Melihat dan mendengar keluhan orang pekak sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu memberi ­ruang untuk saya meng­angkat isu yang diuar-uarkan dalam media sosial iaitu isu jurubahasa isyarat (JBI) bagi tujuan diambil perhatian oleh pihak-pihak yang ber­kenaan.

Dalam media sosial ter­utamanya Facebook memaparkan kekecewaan orang pekak (OP) tentang ketiadaan perkhidmatan jurubahasa isyarat yang menjadi jambatan komunikasi kepada golongan ini untuk mendapatkan maklumat terkini perkembangan senario politik negara.

Mereka adalah sebahagian pemilih dalam mencorak sesebuah negara turut ingin merasai ­keterujaan rakyat dengan feno­mena tsunami politik pada pilihan raya kali ini. Malangnya, perasaan itu tidak dapat dirasai sebagaimana orang lain.

Orang pekak mempunyai hak yang sama dalam mendapatkan maklumat tentang perkembangan semasa suasana politik Malaysia.

Antara media yang membantu adalah televisyen. Apa yang berlaku sepanjang proses pilihan raya, keputusan siapa memenangi kerusi dipertandingkan, apa manifesto dibawa parti-parti bertan­ding, semuanya mahu diketahui.

Malangnya, televisyen hanya mampu ditatap kerana tiada sisipan atau khidmat jurubahasa disediakan bagi menterjemahkan perkembangan semasa di saluran-saluran utama.

Mereka tidak faham dengan hanya melihat visual yang dipaparkan. Tidak seperti lazimnya berita di TV1 yang menyediakan khidmat JBI atau beberapa rancangan televisyen atau paling tidak pun, ada sari kata disediakan supaya warga pekak mendapat maklumat sama.

Malang sekali, hanya Kerajaan Negeri Selangor menyediakan sisipan JBI dalam usaha menyampaikan maklumat kepada orang pekak. Tahniah!

Orang pekak menggunakan bahasa non verbal iaitu bahasa isyarat sebagai medium utama komunikasi.

Bahasa Isyarat Malaysia atau BIM adalah bahasa rasmi orang pekak dan ia termaktub di dalam Akta OKU 2008. Dalam usaha mengintegrasi orang pekak di dalam masyarakat, peranan JBI sangat diperlukan.

JBI bukan sahaja menjadi penterjemah apa yang disampaikan oleh orang bukan pekak ke bahasa isyarat, malah apabila respon diterima, JBI perlu menterjemah isyarat ke dalam bahasa pertuturan bagi mewujudkan komunikasi dua hala yang berjaya.

Ini memerlukan kepakaran yang tinggi dan hanya JBI yang mampu menjalankan tanggungjawab ini.

Tidak dinafikan perkhidmatan JBI telah banyak membantu orang pekak untuk mendapatkan apa yang diperlukan dengan menjadi telinga dan suara bagi komuniti ini. Ketiadaan latihan serta kekurangan JBI telah menyebabkan isu keresahan dan tidak puas hati dalam kalangan orang pekak, salah faham dan permusuhan.

Pengalaman ini mendorong Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur (KLSD) merintis per­khidmatan JBI untuk orang pekak secara sepenuh masa pada 1996.

KLSD menawarkan perkhidmatan secara percuma bermula jam 9 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja. Namun begitu, bagi perkhidmatan di luar waktu pejabat dan melebih 10 kilometer dari pejabat KLSD, klien bertanggungjawab membayar kos peng­angkutan dan token untuk JBI. Keperluan yang mendesak memaksa KLSD mengambil ramai JBI namun memberi implikasi besar terhadap kewangan organisasi.

KLSD yang ketika itu diterajui Mohamad Sazali Shaari membe­ritahu, mereka terpaksa melakukan pelbagai cara mencari dana untuk membayar gaji JBI seperti memohon derma, membuat jualan pakaian dan barang terpakai serta memohon peruntukan daripada kerajaan.

Kerajaan masih kurang jelas dengan keperluan ini selain tiada skim JBI serta dasar kerajaan bagi memperuntukkan kemudahan bagi orang pekak kerana JBI bukannya orang kurang upaya (OKU).

Satu kenyataan akhbar pada 2014 menyatakan keperluan seramai kira-kira 160 JBI bagi mencapai nisbah satu jurubahasa untuk 300 OKU pekak di dalam negara. Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) memberitahu, ia bagi memenuhi keperluan semasa 55,500 orang pekak yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat pada ketika itu.

Usaha digembleng dengan kerjasama Yayasan Sime Darby (YSD) yang menaja sebuah ruang seluas 6,000 kaki persegi di tingkat 4, Menara KLH, Puchong bagi me­laksanakan program pembangunan golongan pekak.

Selain itu, International University College Tecnology Twintech dengan kerjasama MFD sejak 2007 hingga kini ada menawarkan kursus Diploma JBI dan disahkan MQA.

Meskipun begitu, isu gaji yang ditawarkan terlalu rendah, tiada subjek khusus sebagai jurubahasa isyarat di institusi pengajian adalah antara sebab Malaysia kekurangan tenaga dalam bidang itu. Gaji yang diterima oleh seorang jurubahasa adalah RM900 hingga RM1,200 sahaja dan ia memang tidak cukup untuk menampung keperluan semasa sehingga ramai yang berhenti daripada kerjaya ini.

Kerajaan diharapkan dapat mengiktiraf profesion jurubahasa isyarat agar kebajikan golongan orang pekak tidak terpinggir.

Ia sejajar dengan saranan yang dikemukakan oleh Pengerusi Yayasan Pendidikan Al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan Faqeh), Zaini Abas yang berharap kerajaan dapat mewujudkan satu perjawatan rasmi untuk JBI, sebagaimana jawatan jurubahasa Gred LA19 di mahkamah.

Justeru, mereka ini boleh dile­takkan di mana-mana agensi kerajaan atau di bawah seliaan agensi tertentu yang boleh memberi khidmat saban waktu kepada warga pekak.

Mereka bebas diletakkan sama ada di hospital, balai polis, jabatan-jabatan kerajaan dan boleh dipanggil bertugas sekiranya diperlukan atau dalam situasi mendesak. Bukan sekadar dile­takkan di dalam institusi pendidikan sebagai tenaga pengajar.

Ia sebenarnya akan merugikan khidmat JBI dalam skala keperluan yang lebih besar.

Sebagai rakyat Malaysia, orang pekak juga berhak bersuara dan suara mereka didengari. Mereka tidak meminta banyak, sekadar agar dapat memenuhi keperluan bagi membantu meningkatkan keupayaan untuk lebih maju ke hadapan, seperti orang lain. Semoga orang pekak terus dapat memberikan sumbangan kepada agama, bangsa dan negara demi kegemilangan negara yang bertuah ini.

PENULIS berkhidmat di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor.