Akan tetapi itulah tanggapan ramai manusia pada hari ini: agama adalah khayalan manusia semata-mata dan para pengikutnya adalah golongan bodoh, yang terpedaya. Dalam kalangan mereka yang berpendirian sedemikian, ada percaya bahawa walaupun agama itu kepalsuan akan tetapi ia adalah alat berguna untuk kesejahteraan negara kerana dengan agama masyarakat dapat diatur dan dikawal dengan lebih mudah. Seorang ahli falsafah Perancis dikhabarkan berkata, “Tuhan sebenarnya tidak wujud, akan tetapi jangan katakan itu kepada khadammu, takut dia akan membunuhmu semasa engkau tidur dan mencuri wangmu.” Perkataannya ini membayangkan sikapnya terhadap agama sebagai kepalsuan yang berguna, sebagai alat semata-mata. Pandangan lain pula mengatakan agama itu adalah kepalsuan berbahaya; oleh itu ia mesti diperangi dan dihapuskan. Menurut pandangan ini manusia hanya mencapai kesejahteraan apabila mereka meninggalkan agama.

Kedua-dua pandangan di atas menolak kebenaran agama dan sikap inilah yang dominan dalam masyarakat Barat hari ini. Walau bagaimanapun, sikap ini tidak lagi terhad kepada orang Barat. Ramai yang turut berfikiran begitu, termasuklah sebahagian daripada kaum Muslimin.

Tidak mungkin sah pengakuan seseorang bahawa dia seorang Muslim kalau di dalam hatinya dia meragui kebenarannya. Sebagai contohnya, seseorang yang mendakwa bahawa agama adalah diasaskan kepada mitos-mitos kejadian. Sekiranya yang dia maksudkan dengan kenyataan itu ialah semua agama, termasuk Islam, maka dia telah secara langsung menafikan kebenaran agama Islam.

Inilah bahananya apabila ilmu-ilmu kemanusiaan seperti psikologi, sosiologi, dan antropologi diambil dan diajarkan secara melulu tanpa menilai dengan teliti kesahihan kesimpulan-kesimpulan umumnya. Untuk membolehkan penilaian itu dibuat pula, seseorang itu hendaklah mempunyai ilmu mencukupi dalam perkara-perkara fardu ain.

Namun apa yang berlaku selama ini adalah pengabaian terhadap ilmu-ilmu fardu ain dan pengabaian ini pula berpunca daripada salah faham mendalam terhadap konsep ilmu itu.

Maka apa dipelajari oleh umat Islam pada hari ini hanya terhad kepada hukum-hakam berkaitan dengan amal ibadat yang asas. Dan sedikit-sebanyak tentang akidah. Itulah yang mereka sangka fardu ain sedangkan apa dipelajari itu hanya memadai untuk kanak-kanak kecil dan tidak memadai bagi dijadikan panduan dalam menilai ilmu-ilmu lain yang bakal dipelajari pada peringkat pengajian tinggi, sedangkan pada peringkat itulah segala macam falsafah dan ideologi dibawa masuk dan dipelajari dengan sangkaan semua itu adalah ilmu-ilmu terkini. Dengan cara itulah bibit-bibit keraguan terhadap kebenaran agama mula tumbuh.

Penghinaan terhadap Islam, secara khusus, bukanlah perkara baharu. Ia bermula dengan ketibaan Islam. Sebaik sahaja Rasululah SAW mengisytiharkan dakwahnya kepada kaumnya, semasa itu jugalah segala kata-kata pujian dan sanjungan terhadap baginda SAW berubah menjadi kejian dan nista. Namun di sebalik penghinaan, penentangan dan ugutan yang diterima, Rasulullah SAW tetap memohon kepada Allah, “Ya Allah! Kurniakanlah hidayat kepada kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak tahu!”

Masalah penghinaan terhadap agama membayangkan krisis dalaman yang menimpa manusia hari ini kesan daripada pembaratan dan pensekularan. Ia tidak boleh diatasi semata-mata dengan cara undang-undang tanpa memahami akar umbi masalah.

Dalam soal ini, kaum Muslimin mempunyai tugas amat besar, bukan sekadar menunjukkan bantahan dan kemarahan terhadap penghinaan dilemparkan terhadap Islam, tetapi yang lebih utama adalah dengan menunjukkan jalan keluar daripada krisis itu.

Maka perjuangan sebenar bagi membela Islam dan menyampaikan dakwahnya kepada manusia adalah perjuangan yang diasaskan kepada ilmu dan keyakinan. Manusia yang selama ini sudah hilang keyakinan terhadap agama kerana dakyah kebudayaan Barat, mesti diyakinkan semula bahawa ilmu dan keyakinan dapat dicapai olehnya, dan hanya dengan itu kesejahteraan dapat dicapai.

PENULIS ialah Felo Kanan Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).