Pelbagai usaha sedang giat direncanakan merangkumi program untuk melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat selain penerapan budaya sukan berprestasi tinggi dalam kalangan pemain.

Malahan, BAM turut berhasrat mewujudkan liga badminton di peringkat akar umbi bagi meluaskan lagi pilihan pemain untuk mewakili negara pada masa akan datang.

Bagi memahami program pembangunan yang ingin dilakukan, wartawan Mingguan Malaysia, NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR mengadakan pertemuan bersama Presiden BAM, DATUK SERI MOHAMAD NORZA ZAKARIA bagi mendapatkan perincian mengenai pendekatan-pendekatan yang ingin diperkenalkan bagi menjadikan Malaysia sebagai kuasa besar dalam sukan itu.

MINGGUAN: Apakah perancangan awal Datuk Seri selepas dilantik sebagai Presiden BAM yang baharu?

MOHAMAD NORZA: Pertama sekali saya ingin memastikan Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara ini siap sepenuhnya dan proses penyerahan daripada kerajaan kepada BAM dilaksanakan secepat mungkin dengan sasaran penyerahan itu siap sepenuhnya pada 2018. Apabila akademi ini siap sepenuhnya, kami mampu untuk menempatkan kesemua 150 pelatih termasuk pelajar dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dapat dipindahkan ke sini sepenuhnya.

Kami juga akan memperincikan segala perkara melibatkan para pelatih termasuk isu di mana mereka akan bersekolah, hostel, program pemakanan mereka selain kemudahan gimnasium serta perkara-perkara lain melibatkan akademi ini.

Akademi ini akan menjadi pusat sehenti kepada para pemain kerana di sini akan disediakan segala kemudahan termasuk mini ISN (Institut Sukan Negara) bagi memudahkan mereka mendapatkan segala kemudahan melibatkan sains sukan.

Saya juga akan mengambil beberapa pendekatan terkini dalam usaha menambah baik sistem Kejurulatihan dan Latihan (C&T) sedia ada kerana saya mahu melihat sistem pengurusan yang lebih efisyen.

Adakah ABM ini akan menjadi satu-satunya akademi untuk BAM?

MOHAMAD NORZA: Dalam tempoh lima tahun dari sekarang saya menyasarkan untuk sekurang-kurangnya akan ada lagi empat akademi seperti ini. Sabah dan Sarawak akan memiliki satu akademi, satu lagi akan ditempatkan di kawasan utara, kawasan selatan juga akan memiliki satu akademi dan satu lagi akan dibina di kawasan pantai timur.

Saya percaya pendekatan ini akan memudahkan BAM untuk meluaskan lagi talent pool kerana saya melihat akademi ini mampu untuk mencari lebih ramai pemain berbakat di peringkat negeri.

Menerusi pembinaan akademi ini juga, proses pencarian bakat tidak hanya akan tertumpu kepada BAM semata-mata sebaliknya akademi ini akan menjadi feeder kepada ABM di Bukit Kiara.

Sekarang ini kita memiliki sekitar 200 pemain sahaja tetapi menerusi pembinaan empat lagi akademi ini, kita dijangka mampu melahirkan lebih daripada 1,000 pemain pada masa akan datang.

Selain daripada akademi badminton, apakah pendekatan lain yang akan digunakan untuk mencari lebih banyak bakat baharu bagi menjadi pelapis skuad kebangsaan?

MOHAMAD NORZA: Kita ada beberapa cadangan termasuk mengadakah liga badminton kebangsaan yang merangkumi liga profesional dan liga amatur yang melibatkan persatuan di peringkat negeri. Liga ini merupakan antara pendekatan terbaik yang dilihat boleh dijadikan sebagai medan untuk mencari lebih ramai pemain muda kerana ia akan melibatkan pemain di setiap daerah di sesebuah negeri.

Liga profesional akan melibatkan pemain peringkat negeri serta pemain-pemain elit yang akan menggunakan format Piala Sudirman manakala liga amatur akan menyasarkan penglibatan pemain kelab di peringkat negeri.

Menerusi pendekatan ini, saya percaya persatuan di peringkat negeri akan menjadi lebih aktif bagi melahirkan pemain-pemain berkualiti untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan.

Apakah penambahbaikan yang akan dilaksanakan bagi memastikan skuad badminton negara mampu bersaing dengan kuasa-kuasa besar lain?

MOHAMAD NORZA: BAM masih lagi dilihat sebagai salah satu kuasa besar di dalam sukan badminton dunia, kami tidak memiliki sebarang kelemahan yang ketara hanya perlu beberapa penambah baikan terhadap sistem sedia ada.Sebagai contoh, kita memiliki tiga pingat perak Sukan Olimpik, kita juga adalah semi finalis bagi kejohanan Piala Thomas, cuma kita masih belum ada juara dunia.

Kita perlu mencari pendekatan yang lebih agresif bagi memastikan skuad kebangsaan mampu bersaing di kejohanan utama dunia seperti Sukan Olimpik 2020, Piala Thomas dan Uber pada tahun hadapan selain Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Glasgow, Ogos ini. Hanya perlu perbaiki beberapa perkara sahaja lagi dengan menjadikan budaya sukan berprestasi tinggi yang lebih agresif sebagai penanda aras baharu.

Berdasar kepada keadaan semasa, prestasi pemain kebangsaan tidak berada di tahap terbaik, apa pendekatan yang akan digunakan bagi mengatasi masalah ini?

MOHAMAD NORZA: Kita memiliki tujuh juara remaja dunia tetapi tiada pemain yang boleh diangkat untuk menjadi juara dunia dan ini membuatkan kami di BAM perlu menerapkan budaya sukan berprestasi tinggi kerana ia akan menjadi teras utama dalam diri setiap pemain.

