Ketika itu berlaku pemecatan dan penggantungan anggota parti tetapi kedudukan Samy Vellu tetap teguh sehinggalah timbul gerakan untuk menyingkirkannya melalui Gerak­an Anti Samy (GAS). Ketika era Samy Vellu juga, masalah dalam­an membawa kepada penyingkiran pemimpin-pemimpin utama, melibatkan timbalan presiden dan naib-naib presiden. Akibat pemecatan dan penyingkiran itu juga melahirkan parti serpihan MIC. Jadi tidak hairanlah MIC, salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN) yang ditubuhkan pada tahun 1946 itu dilanda krisis lagi pada hari ini.

Bezanya krisis kali ini bermula apabila Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi tiga jawat­an naib presiden dan 23 jawatan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam tempoh 90 hari. Malangnya arahan yang dikeluarkan pada 5 Disember 2014 itu gagal dipatuhi sebaliknya sekumpulan pemimpin MIC membawa ROS ke mahkamah. Menyelak kembali pemilihan yang diadakan pada Perhimpunan Agung Tahunan MIC Ke-68 pada 30 November 2013, G. Palanivel dan S.Subramaniam menang tanpa bertanding sebagai Presiden dan Timbalan Presiden untuk penggal 2013-2016. Berikut­an arahan ROS itu, perhimpunan agung parti yang sepatutnya diadakan pada 13 dan 14 Disember 2014 terpaksa dibatalkan. Akhirnya berlakulah beberapa insiden yang mula mencemari MIC.

Bagi mereka yang berada di luar parti, amat mudah untuk menyelesaikan isu ini jika MIC awal-awal lagi mengambil pendekatan mematuhi arahan ROS. Susah sangatkah untuk mengikut arahan ROS? Jika langkah itu diambil, tidak ada presiden atau timbalan presiden yang akan tersingkir. Palanivel dan Subramaniam akan selamat sekurang-kurangnya sehingga pemilihan berikutnya. Mereka yang terjejas berikutan pemilihan semula itu adalah yang memenangi jawatan naib-naib presiden dan anggota CWC. Kini keadaan semakin kusut dan berserabut. Di dalam atau di luar parti, ramai yang tertanya-tanya siapakah di pihak yang benar. Palanivel atau Subramaniam?

Ibarat satu bahtera dua nakhoda. Siapakah nakhoda sebenar MIC ketika ini? Siapa pun mereka, jangan sampai bahtera yang sarat dengan masalah itu tenggelam. Palanivel mengakui beliau masih menjadi Presiden yang sah mengikut peruntukan perlembagaan. Subramaniam pula mendakwa beliau adalah pemangku presiden, juga mengikut perlembagaan. Apa dah jadi dengan MIC ini? Satu perlembagaan dua tafsiran berbeza. Palanivel dan empat lagi dikatakan hilang keanggotaan kerana mengheret parti ke mahkamah walaupun ada yang berkata, pihak yang diheret ke mahkamah adalah ROS bukannya parti politik itu sendiri. Adakah alasan itu boleh diterima atau sekadar menegakkan ‘benang yang basah?’

Subramaniam bersama 14 orang lagi digantung keanggotaan oleh Palanivel. Maknanya, beliau juga hilang hak. Siapa yang berhak? Kelmarin (Sabtu) dan semalam, ‘Presi­den dan Pemangku Presiden’ ini mengadakan Perhimpunan Khas di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Perhimpunan itu dihadiri pengerusi-pengerusi cawangan yang bertujuan menjelaskan kedudukan atau apa yang sedang berlaku dalam parti. Perhimpunan ini mendapat sambutan yang sama hebatnya. Seperkara yang menarik, Palanivel ‘menyalahkan’ campur tangan Pengerusi BN, Najib Tun Razak dalam isu ini. Semalam di pentas Subramaniam pula menyaksikan kehadiran Samy Vellu yang memberi laluan kepada Palanivel untuk memimpin MIC. Jelaslah, bekas Presiden MIC juga tidak bersetuju dengan langkah anak didiknya itu. Sudah tentu ahli-ahli parti telah mendengar penjelasan daripada Palanivel dan Subramaniam mengenai apa yang sedang mereka lakukan untuk meneruskan hayat MIC.

