Bagi pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG), kampus Ipoh, Perak itu hobinya mengembara sendirian di dunia yang serba-serbi asing membolehkan seseorang itu keluar dari zon selesa, bermuhasabah diri dan menyerahkan sepenuhnya nasib pada Allah Yang Maha Esa.

“Saat itu saya hanya bergantung 100 peratus kepada Allah sekali gus terasa amat dekat dengan-Nya sehinggakan tatkala solat dan sujud seolah-olah Dia berada betul-betul di hadapan saya,” cerita Anita.

Sebab itu setiap dua atau tiga bulan Anita akan melakukan pengembaraan solo ke serata pelosok dunia semata-mata untuk merasai saat-saat syahdu itu. Selain itu keinginannya melihat tanda-tanda penciptaan dan kebesaran Allah di dunia ini mengatasi segala-galanya.

“Keinginan itu mengatasi segala ketakutan!” ulas Anita ringkas yang kini menjadi duta Givi, jenama eksesori motosikal antarabangsa yang berpusat di Itali.

Terbaru, Anita melakukan kembara solo selama 42 hari mengelilingi New Zealand bermula dari Auckland sehingga ke penghujung utara dan seterusnya ke pulau selatan dan kembali semula ke Auckland meliputi perjalanan sejauh 7,500 kilometer. Cabaran besar yang terpaksa dihadapinya semasa kembara bermotosikal di New Zealand ialah menempuh angin lintang yang terkenal di kawasan pergunungan Rimutaka Hill.

Semasa sedang mendaki bukit tersebut menuju ke Wellington, angin lintang telah menyeret motosikal yang sedang ditunggangi Anita sehingga terkeluar dari lorongnya lantas memasuki lorong bertentangan.

“Mujurlah tak berlaku apa-apa kemalangan masa itu dan saya berjaya mengawal motosikal lantas masuk semula ke lorong saya,” ceritanya.

Mengimbau kembali penglibatannya dalam kembara bermotosikal, Anita tidak lupa berterima kasih kepada sifunya, seorang pengembara bernama Hadi Husin yang pernah menjelajah dari Kuala Lumpur ke Kota London hanya dengan menaiki motosikal kapcai. Hadi Husin merupakan orang yang bertanggungjawab mengajar Anita teknik menunggang motosikal yang betul dan aspek-aspek keselamatan ketika melakukan pengembaraan secara solo.

“Hadi banyak memberi inspirasi, menyuntik keyakinan dan keberanian saya untuk mengembara secara solo ke negara asing,” cerita Anita.

Dua kembara solo yang begitu mengujakan Anita ialah Kembara Stans Asia Tengah (2014). Kembara itu telah mencatat rekod pengembaraan yang disifatkan sebagai epic solo ride iaitu menunggang motosikal seorang diri melalui lima buah negara di Asia Tengah iaitu Uzbekistan, Kazakhstan, Kyrgystan, Tajikistan dan Pakistan. Malaysia Book Of Record (MBOR) telah menganugerahkan Anita dengan gelaran First Woman To Ride Solo Across Five Central Asian Countries On A Motorcycle.

MBOR juga memberikan anugerah Outstanding Achievement kepada ikon pengembara solo bermotosikal itu dalam satu majlis gilang-gemilang Night of Achievers pada tahun 2014. Kemuncaknya, ialah Global Dream Ride (2015) apabila Anita berjaya melakukan penggembaraan secara solo bermula pada 13 September 2015 merentasi empat benua dari Seattle, Amerika Syarikat, Amerika Utara, Eropah dan Asia.

Selama 370 hari beliau berjaya menggembara secara solo meliputi 40 buah negara sejauh 65,369 kilometer dan berjaya menamatkan kembaranya di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 16 September 2016 sempena Hari Malaysia.

Bagi merealisasikan impiannya itu Anita terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama setahun serta mengeluarkan perbelanjaan sendiri sebanyak RM120,000 tanpa mendapat tajaan mana-mana pihak.

Berkat keazamannya itu beliau diiktiraf oleh MBOR sebagai wanita Islam Malaysia pertama bermotosikal mengelilingi dunia.

Menurut Anita, beliau pernah diuji dengan tiupan angin yang sangat kencang di Uzbekistan, ribut pasir di Afghanistan serta kabus yang sangat tebal ketika berada di pergunungan Yunnan, China.

Ketika itu motosikal yang dipandunya langsung tidak nampak ke mana arah yang hendak ditujunya. Adakalanya, glasier yang mencair atau salji runtuh menyebabkan jalan yang dilaluinya terputus perhubungan.

Ketika melakukan kembara solo di Sumatera pula hujan turun dengan lebatnya sehingga menyebabkan tanah runtuh. Peristiwa itu berlaku ketika Anita betul-betul sedang melalui jalan tersebut.

“Hampir sahaja lumpur dari tanah runtuh yang dibawa oleh aliran air hujan menolak saya dan motosikal jatuh ke dalam gaung,” ceritanya.

Sewaktu melakukan kembara solo di Asia Tengah pula, pengalaman menakutkan lebih banyak tertumpu kepada laluan offroad di kawasan pergunungan khususnya Kyrgyzstan dan Tajikistan selain halangan alam semula jadi. Pernah semasa mengembara ke Laos, jambatan yang menghubungkan daratan terputus akibat banjir besar dan Anita terpaksa menyeberang sungai itu di atas rakit buluh yang diampu oleh beberapa orang pemuda tempatan.

“Mujurlah saya selamat sampai ke seberang,” cerita Anita mengimbau pengalamannya ketika mengembara secara solo ke serata pelosok dunia.