Parti itu tidak begitu kelihatan dipermukaan politik negara kecuali apabila British membuat perjanjian bagi menentang pendudukan Jepun pada 1942. British dan PKM melalui Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA)/Bintang Tiga, telah memerangi tentera Jepun secara gerila, British memberi bantuan senjata dan latihan kepada PKM.

British juga memberi PKM menjaga Tanah Melayu sebelum kemasukannya semula ke Tanah Melayu apabila Jepun dikalahkan. Dengan itu apabila Jepun dikalahkan, PKM telah mengambil alih pentadbiran Tanah Melayu.

Mereka telah keluar daripada hutan dan menguasai bandar serta bangunan kerajaan. Mereka juga melakukan penangkapan ke atas orang yang dianggap sebagai tali barut Jepun. Dalam hal ini orang Melayu menjadi mangsanya secara besar-besaran. Orang Melayu yang menjadi kampetai, tok imam, penghulu atau ketua kampung atau sesiapa sahaja yang dilihat telah bekerjasama dengan tentera Jepun, menjadi mangsanya.

Prof. Cheah Boon Kheng, seorang ahli sejarah yang telah membuat kajian tentang zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu dalam bukunya Red Star Over Malaya terbitan Universiti Nasional Singapura, telah merekodkan hal ini dengan jelas. Beliau menamakan perbicaraan tangkap muat ini sebagai Kangaroo Court.

Orang Melayu yang dikatakan bersalah telah ditangkap dan dizalimi. Mereka dibawa masuk ke hutan dan hilang tanpa khabar berita. Rumah-rumah juga dibakar dengan penghuninya dibiarkan rentung. Ada juga yang bertindak membawa lari anak-anak gadis ke dalam hutan. Ada yang ditempeleng dan dipaksa minum air sabun seperti apa yang dilakukan oleh tentera Jepun. Masjid diceroboh.

Ini semua membangkitkan kemarahan orang Melayu. Mereka telah mengambil tindakan balas dengan menyerang orang Cina.

Kumpulan pembelaan Melayu secara fisabilillah atau jihad juga telah muncul dengan banyaknya di luar bandar. Kumpulan-kumpulan yang menamakan diri sebagai Selendang Merah dan pelbagai lagi muncul. Gerakan itu berlaku di beberapa tempat seperti di Batu Pahat, Johor; Sungai Manik dan Sungai Siput di Perak, dan Malim, Pahang.

Rekod-rekod British menjelaskan bahawa pertumpahan darah itu antara orang Melayu dan Cina telah berlaku di antara bulan Julai sehingga September 1945.

Apabila British memperkenalkan Malayan Union pada 1946, PKM dan golongan kiri Melayu telah menyokongnya. Mereka menyokong Malayan Union kerana dasar British membuang kuasa Raja-Raja Melayu sebagai ketua negeri, agama Islam diletakkan di bawah Gabenor Malayan Union yang bukan Islam, dan kerakyatan dibuka untuk semua orang kecuali rakyat Jepun.

Terkorban

Orang Melayu telah menentangnya sehingga tertubuhnya Kongres Melayu 1946 yang menubuhkan UMNO. Semua cerdik pandai Melayu termasuk golongan kiri seperti Dr. Burhanudin dan Ahmad Boestamam telah hadir untuk menubuhkan UMNO di Istana Besar Johor Bahru pada 11 Mei 1946.

Golongan ini kemudian meninggalkan UMNO pada Ogos 1946 kerana kepimpinan UMNO dipegang oleh golongan aristokrat/feudal yang memang tidak disukai oleh golongan itu. Mereka dipengaruhi oleh Revolusi Indonesia yang menegakkan sebuah republik.

PKM menentang Malayan Union bersama Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada 1946, yang ditaja oleh PKM. Ini memang dilakukan bagi menyebarkan fahaman kominis dalam kalangan orang Melayu.

Di Selangor telah ditubuhkan Parti Kominis Melayu, tetapi tidak dapat sambutan dalam kalangan orang Melayu dan berkubur begitu sahaja. Oleh itu PKM tidak mahu menamakan PKKM sebagai Parti Sosialis Malaya kerana bimbang tidak dapat sambutan orang Melayu.

Bagaimanapun, PKM telah menubuhkan Rejimen 10 khas untuk orang Melayu, yang dipimpin oleh Abdullah CD. Perjanjian Persekutuan 1948 telah diadakan bagi menggantikan Malayan Union.

