Harganya masih rendah dan tidak menunjukkan kenaikan yang ketara untuk tempoh agak lama sedangkan kos sara hidup dan harga barang makanan harian pula meningkat tanpa dapat dikawal.

Saya ada bertanya kepada kenalan di kampung yang juga seorang penoreh getah tentang harga semasa jualan diambil peraih dan katanya sekitar RM1.80 sahaja sekilogram.

Saya terus terfikir, isi minyak seliter untuk motosikal pun belum mampu dengan harga getah serendah itu.

Apabila ada anggapan menyatakan orang kampung tidak terkesan jika harga minyak petrol tinggi di pasaran, itu salah!

Pergi ke kebun, hantar dan ambil anak di sekolah, keluar ke pekan atau kedai membeli keperluan rumah serta lain-lain urusan pastinya menggunakan motosikal atau kereta.

Apabila harga getah masih di takuk lama atau lebih murah lagi, pastinya kehidupan mereka akan lebih terhimpit dan perit.

Pada masa kini, pengeluaran getah asli dianggarkan sebanyak 650,000 tan setahun.

Terdapat lebih daripada 450,000 keluarga pekebun kecil getah dengan kira-kira dua juta orang bergantung kepada pendapatan hasil jualan getah.

Justeru, atas sebab itu ia dikenali sebagai Industri Strategik Negara kerana menjadi sumber pendapatan kepada kelompok besar masyarakat yang berada di dalam negara ini.

Sebagai anak kecil yang membesar dahulu di kampung hasil daripada jualan getah beku oleh kedua orang tua, pastinya saya dapat menyelami kesusahan para penoreh getah kini dengan harga jualan semasa.

Saya tiada halangan apabila kerajaan ingin mengkaji semula beberapa projek mega yang dirancang oleh kerajaan terdahulu seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), rel berkelajuan tinggi (HSR) dan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) atas pertimbangan untuk mengurangkan kadar hutang negara.

Tetapi hakikatnya, ia tidak begitu menarik minat penduduk yang berada di luar bandar. Apa yang mereka ingin lihat dan rasai ialah sumber ekonomi isi rumah dapat didayakan, pendapatan ditingkatkan dan kemudahan infrastruktur awam dilengkapkan.

Seingat penulis, 2011 adalah tahun bonus dan rahmat buat pekebun kecil getah apabila harga getah beku yang dijual ketika itu amat tinggi sekitar RM7 dan RM8 sekilogram.

Lembaga Getah Malaysia (LGM) turut melaporkan, pendapatan eksport getah negara tertinggi dicatatkan pada 2011 iaitu sebanyak RM40.1 bilion apabila harga getah asli ketika itu mencatatkan harga purata tahunan tertinggi iaitu RM13.48 sekilogram.

Saya masih ingat ketika itu ramai juga yang bekerja makan gaji ambil kesempatan menjadi penoreh getah sambilan selepas pulang dari pejabat atau di hujung minggu.

Malahan ada yang tinggal di bandar sanggup ambil cuti agak lama pulang ke kampung seketika untuk menoreh getah, semuanya dek penangan hasil jualan getah beku yang tinggi.

Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Sejak 2012 harga komoditi getah mula mengalami ketidaktentuan, terus merudum di pasaran dan melalui zaman gelapnya semula sehingga ke saat ini.

Kesan langsung dapat dilihat ramai pemborong getah beku telah gulung tikar, manakala para penoreh getah terpaksa mencari pekerjaan sampingan lain untuk meneruskan survival hidup di kampung.

Rata-rata pekebun kecil merasakan bahawa kerajaan dan agensi berkaitan perlu mengambil tanggungjawab dan peranan lebih serius untuk menstabilkan harga getah agar pendapatan mereka tidak terus terjejas serta menyediakan bantuan yang bersesuaian kepada mereka secara bermusim atau berkala.

Selain perlu mendepani cabaran harga getah semasa yang rendah, penoreh getah juga perlu bersedia dengan hasil torehan tidak menentu akibat faktor cuaca dan musim yang memberi kesan kepada kuantiti hasil jualan yang diterima.

Mengikut pengalaman saya, hasil getah akan berkurangan pada musim tengkujuh sekitar Oktober sehingga Januari setiap tahun.

Penoreh tidak dapat ke kebun kerana hujan yang kerap akan mencairkan (menghilangkan)getah di dalam bekas takungan.

“Tiada hasil menoreh pada musim hujan, nanti yang dikumpul bukan getah, tapi air sahaja semata-mata.” Itulah yang diungkapkan ibu saya suatu ketika dahulu.

Justeru, di sebalik kesuraman harga komoditi getah, peningkatan jumlah eksport memberi gambaran yang melegakan kepada kita khususnya para pekebun kecil bahawa getah Malaysia masih mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran antarabangsa.