ANISAH ABDUL GHANI
ANISAH ABDUL GHANI

Katanya, kadang kala jemaah haji wanita berasa terlalu risau berhubung haid ini sehingga menjejaskan tumpuan dalam ibadah mereka.

“Sebenarnya, dalam konteks haji ini yang menyebabkan terhalangnya ibadah disebabkan haid adalah sewaktu tawaf dan solat sahaja. Yang lain, semua boleh dilaksanakan. Berzikir, berdoa di Mina, Arafah dan sebagainya,” katanya kepada wartawan Malaysia di Hotel Abraj Al-Janadriyah, Mekah semalam.

Katanya, sekiranya permasalahan haid itu datang sekalipun, masih ada cara untuk seseorang jemaah itu mendapatkan hajinya.

“Perkara itu kita bincangkan dalam beberapa siri modul khusus kepada jemaah wanita ini termasuklah dinyatakan hal berkaitan dam ‘ihsar’ (bagi wanita haid yang tidak selesai tawaf rukun), kemudian datang ­semula untuk mengerjakan tawaf atau ‘bertaqliq’ (mengikut pendapat) mazhab yang lain,” beritahunya.

Anisah menjelaskan, antara yang penting perlu diambil perhatian jemaah haji wanita adalah dibolehkan melafazkan niat bersyarat jika pada waktu itu mereka berhadapan dengan haid.

“Niat bersyarat hukum asalnya harus. Namun kita tidak menggalakkan jemaah haji itu melakukan niat bersyarat semasa musim haji kecuali umrah yang dilakukan di saat hampir waktu wukuf, umrah sunat selepas mengerjakan haji.

“Bagi ibadah haji, tidak dibenarkan niat bersyarat ­kerana dibimbangi tidak mendapat haji pada tahun tersebut kerana haji terikat dengan waktu tertentu.

“Kalau datang ke Mekah masa masih panjang lagi untuk wukuf, tidak perlu niat bersyarat kerana umrah pertama, umrah wajib masa panjang untuk selesaikan tawaf setelah suci daripada haid. Walaupun masih dalam ihram yang lama, jemaah tidak perlu bimbang kerana menerima kedatangan haid itu pun mendapat ganjaran daripada Allah SWT,” kata Anisah.

Bagaimanapun Anisah memberitahu, semasa musim haji tidak dibenarkan jemaah haji wanita itu berniat bersyarat haid kerana bimbang sekiranya berlaku haid semasa berada di Muzdalifah atau pun di Mina, maka dirinya akan menjadi ‘halal’ (bebas larangan ihram).

“Dia tidak akan mendapat haji pada tahun itu kerana tidak lagi berwukuf di Arafah kerana masa diperuntukkan bagi haji telah berakhir,” katanya.

Katanya contoh niat bersyarat itu ialah: “Sahaja aku mengerjakan umrah dan berihram dengannya dan sekira­nya haid aku datang, aku jadi halal.” Maknanya, apabila haid datang, jemaah secara tidak langsung bebas dari ihram.

Contoh lain pula katanya: “Sekiranya aku didatangi haid, aku akan bertahlul”. Maknanya jemaah haji wanita itu akan melakukan tahalul iaitu bergunting pada waktu haid datang dan dia bebas daripada ihram.

“Kadangkala jemaah kita tidak faham, niat sewaktu di Miqat cuma niat biasa dan apabila sampai di Mekah, hendak tambah niat. Itu tidak boleh dan tidak sah. Niat bersyarat itu hendaklah semasa kita mula-mula melafazkan niat dan tidak boleh ditambah pada pertengahan jalan.

“Dalam konteks niat haji, sebab itulah kita tidak galakkan kerana walaupun kita mengetahui kitaran haid masing-masing, tetapi bila Allah SWT hendak perkara itu berlaku, kita tidak tahu. Jadi jangan panik atau berasa tertekan kerana kita ada cara menyelesaikannya,” jelasnya.

Mengenai pengambilan pil menahan haid ini, Anisah berkata, jemaah haji wanita boleh mengambilnya dengan syarat ubat itu tidak mendatangkan kesan sampingan atau tidak mengandungi bahan yang haram.

“Contoh soal waktu makan ubat berkenaan, ikutlah peraturannya apabila kita makan semasa di Malaysia waktu pagi, bila berada di Mekah pun kita makan ubat ikut waktu Malaysia. Tak ada masalah dari sudut hukum,” jelasnya.

Mengenai perkembangan baharu dalam Muzakarah Haji Kebangsaan 2016, beliau memberitahu, tahun lalu telah dibawa satu isu mengenai wanita iaitu ‘istihadah’ (keluarnya darah secara berterusan).

“Jika wanita itu sentiasa berhadas, dia mesti membersihkannya dahulu dan ambil wuduk setiap kali solat fardu, maka ada beberapa perkara yang telah diputuskan,” katanya.

Anisah menjelaskan, wanita yang dalam keadaan ‘istihadah’ iaitu keluar darah sedikit dan tidak banyak, dia boleh mengulangi wuduknya sahaja tanpa perlu menukarkan tuala wanita.

Katanya, ini yang diputuskan dalam muzakarah pada tahun lalu, berpegang dengan pendapat yang tidak kuat Mazhab Shafie.

“Sebelum ini amalannya, banyak atau sedikit darah yang keluar, jemaah mesti menukar dan membersihkannya sebelum berwuduk.

“Apabila kita kaji, ini salah satu cara memberi kemudahan kepada jemaah haji wanita terutama dalam Masjidilharam yang sukar untuk mengambil wuduk dan ke bilik air. Sebab itulah kita mengambil pandangan yang tidak kuat dari Mazhab Shafie dalam konteks ibadah haji ini,” katanya.