Pemain-pemain yang sudah dikenal pasti berpotensi untuk diketengahkan akan diberikan bimbingan secara total. Sistem yang akan digunakan bakal melahirkan pemain yang complete, bukan sahaja berbakat tetapi memiliki fizikal dan mental kuat selain disiplin kelas pertama.

Kami mahu memastikan setiap pemain memiliki pemikiran bahawa tiada jalan mudah atau jalan pintas untuk menjadi juara dunia atau pemain berkelas dunia.

Mereka boleh melihat sendiri bagaimana (Datuk Lee) Chong Wei meletakkan disiplin yang tinggi di dalam dirinya untuk kekal sebagai pemain berkelas dunia bagi tempoh yang lama. Ini sangat penting kerana untuk mengekalkan status sebagai pemain utama dunia, disiplin kelas pertama adalah sangat mustahak.

Apakah penghalang utama kepada pemain negara untuk berjaya di peringkat antarabangsa berbanding negara lain seperti Indonesia, Korea Selatan dan China?

MOHAMAD NORZA: Jika dibandingkan dengan negara-negara yang berjaya, kita tidak banyak beza cuma kita perlu melahirkan pemain yang memiliki semangat serta keazaman tinggi untuk berjaya. Sebab itu saya katakan, kita memerlukan pemain yang bijak dan complete, yang boleh menggunakan kekuatan mental untuk beraksi dan tidak hanya bergantung kepada kekuatan fizikal bagi mencari kejayaan.

Pendekatan sains sukan sangat penting dalam pembentukan pemain berkualiti, kita memerlukan sokongan teknologi bagi memajukan serta meningkatkan prestasi pemain. Bantuan teknologi seperti analisa video permainan sangat penting untuk menentukan kelemahan pesaing-pesaing kita.

Selain itu, para pemain juga akan dihantar menyertai kursus-kursus bersesuaian untuk membina jati diri selain memperkuatkan mental mereka kerana dalam dunia sekarang, kita tidak boleh hanya bergantung kepada latihan harian semata-mata.

Apakah sasaran jangka panjang BAM? Adakah masih dengan impian menggapai pingat emas Sukan Olimpik atau mencari juara dunia?

MOHAMAD NORZA: Ya, itu adalah sasaran utama kami tetapi bagi mencapai impian itu, kami di BAM perlu memantapkan barisan pemain sedia ada. Sebelum ini kita hanya ada satu wakil di Sukan Olimpik tetapi selepas ini kami mahu ada dua wakil dalam kesemua lima acara yang dipertandingkan. Bagaimanapun, kita tidak boleh bergantung kepada Olimpian sedia ada, kita perlu menyediakan pemain yang benar-benar berkualiti untuk dijadikan pilihan selain menjadi sokongan kepada pemain utama.

Seperti saya katakan sebelum ini, bahagian lelaki berada di dalam zon ICU, kita memerlukan pendekatan yang lebih agresif untuk mengatasi masalah ini segera. Pemain perlu mengambil inisiatif untuk menempatkan diri mereka sekurang-kurangnya dalam kelompok 20 atau 10 pemain terbaik dunia agar Malaysia memiliki pemain alternatif pada masa akan datang.

Seperti diketahui, setiap kejayaan memerlukan imbuhan yang setimpal dan dalam hal ini adakah BAM akan menyediakan insentif yang sesuai bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang setiap pemain?

MOHAMAD NORZA: BAM akan mewujudkan sistem insentif yang lebih baik dengan memastikan setiap pemain yang cemerlang diberikan ganjaran setimpal dan pada masa sama kami juga akan menyediakan jalan keluar untuk mana-mana pemain yang gagal.

Ingin saya tekankan di sini bahawa BAM sentiasa menjaga kebajikan setiap pemain tetapi pada masa sama saya ingin mengingatkan bahawa BAM bukan tempat persinggahan buat mana-mana pemain yang gagal menyerlah kerana kami tidak mahu golongan seperti ini kekal selamanya bersama kami.

BAM akan menyediakan satu pintu untuk setiap pemain, mereka boleh masuk dan keluar seandainya gagal menyerlah tetapi boleh mencuba semula untuk masuk kembali seandainya mereka mampu menunjukkan peningkatan. Menerusi sistem ini, mana-mana pemain boleh mencabar ranking setiap pemain di dalam BAM dan jika terbukti lebih berjaya, mereka akan diserapka ke dalam skuad kebangsaan.

Pada ketika ini kami sudah mula menjalankan sistem ranking kebangsaan bagi menilai setiap pemain yang ada di negara ini untuk diserapkan ke dalam mana-mana acara berpasukan.

Datuk Seri memiliki perancangan besar untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab badminton dunia, apakah yang perlu dilakukan bagi merealisasikan impian itu?

MOHAMAD NORZA: Kuala Lumpur kini adalah bandar yang menempatkan BWF (Persekutuan Badminton Dunia), BA (Badminton Asia), BAM dan Persatuan Badminton Kuala Lumpur. Kita perlu memiliki perancangan yang khusus bagi menjadikan impian ini sebagai realiti. Saya akan mencari pendekatan terbaik untuk melibatkan semua badan badminton yang ada di bandar raya ini dengan menjadikan program pembangunan serta elit sebagai asas program.

Antara program yang saya lihat dapat direalisasikan ialah program pertukaran pemain dengan menjadikan Malaysia sebagai pusat latihan badminton dunia kerana sudah pasti ramai pemain mahu berlatih dengan Chong Wei.Saya akan berjumpa dengan BWF dan BA bagi merangka satu skim yang terbaik agar kesemua pemain negara termasuk di peringkat junior dapat berlatih bersama dengan negara-negara lain.