Kedudukan Raja-Raja Melayu dan agama Islam dipulihkan dan UMNO jadi wakil politik orang Melayu bagi menarik semula Malayan Union. Akibat rasa tidak puas hati PKM mengangkat senjata menentang British, Raja-Raja Melayu dan UMNO.

Maka Darurat diistiharkan pada Jun 1948. British telah menganggap PKM sebagai pengganas dan memburunya. Pasukan tentera dan polis tempatan telah diperbesarkan. British juga membawa masuk tentera dari negara-negara Komanwel untuk mengatasi ancaman PKM.

Banyak tentera tempatan dan luar negara yang terkorban. Rancangan Briggs telah membuat dua tindakan penting. Pertama membina Kampung Baru bagi meletakkan mereka yang bersimpati dengan PKM, lebih 450 buah telah ditubuhkan.

Dalam skim ini mereka diberi tanah percuma 10 ekar dan diberi rumah, sekolah, elektrik dan bekalan air untuk memujuk mereka supaya tidak menyokong PKM. Pemberian tanah percuma ini lebih awal daripada FELDA yang dibuat Tun Abdul Razak di Jengka, Pahang, iaitu pada 1970, selepas Peristiwa 13 Mei 1969 dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Langkah kedua ialah memberi kerakyatan secara jus soli oleh Raja-Raja Melayu pada 1951, dengan menerima mereka yang lahir di Negeri Melayu untuk menjadi rakyat negeri dan Persekutuan Tanah Melayu.

Hal ini kemudian dilanjutkan lagi apabila negara mencapai kemerdekaan pada 1957, dengan itu semua yang lahir di sini menjadi wargenegara secara jus soli. Ini bermakna, untuk dapat kemerdekaan kerakyatan dibuka secara sama rata dengan imigran.

Begitulah pengorbanan orang Melayu yang berkongsi kuasa dengan orang lain dan pemimpin Melayu itu adalah UMNO. Parti itu juga bersama Parti Perikatan menubuhkan Malaysia. UMNO jugalah sebagai ketua membangunkan negara ini sejak merdeka. Pada hari ini rasa tak puas hati PKM adalah kerana gagal melemahkan UMNO itu tercapai dan dapat 'ditebus' dengan memasuki parti politik yang dapat mendokong cita-citanya.

Menurut seseorang dalam Seminar Peoples History Malayan Emergency pada 27-29 Julai lalu di Chinese Assembley Hall: “Perang saudara yang berlaku itu bukan antara rakyat tetapi menentang pihak berkuasa, ertinya menentang kerajaan UMNO. Tetapi pilihan raya kali ini sudah capai matlamat kami. Dalam pilihan raya ini golongan kiri mencurah tenaga dan menyokong Pakatan Harapan.

"Jadi kemenangan Pakatan Harapan adalah satu usaha pihak kami. Tun Dr. Mahathir melakar sejarah kali kedua, pertama Tun Mahathir melakar sejarah 29 tahun dulu bersetuju menandatangani persetujuan damai di Hatyai mengakhiri warisan British.

"Boleh dikatakan Tun Mahathir telah melakar sejarah kali kedua dan dengan ini kami berharap Tun Mahathir dan kerajaan PH dapat mengubah dasar-dasar buruk UMNO, dan menunaikan janji-janjinya dalam perjanjian damai Hatyai seperti mengizinkan abu Chin Peng dibawa balik ke tanah air.

"Sejarah mesti sesuai dengan keadaan sebenar. Dia siar di televisyen kata pengganas tak sesuai dengan sejarah, memperjuang kemerdekaan tidak boleh dinafikan.”

Kata-kata ni menunjukkan PKM berdendam dengan UMNO, kerajaan Melayu yang telah menegakkan kedudukan orang Melayu. Kejayaannya menumbang UMNO, BN seperti sebutannya sendiri, adalah manifestasi satu perjuangan sejak 1930. Sebab itu sejarah penting direkod dan ditulis pada masa itu.

Dokumen cukup banyak dalam khazanah negara di dalam dan luar negara. Terpulang pada kita membaca dan menilainya. Hari ini mungkin ada orang percaya apa yang dikatakan bertentangan dengan apa sebenarnya berlaku.

Kesian datuk nenek kita menentang Malayan Union apabila hari ini cucu cicitnya lupa pada sejarah.

PENULIS ialah Pe­ngarah Pusat Kajian Institusi Raja, Kepimpinan dan Komuniti, Universiti Malaysia Perlis (Unimap).