- Zain, Kuala Lumpur.

UKE: Jika persoalan anak mungkin menjadi cacat kerana kahwin sepupu maka saya ingin bertanya kepada anda, berapa ramai yang dapat anak cacat tetapi bukan berkahwin dengan sepupu? Ramai bukan?

Adakah kita ingin mempertikai kenapa Allah SWT beri berkahwin sedangkan dapat risiko anak yang cacat? Risiko dapat anak cacat adalah umum iaitu mana-mana pasangan boleh mendapat anak yang sedemikian.

Harus diingat bukanlah aib mendapat anak yang cacat malah ada hikmah di sebalik anugerah tersebut. Sebab itu, pasangan suami isteri dianjurkan supaya memperbanyak doa, menjaga amalan dan tahap keimanan serta ketaatan kepada Allah SWT agar dikurniakan zuriat yang baik.

Yang wajib kita yakini bahawa perkahwinan sepupu dibenarkan agama dan Islam tidak akan menyusahkan hamba-Nya apabila adanya hukum wajib, haram, sunat, makruh atau harus.

Perkahwinan sepupu ini adalah diharuskan agama. Anda pasti mengenali Zainab binti Jahsy iaitu isteri kepada Nabi Muhammad SAW. Ibu Zainab pula ialah Umamah binti Abdul Mutalib, ahli Bani Hashim daripada kaum Quraisy dan saudara perempuan kandung kepada bapa Nabi Muhammad SAW, Abdullah bin Abdul Mutalib.

Sedangkan Nabi Muhammad SAW juga mengahwini sepupunya, begitu juga dengan anakanda baginda iaitu Fatimah binti Rasulullah berkahwin dengan sepupu Nabi Muhammad SAW iaitu Ali bin Abi Talib.

Maka janganlah dipersoal kenapa dibenarkan berkahwin dengan sepupu sebab dikatakan boleh mendapat anak yang lemah. Ini adalah keharusan daripada Allah SWT. Persoalan anak menjadi lemah, cacat dan sebagainya adalah umum iaitu sesiapa pun boleh dikurniakan anak yang sebegitu tanpa mengira kahwin sepupu atau tidak.

 

Hukum tak pakai topi keledar

Apakah hukum seseorang yang tidak mematuhi undang-undang negara seperti tidak memakai topi keledar semasa menunggang motosikal di jalan raya?

- Roslan, Sungai Buloh.

UKE: Sabda Nabi Muhammad SAW: “Wajib ke atas seorang Muslim untuk dengar dan taat (kepada pemerintah) dalam perkara yang dia suka atau benci selama dia tidak disuruh melakukan maksiat. Namun bila dia disuruh melakukan maksiat, tidak harus lagi dia mendengar dan taat.” (Hadis riwayat Abu Daud dari Abdullah bin Umar RA).

Selama mana undang-undang yang digubal dan dilaksanakan tidak bercanggah dengan hukum syarak, maka tiadalah menjadi kesalahan untuk rakyat mematuhinya sama ada undang-undang itu berkait dengan peraturan jalan raya, percukaian, keselamatan, kekeluargaan, kontrak dan sebagainya.

Perkara yang wajib jika dilaksanakan akan diberi pahala dan jika dilanggari akan berdosa. Ingat firman Allah SWT: “Wahai orang-orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “ulil amri” daripada kalangan kamu.”(Al-Nisa: 59).

Selagi mana undang-undang dan arahan mereka tidak bercanggah dengan hukum agama, maka hendaklah ditaati oleh rakyatnya.

 

Ikut faraid atau wasiat?

Ibu saya meninggal dunia beberapa bulan lalu dan meninggalkan kepada saya wang simpanan Tabung Haji dan sedikit barang kemas.

Sebelum meninggal dunia, ibu berpesan kepada saya supaya mengambil semua wang serta barang kemas itu dan jangan diberikan kepada bapa saya.

Buat pengetahuan ustaz, sekarang hanya saya seorang anaknya yang masih hidup. Abang saya sudah meninggal dunia tetapi dia ada tiga orang anak lelaki dewasa. Bapa saya mempunyai wang pencennya dan pencen arwah ibu.

Yang mana harus saya ikut, hukum atau wasiat ibu saya?

- Ani, Pulau Pinang.

UKE: Dalam bab ini, saya rasa anda perlu kembali kepada hukum faraid. Anda tidak dikira sebagai anak derhaka apabila tidak melaksanakan wasiat ibu anda kerana sebagai ahli waris, anda tidaklah boleh diwasiatkan untuk menerima harta ibu kerana anda memang termasuk di dalam penerima harta.

Apatah lagi wasiat tersebut melibatkan keseluruhan harta ibu anda. Melainkan jika ahli waris lain bersetuju menyerahkan harta pusaka tersebut kepada anda.

Berkenaan abang anda yang meninggal dunia itu pula, persoalannya siapakah yang meninggal dunia terlebih dahulu? Adakah ibu atau abang yang meninggal dunia terlebih dahulu?

Apa pun anda boleh ke jabatan agama dan minta bantuan pegawai di sana untuk membuat kiraan yang betul untuk anda.