Tetapi yang pelik dan jeliknya, kedua-dua mereka bukanlah OKU atau membawa ahli keluarga OKU. Tak tahu malukah sampai hendak menyingsing lengan mencari gaduh? Mereka masih tidak tahukah siapa OKU dan kenapa adanya kemudahan seperti itu untuk golongan OKU.

Hal ini bukanlah sesuatu yang asing di negara ini. Kemudahan yang dikhususkan untuk OKU selalu sahaja di­salahgunakan oleh mereka yang dikurniakan Allah SWT pancaindera yang sempurna. Kemudahan yang disediakan itu tidak lain dan tidak bukan, bertujuan memudahkan pergerakan OKU melakukan urusan seharian mereka di lokasi-lokasi awam. Justeru, sikap tidak prihatin segelintir orang awam bukan sahaja menyukarkan OKU malah mereka kadangkala terpaksa membatalkan niat untuk berurusan kerana perkara tersebut.

Mengikut Akta Orang Kurang Upaya 2008, OKU termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat.

Menurut Portal Rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat pula, terdapat tujuh kategori OKU seperti kurang upaya pendengaran, kurang upaya penglihatan, kurang upaya pertuturan, kurang upaya fizikal, masalah pembelajaran, kurang upaya mental dan kurang upaya pelbagai.

Mana-mana individu warganegara Malaysia yang di­sahkan oleh pegawai perubatan kerajaan atau swasta dan berdaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dikategorikan dalam salah satu daripada kategori OKU ini, maka mereka berhak untuk mendapatkan semua kemudahan yang disediakan untuk mereka termasuk kemudahan awam, pendidikan dan bantuan dana tertentu.

Akan hak-hak OKU ini, ia adalah perkara yang dibincangkan secara meluas sama ada di peringkat nasional mahu pun global. Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Malaysia meratifikasikan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Hak Orang Kurang Upaya sejak 2010 yang adalah satu langkah membuktikan kesediaan Malaysia untuk melaksanakan hak asasi bagi golongan OKU di negara ini. Aduan dan isu-isu berkaitan OKU akan terus dibawa kepada perhatian Suhakam. Ini termasuk pendaftaran OKU, sistem pendidikan, akses kepada kemudahan, perkhidmatan dan ba­ngunan awam, kemudahan pengangkutan awam, peluang pekerjaan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Tidak kiralah walau apapun kategori seseorang OKU itu, sepatutnya terbit dalam hati dan sanubari kita yang dilahirkan sempurna ini bahawa OKU adalah golongan yang perlukan bantuan dan keistimewaan dalam melangsungi keperluan mereka terutamanya apabila berada di tempat awam.

Bukan tidak ada penguatkuasaan atau kempen-kempen mengenai isu ini. Misalnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah banyak kali menyaman kenderaan orang awam di petak letak kereta OKU. Atau Pegawai Penguatkuasa yang menangkap penumpang perkhidmatan awam yang duduk di tempat duduk OKU, akan tetapi ia umpama mencurah air ke daun keladi.

Yang menerima saman mungkin ‘bertaubat’, tapi yang masih belum kena, tetap acuh tak acuh dengan peraturan dan melanggarnya sesuka hati. Janganlah kita menjadi orang yang pendek akal dengan tiada segan silu menggunakan kemudahan dikhususkan kepada mereka. Kadang kala secara sinis kita akan berkata: “Tidak mengapalah, mungkin mereka yang nampak sempurna itu memang ada sedikit kekurangan upaya dan layak bergelar OKU iaitu Otak Kurang Upaya!

DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR ialah Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).