Merujuk laporan World Health Organization (WHO) 2016, Malaysia merekodkan kadar peratusan obesiti tertinggi dalam kalangan negara Asia Tenggara iaitu kira-kira 42.5 pera­-
tus. Lebih membimbangkan, jumlah penghidap obesiti di Malaysia terlalu tinggi dan hampir setanding dengan Amerika Syarikat dan dilihat semakin meningkat hari demi hari.

Penghidap obesiti lebih cenderung kepada masalah kesihatan seperti kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi serta tahap gula tinggi dalam darah, yang mana dikenali sebagai penyakit tiga serangkai oleh masyarakat umum. Penyakit ini merupakan salah satu punca kematian yang tertinggi direkodkan di Malaysia dan penyumbang utama kepada penya­kit kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok.

Antara faktor yang menyumbang kepada masalah obesiti adalah pengambilan makanan secara berlebihan, diet yang tidak seimbang dan kurang melakukan aktiviti fizikal.

Obsesi kepada keinginan menurunkan berat badan secara cepat bagi mendapatkan bentuk tubuh yang menawan, golongan ini mulai mencari-cari kaedah diet seharian untuk diamalkan.

Terdapat pelbagai jenis diet yang diamalkan oleh masyarakat dunia pada hari ini, dengan tiap satunya menghuraikan kaedah berbeza-beza. Semakin hari semakin banyak kaedah diet yang baharu diperkenalkan kepada masyarakat secara global. Diet atkin, diet ketogenik, diet kalori, diet detox, diet jenis darah, diet nutrisi dan diet tanpa nasi adalah antara jenis-jenis diet yang popular di Malaysia. Jenis-jenis diet ini kian popular apabila ia diamalkan oleh golongan terkenal public figure.

Siapakah golongan yang benar-benar layak bergelar pakar rujuk untuk membantu seseorang yang ingin menurunkan berat badan dengan kaedah diet yang betul serta selamat? Ini merupakan persoalan yang harus diambil serius oleh mereka yang ingin memulakan program diet. Menggelarkan diri sebagai perunding kesihatan dalam talian Online Coach terutamanya di media sosial seperti Facebook dan Instagram, mereka ini antara individu yang hangat diperkatakan dan dijadikan sebagai pakar rujuk berkaitan isu kesihatan dan diet seharian. Semakin hari golongan ini semakin ramai, dan ia diibaratkan bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Pada asasnya perunding kesihatan akan menawarkan perkhid­matan program diet berbentuk pelan menu diet, bimbingan konsultasi dan tip mudah untuk menurunkan berat badan. Bayaran yang dikenakan juga dikatakan agak berpatutan berbanding pakar nutrisi atau pakar kesihatan di klinik swasta.

Hakikatnya, pakar rujuk yang terbaik adalah mereka yang bertauliah dan amat berpengetahuan luas dalam sesuatu perkara. Kenal pasti individu yang benar-benar layak untuk berbicara berkaitan diet dan kesihatan. Jangan mudah terperdaya dengan sesetengah individu yang hanyalah cakap kosong tanpa asas yang kukuh. Rujuk pegawai pemakanan atau pegawai kesihatan dari klinik dan hospital yang diiktiraf untuk mereka mengenal pasti tubuh badan anda sebelum menyarankan kaedah diet bersesuaian.

Nah, jangan sampai anda bermati-matian dalam proses diet, namun hasilnya tidak seperti yang diimpikan dan ia sia-sia belaka.

PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.