Kita tidak bimbang kalau se­tiap janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) itu tidak ditunaikan. Kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 bukan semestinya bermakna rakyat setuju 100 peratus. Rak­yat mahu menukarkan kerajaan, jadi PH jangan pula mengambil ­kesempatan mahu mengubah atau merombak semua perkara termasuk pancang-pancang atau perkara teras dalam Perlembagaan. Berikan keutamaan terlebih kepada kepentingan rakyat se­­perti kenaikan harga barang, harga petrol dan tol.

Pelbagai pandangan, teguran, kritikan dan forum rakyat tidak putus-putus muncul agar kerajaan melihat kenapa ada kenya­taan-kenyataan para pemimpin mereka yang dikeluarkan ikut ‘sedap di mulut’, celupar dan agak go­poh-gapah. Kadang-kadang sua­ra mereka itu masih membawa minda pembangkang. Kerajaan baharu seharusnya bergerak de­ngan suatu arah dan mengisi keperluan matlamat kepada perubahan dan kesejahteraan hidup rakyat. Perubahan pula tidak semestinya begitu mudah menukar atau merombak dasar-dasar yang man­tap. Mungkin yang diperlukan adalah perubahan strategi dan pendekatan kecuali bagi per­kara-perkara baharu. Jangan ba­nyak bercerita tentang orang lain. Berikanlah tumpuan kepada memajukan negara dan kebajikan rakyat. Apa pun kaji secara serius sebelum perubahan dibuat.

Para pemimpin, apa lagi seseorang anggota pentadbiran se­perti menteri atau timbalan menteri perlu berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan. Jangan sekali-sekali menunjukkan provokasi yang boleh menimbulkan keresahan rakyat. Alpa, cuai dan celupar itu sebenarnya tidak baik. Jadikan diri lebih berhemah atau bijak dan bijaksana.

Kenapakah satu fasal demi fa­sal, isu-isu kontroversi berturutan ditimbulkan? Bahaya jika kita selalu ‘jolok sarang tebuan’. Misal­nya, dari awal lagi kenapa mahu usik bahasa kebangsaan dan cuba jadikan bahasa tidak rasmi ke tahap rasmi? Semua orang patut tahu bahawa Malaysia sudah ada dasar bahasa negara sendiri. Apakah mereka ini tidak menghayati aspirasi Perlembagaan Persekutuan, memahami Akta Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Mungkin agaknya ada wakil-wakil rakyat yang tidak pernah meneliti Penyata Razak 1956, Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996 dan akta-akta berkaitan? Bukankah pengajaran dan pembelajaran bahasa lain se­perti Mandarin, Tamil atau bahasa Inggeris dan Arab tidak dilarang. Susahkah bagi kita memahami konsep dasarnya itu? Atau mereka itu sengaja melakukannya?

Sesudah itu timbul pula pe­ng­iktirafan kepada Sijil Pepe­riksaan Bersama (UEC) dan keputusan Kementerian Pendidikan mengenai pemberian peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina (SMPC). Penulis masih ingat, semasa meme­gang jawatan Setiausaha Bahagian (SUB) Pembangunan dan Bekalan, Ke­men­terian Pendidikan (1993-1994), jumlah Sekolah Menengah Per­sen­dirian Cina adalah 60 buah sahaja.

Apakah kita tidak menzalimi sistem pendidikan kebangsaan ji­ka pengiktirafan UEC diberikan? UEC itu acuan dari negara lain. UEC terkeluar daripada sistem pendidikan kebangsaan Malaysia dan itulah yang dikehendaki sejak asal, dibenarkan atas kemahuan sendiri untuk berada di luar sistem. Kenapa ditimbulkan lagi sekarang? Malahan UEC akan menjejaskan perpaduan dan menyebabkan dua sistem. Benarlah seperti pandangan Prof. Teo Kok Seong bahawa Dong Zong tidak setia pada sistem pendidikan negara? Liberalisasi dan pendemokrasian dalam pendidikan tidak pernah dihalang. Peliknya baru-baru ini Melaka dan Perak mengisytiharkan untuk mengiktiraf UEC, padahal perkara pendidikan adalah di bawah tanggungjawab Persekutuan.

Ya, kerajaan sudah berganti baharu. Usia 100 hari hampir tiba, tetapi perubahan mestilah berlandaskan kepada amanah. Kenapa cari pasal dengan ada ura-ura menggoyangkan pancang-pancang kenegaraan? Benarlah se­perti titah Tuanku Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam istiadat pembukaan Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Ipoh pada 6 Ogos lalu bahawa jangan ada individu atau badan yang mahu menjadi jaguh de­ngan perbuatan mahu merombak kontrak sosial atau perjanjian kemerdekaan. Usah cari pasal.

Jika seseorang pemimpin itu pula tidak celik atau buta sejarah, maka jangan sekali-kali mengham­burkan teori yang membolak-balikkan fakta. Dunia Melayu atau kepulauan Melayu itu memang ada menerima pengaruh Hindu-Budd­ha dan kemudiannya Islam. Tetapi manusia di rantau Melayu itu bukannya berasal dari India dan Cina. Orang India ada negara India dan orang Cina ada China. Itulah bumi asal keturunan masing-masing. Orang Melayu ada Tanah Melayu. Bacalah sejarah tentang kerajaan tua di wilayah ini dari zaman prasejarah, zaman Sriwijaya, Majapahit, Campa, Kesultanan Melaka dan beberapa kerajaan kesultanan yang lain atau seumpamanya. Bahkan, kajian saintifik termasuk arkeologi telah membuktikan bangsa Melayu atau rumpun Melayu itu merupakan penghuni terawal sama ada di Tanah Melayu atau di kepulauan. Mereka bukan pendatang tetapi perantau dalam wilayah yang sama.

Terbaharu pula ada cadangan agar perjuangan komunis di Malaysia ditulis semula. Apakah maksud dan tujuannya? Dalam buku-buku sejarah hal ehwal pengganas komunis itu sudah pun ada dituliskan. Perjuangan bersenjata komunis telah mengorbankan belasan ribu nyawa manusia terutama an­ggota keselamatan. Komunis itu an­tagonis, bukannya wira yang bo­leh didendangkan. Kerajaan ha­rus berhati-hati, meskipun ko­munisme bukan ideologi politik Malaysia, tetapi siapa tahu di sana sini fahaman-fahaman tentangnya masih berlegar di minda kelompok tertentu.

Malaysia boleh berkawan atas sifat hubungan diplomatik de­ngan mana-mana negara di dunia ini tanpa mengira ideologi mereka sama ada kapitalisme, sosialisme dan komunisme, tetapi Malaysia harus berhati-hati dan bijaksana mengenali, agar tidak terperangkap di jerangkap samar yang dipasang.

Datuk A. Aziz Deraman ialah bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban).