysia akan terus bertegas dalam menangani kes pembunuhan Jong-nam. Jangan pedulikan tekanan Korea Utara. Sejarah sudah membuktikan Malaysia tidak pernah mahu bermusuh dengan sesiapa, tetapi kesabaran Malaysia ada batasnya.

Justeru Kang Chol perlu belajar menjadi diplomat yang baik dan memahami sedalam-dalamnya undang-undang negara ini. Jika beliau masih mahu terus menunjukkan sikap biadab dan melakukan perbuatan melangkaui tanggungjawabnya sebagai duta seperti mana kata Hishammuddin, maka negara tersebut tidak perlu marah jika Malaysia mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Pyongyang.

Jika Korea Utara percaya bahawa pembunuhan tersebut tidak melibatkan sebarang konspirasi atau arahan mana-mana pihak dari negara berkenaan, maka biarlah kes itu disiasat dengan telus oleh polis Malaysia, janganlah pula seperti ‘ca­cing kepanasan!