Saya bukan pejuang bahasa sebab tatabahasa saya pun adakalanya tidak betul. Saya sama sahaja dengan kebanyakan rakyat yang memerhatikan kemerosotan hari demi hari terhadap kedaulatan bahasa ibunda orang Melayu ini.

Saya mungkin boleh tidak peduli soal martabat bahasa kebangsaan ini. Tetapi sayang, sebab saya adalah generasi pertama yang dibuat uji kaji penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya dalam sistem pendidikan kebangsaan. Apabila kerajaan melalui Kementerian Pendidikan mengubah dasar – tiada lagi sistem aliran bahasa Inggeris maka satu demi satu peperiksaan awam yang menggunakan bahasa Inggeris dihapuskan.

Kami generasi murid yang masuk sesi persekolahan tahun 1970 mula menggambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada 1978 bagi mengganti Lower Certificate of Education (LCE).

Kemudian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 1980 menggantikan Malaysian Certificate of Education (MCE). Dan seterusnya Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mengambil alih Higher School Certificate (HSC).

Sekarang banyak perubahan dalam sistem pendidikan negara tetapi masih berbangga dengan penggunaan bahasa pengantar bahasa Melayu. Namun dalam urusan pekerjaan, bahasa asing yang lebih diutamakan.

Kebanyakan pemimpin korporat, agensi kerajaan sekarang boleh dikatakan lahir daripada generasi yang berpendidikan aliran Melayu. Namun dasar pendidikan aliran bahasa ibunda ini tidak diterjemahkan dalam urusan kerja harian.

Mereka terutama golongan atasan baik pemimpin kerajaan, ahli politik lebih gemar mendaulatkan bahasa asing tanpa mereka sedar.

Sekarang kita boleh lihat bagaimana cacamarba penggunaan bahasa Melayu kita. Jangan tanya tentang bahasa rojak dan bahasa pekerja asing yang merosakkan bahasa Melayu.

Jangan kita persoalkan kenapa syarikat bukan Melayu tidak mahu menggunakan ba­ha­sa kebangsaan dalam urusan ha­rian mereka. Tanya kepada pemimpin kerajaan yang dite­rajui sendiri oleh orang Melayu, kenapa suka sangat guna akronim dan singkatan perkataan bahasa Inggeris.

Dasar-dasar atau program baharu bagaikan tidak sempurna jika tidak menggunakan akronim dan singkatan bahasa Inggeris.

Bukan cacat jika guna akronim atau slogan sepenuhnya dalam bahasa kita. Semua rakyat boleh baca dan faham berbanding ba­hasa asing yang berbelit-belit lidah menyebutnya.

Paling utama, kepada siapa hendak ditujukan segala slo­gan dan akronim itu. Sudah tentu sasarannya ialah rakyat Malaysia, jadi lebih mudah guna sahaja satu bahasa penyatu ini.

Perkataan Inggeris

Dasar dan program anjuran kerajaan atau swasta bukan untuk warga asing dan mereka bukan ramai pun. Paling hairan kenapa banyak akronim guna singkatan perkataan Inggeris?

Nampaknya kita yang seolah-olah mahu menunjuk-nunjuk kita bertaraf antarabangsa maka kena guna bahasa dunia juga. Benarkah begitu. Apakah program dan dasar yang dianjurkan bertujuan untuk memahamkan orang asing atau rakyat tempatan?

Di bawah ini beberapa contoh akronim dan singkatan perkataan yang tanpa sedar mengubah pandangan orang terhadap bahasa Melayu. Sekian lama penggunaan akronim bahasa Inggeris mendahului perkataan bahasa Melayu. Kenapa?

Kalau hendak dikatakan mudah menyebutnya, perkataan bahasa Melayu pun mudah juga.

* AG - Peguam Negara

CCTV - Kamera Litar Tertutup

CPI- Indeks Persepsi Korupsi

* CSR - Tanggungjawab Sosial Korporat

* EPU - Unit Perancang Ekonomi

* ERL - Aliran Rel Ekspres

* ETP - Program Transformasi Ekonomi

* FDI - Pelaburan Langsung Asing

* FELDA - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan

* GLC - Syarikat Berkaitan Kerajaan

* GST - Cukai Barang dan Perkhidmatan

* GTP - Program Transformasi Kerajaan

* MOA - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani

* MOE -Kementerian Pendidikan

* MOH - Kementerian Kesihatan

* MOSTI - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi

* MaGIC - Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia

* MOT - Kementerian Pengangkutan

* MRT- MY Rapid Transit

* NKEA - Bidang Ekonomi Utama Negara

* NKRA - Bidang Keberhasilan Utama Negara

* 1M4U - 1Malaysia for Youth

* UTC - Pusat Transformasi Bandar

Alangkah molek jika akronim dan singkatan perkataan menggunakan bahasa Melayu sahaja seperti di bawah. Tiada cacat celanya guna bahasa Melayu.

* INTAN - Institut Tadbiran Awam Negara

* JKKK - Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung

* JKM - Jabatan Kebajikan Masyarakat

* JPAM - Jabatan Pertahanan Awam Malaysia

* JPJ - Jabatan Pengangkutan Jalan

* JPN - Jabatan Perumahan Negara

* KDN - Kementerian Dalam Negeri

* KBS - Kementerian Belia dan Sukan

* KSN - Ketua Setiausaha Negara

* KTM - Keretapi Tanah Melayu

* KWSP - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

* LHDN - Lembaga Hasil Dalam Negeri

* PEMANDU - Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan

* PEMUDAH - Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan

* PERKESO - Pertubuhan Keselamatan Sosial

* PTPTN - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional

Masyarakat tidak kisah jika pengunaan akronim atau singkatan bertujuan untuk memberitahu maklumat tentang program bertaraf antarbangsa seperti:

* WEF - World Economic Forum

* WIF - KL Forum Inovasi Dunia-Kuala Lumpur

Sebenarnya sikap peneraju kerajaan yang tidak peka terhadap usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan tanpa sedar turut menggalakkan pihak bukan Melayu untuk tidak menghormati bahasa kebangsaan. Lihatlah papan iklan dan maklumat pada produk pengguna sudah tidak lagi mengutamakan bahasa Melayu.

Dalam kita ghairah menuju negara maju, jangan sampai abaikan bahasa ibunda sendiri. Apa makna bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi jika orang besar Melayu sendiri tidak ambil peduli.