Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria turut bimbang dengan keadaan ini yang jika dibiarkan boleh menggugat agama Islam. Bersama wartawan Mingguan Malaysia , SAYED HESHAM IDRIS dan jurugambar ZULKARNAIN SAIDIN, Harussani mengupas punca, situasi dan jalan penyelesaian perpecahan dalam kalangan Melayu Islam di Malaysia.

 

 

MINGGUAN: Sejauh mana perpecahan orang Melayu di Malaysia?

HARUSSANI: Di Malaysia, orang Melayu yang satu bahasa, satu bangsa berpecah. Berpecah bukan dari segi bangsa tetapi disebabkan politik. Disebabkan politik, orang Melayu antara satu sama lain benci membenci, kata mengata, hina menghina. Ini menyebabkan kita bertambah lemah. Kalau negeri kita negeri Melayu yang dulu seratus peratus orang Melayu, tapi sebab kita tak bersatu, kita dijajah. Apabila dijajah, kita diperhina, kita menjadi lemah, ekonomi kita ditekan dan dibawa masuk bangsa lain yang sepatutnya apabila Merdeka, mereka balik ke negeri mereka tapi apabila kita lemah maka kita terima mereka atas perkongsian tanah yang namanya Tanah Melayu sedangkan bangsa-bangsa ini sudah maju dari segi ekonominya menyebabkan kita semakin ketinggalan.

Sebagai orang Islam sepatutnya menjaga silaturahim tetapi kenapa ia tidak berlaku?

HARUSSANI: Orang Islam tidak boleh bermusuh kerana Allah sudah memberi amaran dalam firman-Nya yang bermaksud: “Mereka akan ditimpa kehinaan dan kelemahan ke atas mereka di mana juga mereka berada kecuali baik hubungan mereka dengan Allah dan baik hubungan dengan manusia”. Kalau berpecah, bermaka kita ikut Yahudi. Yahudi ini satu bangsa yang hebat sehingga pernah Allah menjamu makanan dari langit.

Tetapi mereka sentiasa berpecah sehingga sesama mereka pun ada 12 puak yang tidak boleh bersatu. Sebab itu mereka ditimpa kehinaan sepanjang hidup mereka. Mereka lari di Arab kena usir, duduk di Barat ditindas sampai dibunuh. Tapi kesedaran telah timbul menyebabkan mereka bersatu walaupun tidak berpegang pada syariat Allah tapi mereka berpegang pada syariat Nabi Musa, maka mereka menjadi kuat hari ini sehingga digeruni di seluruh dunia.

Apakah kesan daripada perpecahan orang Melayu ini?

HARUSSANI: Politik menyebabkan kita berpecah. Berbeza pandangan tidak salah tapi mesti dalam satu kumpulan. Namun kita berbeza pandangan tetapi kita pecahkan

kumpulan. Ini keadaan orang Melayu yang bukannya semakin kuat tapi semakin lemah. Akibat sudah berpecah, maka timbul pelbagai masalah sosial seperti melakukan jenayah. Malah hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan rasuah yang berleluasa. Siapa yang ramai ditangkap? Bukankan orang Melayu?

Apa nasib orang Melayu jika terus berpecah?

HARUSSANI: Bila kita berpecah, keadaan kita makin lemah. Mungkin ada ada yang rasa kita ada kuasa politik, tapi berapa lama kita dapat bertahan. Hari ini pun terus terang saya katakan walaupun kita ada kuasa politik di tangan kita tapi kita di bawah ugutan kerana kita terpaksa melayan tuntutan daripada bangsa-bangsa lain.

Pilihan raya akan datang, saya takut perpecahan ini akan menjadi bala besar kepada orang Melayu. Kaum lain berbeza parti tetapi mereka satu haluan sedangkan orang Melayu berbeza parti tetapi berlainan perjuangan.

Mungkin ada contoh perpaduan Islam yang dapat dijadikan panduan penyatuan Melayu.

HARUSSANI: Untuk melihat perpaduan Islam, jangan lihat masyarakat Islam zaman dahulu yang sudah jauh dan kita tak pernah nampak tapi cuba kita lihat masyarakat Islam di China. Macam mana kuatnya komunis menekan mereka. Perpaduan orang Islam di sana cukup kuat. Saya melawat negeri China sewaktu negara itu memulakan dasar buka pintu kepada pelancong. Apabila saya ke masjid, saya fikir tentu orang tak ramai sebab komunis menekan mereka beribadat, tak boleh baca al-Quran. Saya terlewat sampai ke masjid dan apabila tiba, sampai saya tak boleh masuk ke masjid disebabkan terlampau ramai orang.

Mereka umat Islam di China boleh bersatu sehinga sedemikian?