Apakah langkah seterusnya? Diharapkan perhimpunan dua hari itu tidak memburukkan lagi keadaan. Palani dan Subra mahu mengadakan pemilihan semula. Palani mahu semua jawatan dipilih semula. Subra pula mahu mengikut arahan ROS.Tempoh yang dicadangkan sekitar bulan depan sehinggalah akhir tahun. Itu ‘kata sepakat’ dua pemimpin ini. Bagaimana jika dua kem ini mengadakan pemilihan mengikut pertimbangan masing-masing? Siapa yang berhak mengendalikan pemilihan ini? Siapa yang boleh dirujuk bagi mengiktiraf pemilihan yang mana satu sah? Sebagai parti komponen, BN tidak ada pilihan lain selain campur tangan dalam kemelut yang melanda MIC.

Sudah terlalu lama isu ini ‘tergantung’ sedangkan masa terus berlalu untuk BN mengukuhkan komponen bagi menghadapi pilih­an raya umum (PRU) akan datang. Suka atau tidak, MIC memerlukan orang tengah untuk mencari jalan keluar. Sebagai ‘anak’ MIC perlu mengikut nasihat ‘bapa’. Sebelum ini, Palanivel dinasihatkan mengadakan pemilihan semula berdasarkan CWC 2009 dan senarai perwakilan 2012. Itulah langkah yang terbaik, semua boleh bertan­ding. Kedua-dua kem mempunyai pemimpin yang mampu memberi khidmat kepada masyarakat India. Bertandinglah secara sihat. Biarlah Palanivel dan Subramaniam bertarung untuk jawatan No.1 itu supaya kemelut berakhir dengan baik. Perhimpunan dua hari itu boleh dianggap sebagai permulaan kempen untuk membolehkan akar umbi membuat pilihan yang tepat.

Seperti yang pernah diselak dalam ruangan ini pada 2 Februari lalu di bawah tajuk Pemimpin MIC jangan buang masa eloklah pemilihan baharu diadakan kerana tempoh penggal lalu akan berakhir tahun depan. Sekurang-kurangnya masalah dalaman ini diselesaikan tahun ini dan 2016 dijadikan tahun mengukuhkan jentera parti bagi menghadapi PRU. Cukuplah krisis dalaman MIC memecahkan penyatuan masyarakat India. Amat malang jika krisis ini berakhir dengan kemunculan parti serpihan seperti yang pernah dialami oleh UMNO, MCA dan juga MIC. Diselak kembali krisis sebelum ini, akibat masalah dalaman MIC, beberapa parti politik muncul seperti Barisan Kemajuan India (IPF) yang kekal sehingga ke hari ini dan Parti Demokratik India Malaysia (DMIP). Sebagai alternatif, turut muncul Malaysia Makkal Sakti (MMS) dan Parti Bersatu India Malaysia (MIUP). Kemunculan Hindraf pada tahun 2007 juga memberi tamparan hebat kepada MIC.

Apakah yang boleh diharapkan lagi jika MIC terus berpecah? Lihat sahaja pencapaian MIC semasa PRU-12 dan PRU-13. MIC perlu berterima kasih kepada Najib kerana memberi dua kerusi menteri Kabinet walaupun pencapaian pada PRU lalu tidak memberangsangkan. Diselak ketika era Samy Vellu, hanya satu jawatan menteri diberikan, untuk presiden. Begitulah sokongan BN untuk membantu memulih­kan MIC. Bagi mengatasi kemelut ini, adakah ‘bahtera’ MIC perlu dikemudikan sementara waktu oleh orang tengah? Biarlah orang tengah menyelesaikan kemelut yang melanda tanpa menyingkirkan mana-mana pihak. Jika benar, ‘Presiden dan Pemangku Presiden’ mempunyai kekuatan masing-masing, biarlah mereka bertemu secara terbuka di gelanggang. Menang dan kalah biar secara bermaruah.

Banyak risiko yang menanti jika hanya sebelah pihak dibenarkan bertanding. Jalan terbaik mengguna pakai arahan ROS. Jika kemelut masih gagal, BN mungkin boleh mengambil tindakan yang lebih drastik untuk ‘menghukum’ MIC. Pilihan itu ada, terpulanglah kepada BN untuk bertindak.