Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati peningkatan populasi yang mengalami masalah kemurungan adalah lebih daripada 18 peratus di antara tahun 2005 sehingga 2015 dan lebih daripada 300 juta orang kini mengalami masalah kemurungan.

Di Malaysia, empat daripada 10 orang dianggarkan mengalami masalah kesihatan mental. Angka ini dijangka terus meningkat. Tidak mustahil, kemungkinan ada di antara kita juga termasuk dalam statistik itu kerana kesukaran untuk mengenal pasti simptom-simptom kemurungan yang wujud dalam diri sendiri.

Situasi yang membimbangkan ini menjadi ancaman yang wujud di persekitaran kehidupan setiap orang saban hari. Ini juga menjadi cabaran getir yang perlu ditangani dalam sektor penjagaan kesihatan secara lokal atau global.

World Bank pula menjangkakan 340 juta daripada populasi dunia akan mengalami kemurungan pada tahun 2020. Apa yang lebih merisaukan, pada 2030, dijangkakan kemurungan klinikal menjadi penyakit paling melumpuhkan kehidupan individu disebabkan mengambil tempoh masa lama dan mengganggu ke­upayaan seseorang menjalani aktiviti kebiasaan.

Di seluruh dunia, perbelanjaan yang diperuntukkan untuk kesihatan mental hanya mewakili tiga peratus. Negara yang berpendapatan rendah hanya kurang daripada satu peratus dan negara yang berpendapatan tinggi pula memperuntukkan lima peratus dalam sektor kesihatan mental.

Oleh itu, dalam meningkatkan tahap kesihatan mental serta menambahbaik perkhidmatan kesihatan mental masyarakat, kerajaan juga perlu mengambil langkah yang komprehensif memandangkan beban ­penyakit berkaitan mental semakin ­meningkat. Kemurungan menjadi masalah serius dalam masyarakat yang memberi impak kepada setiap aspek kehidupan. Malah, kemurungan yang teruk akan membawa kepada kes bunuh diri.

Kesan ekonomi yang dampak apabila seseorang mengalami kemurungan bukan sekadar kepada individu tersebut malah kepada majikan juga kerajaan. Individu yang mengalami kemurungan akan menyebabkan kurang upaya untuk bekerja dan ini akan memberi kesan kepada majikan. Produktiviti akan menjadi ­semakin merosot akibat ketidakhadiran pekerja disebabkan gejala kemurungan seperti kelesuan, kurang tidur, hilang selera makan dan sakit-sakit badan.

Di pihak kerajaan pula akan memberi kesan pengurangan penerimaan cukai dan peningkatan dalam perbelanjaan kesihatan dan kebajikan.

Keparahan masalah kemurungan ini mungkin tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Tetapi situasi ini menular dalam masyarakat sekiranya tidak ditangani dan dirawat sewajar­nya. Wujud perasaan malu dan tidak mahu untuk mendapatkan rawatan awal bagi mereka yang menderita kemurungan. Ini juga disebabkan oleh faktor stigma masyarakat terhadap pesakit yang mempunyai masalah mental. Masalah ini tidak seharusnya dipandang remeh dengan pelbagai persepsi negatif terhadap mereka yang mengalami masalah kemurungan.

Diskriminasi masyarakat yang timbul menjadi halangan utama bagi mereka yang menderita kemurungan atau masalah berkaitan mental untuk mendapatkan rawatan pemulihan dengan segera. Keterbukaan masyarakat dan positif terhadap pesakit yang mengalami kemurungan akan memberi sokongan dan bantuan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan. Seterusnya dapat mengelakkan diri daripada terus dilanda kemurungan dan hilang pertimbangan yang akan memudaratkan kualiti kehidupan.

Sesetengah individu menganggap masalah kesihatan berkaitan mental bukanlah sesuatu yang serius seperti penyakit lain. Ini ­ ­menyebabkan mereka lambat mendapatkan rawatan malahan ada di antaranya tidak mendapatkan rawatan sewajarnya. Akhirnya, permasalahan ini kian meruncing kerana tidak dirawat secara menyeluruh.

Seharusnya, langkah awal perlu diambil dengan mendapatkan rawatan doktor secepat mungkin jika mengalami kemurungan berlanjutan dalam tempoh melebihi dua minggu bagi ­mengelakkan perkara yang lebih buruk.

Masalah dan tekanan hidup yang dihadapi, sekiranya tidak dikawal dan ditangani akan menyebabkan kemurungan klinikal berpanjangan.

Dalam hal ini, Allah telah mengungkapkan dalam al-Quran menerusi surah al- Baqarah ayat 155-156 yang membawa maksud: “Sesungguhnya! Kami akan me­nguji kamu dengan sedikit perasaan takut terhadap musuh, kelaparan, dan kekurangan harta benda dan jiwa serta buah-buahan (hasil tanaman). Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu musibah, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

Justeru, sebagai orang Islam, menghadapi kesusahan dan tekanan kehidupan perlu diatur dengan tenang, rasional dan sabar dengan apa jua ketentuan Allah SWT di samping menjalani rawatan pemulihan.

Di samping itu, rawatan terapi berunsurkan Islam perlu diintegrasikan dengan ilmu dan kepakaran profesional kesihatan sedia ada dalam merawat pesakit yang mempunyai masalah dalam kesihatan mental memandangkan aspek teologi dalam hal ini juga tidak boleh dikesampingkan.

Walau bagaimanapun, rujukan segera kepada pakar psikiatri dapat mengurangkan kesan negatif daripada masalah mental yang dihadapi itu. Masyarakat juga perlu dididik untuk meningkatkan tahap kesihatan mental serta mengelakkan stigma dan prejudis terhadap masalah tersebut.

Ini kerana, pendidikan amat penting dalam meningkatkan li­terasi dan kesedaran berkenaan isu kesihatan mental supaya dapat dibincangkan secara terbuka dan dikenalpasti permasalahan dari awal.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).