HARUSSANI: Saya dapati umat Islam di China selepas mereka sembahyang, mereka tidak terus pulang sebaliknya mereka berkumpul di satu kawasan seperti taman di kawasan masjid. Di situ mereka bersalam dan berbual-bual. Waktu itu ialah peluang untuk mereka berjumpa dan bertanya khabar sesama orang Islam. Kalau ada yang susah mereka bantu dan kalau ada yang sakit mereka rawati. Itulah kekuatan mereka. Sebab itu walaupun ditindas, iman umat Islam di China tetap kuat.

Bagaimana cara orang Melayu Islam di Malaysia boleh disatukan?

HARUSSANI: Untuk mengelak perpecahan, orang Islam mesti menghayati Islam mengikut yang dikehendaki syarak. Jika dihayati dan ikut syarak maka ia akan melahirkan ikatan persaudaraan dan kasih sayang sesama Islam. Formula penyatuan ini ada dalam rukun Islam dan rukun iman yang jika dihayati terkandung elemen perpaduan sebagaimana yang dituntut oleh Islam.

Secara praktikalnya bagaimana rukun Islam dan rukun iman membentuk perpaduan ummah?

HARUSSANI: Rukun iman dan rukun Islam menyimpulkan hubungan sesama Islam, hubungan yang bukan sekadar perkenalan tetapi hubungan persaudaraan, dibentuk hubungan itu dengan akhlak yang baik berasaskan rukun iman. Dalam lima rukun Islam, pertamanya mengucap dua kalimah syahadah, ia merupakan ikatan hubungan kita dengan Allah dan hubungan dengan manusia, sebab itu apabila kita mengucap maka wajib kita menjaga hubungan dengan Allah dan wajib kita berbaik-baik sesama manusia.

Mengucap dua kalimah syadadah menyimpul kasih rasa antara manusia dan Allah. Kalau kita putus hubungan dengan Allah bahaya kita dan kalau putus hubungan dengan manusia bahaya kita. Kedua, sembahyang lima waktu itu mesti berjemaah. Apabila sembahyang kita kena bentuk saf atau barisan yang cukup kuat dan mesti satu barisan. Ketiga, berpuasa yang selain sebagai ibadah, ia untuk melahirkan simpati terhadap kehidupan manusia yang pelbagai. Apabila simpati, maka datanglah yang keempat iaitu mengeluarkan zakat untuk mengembangkan ekonomi. Setelah itu barulah menunaikan haji. Haji adalah perpaduan global seluruh dunia.

Di Malaysia kita mempunyai pelbagai program agama namun perpaduan masih sukar untuk dibentuk?

HARUSSANI: Dari segi pelak­saan ibadat sembahyang, puasa dan program agama yang lain seper­ti Quran Hour, ia tidak mem­be­rikan satu impak yang kuat. Sepatutnya apabila kita kata Quran Hour, kita baca al-Quran maka sepa­tutnya kita menghubungkan silaturahim yang cukup untuk meng­hilangkan segala perbezaan. Begitu juga apabila sembahyang de­ngan satu imam, kita sama-sama rukuk, sujud dan diakhiri de­ngan memberi salam ucap sela­mat kepada jemaah di sebelah kanan dan kiri. Sembahyang itu merupakan satu ikatan yang cukup kukuh tapi semuanya tiada impak sebab solat dan puasa kita tidak dihayati.

Bolehkah orang Melayu disatukan?

HARUSSANI: Kalau kita hayati dan ikut syarak, akan lahirlah ikatan persaudaraan kasih sayang sesama Islam. Apabila kita boleh bersatu maka bolehlah kita mengadakanperbincangan bagaimana hendak membangunkan orang Melayu. Kita jangan mengharapkan kerajaan sahaja untuk memajukan orang Islam. Islam mempunyai peraturan yang cukup hebat dalam soal perpaduan. Kalau kita hendak bersatu, baliklah kepada Islam. Tengok orang Yahudi. Di mana saja mereka baca kitab, begitu kuatnya mereka dan amalannya cukup kuat. Israel pernah berpecah kepada beberapa puak, masing-masing puak tak boleh bersatu tapi mereka belajar balik daripada kitab Taurat setelah mereka dihina begitu hebat sekali dan mereka menjadi kuat. Walaupun bilangan mereka tak banyak tapi mereka menguasi minda manusia.

Bolehkah parti-parti politik menjadi penyatuan kepada orang Melayu?

HARUSSANI: Orang Melayu boleh bersatu tetapi syaratnya UMNO perlu bersatu. Sekarang ini orang Melayu sudah berpecah kepada pelbagai parti. Masing-masing dengan perjuangan sendiri.