Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

PROGRAM berinteraksi dengan al-Quran membawa mesej ke arah ukhuwah
PROGRAM berinteraksi dengan al-Quran membawa mesej ke arah ukhuwah sesama umat Islam di seluruh dunia. FACEBOOK WORLD#QURANHOUR

AL-QURAN adalah sumber petunjuk dan pedoman untuk manusia khususnya mereka yang bertakwa. Al-Quran adalah rujukan utama penganut Islam dari sudut akidah, ibadah, syariah dan akhlak.

Asas ini penting supaya hubungan menegak (vertical) dengan Allah terjalin dan menghasilkan sifat ubudiyyah (ketaatan) dan hikmahnya bakal menjelmakan hubungan merentas (horizontal) dengan manusia dan sistem. Aksis atau tunjangan ini sangat pen­ting supaya tasawwur (pandangan semesta) manusia terbina dan fikrah Islami terbentuk.

Al-Quran adalah kalam Allah. Ia bukan hasil cetusan pemikiran manusia. Al-Quran tidak sahaja sifatnya harfiah (tekstual) tetapi merujuk kepada realiti (konteks­tual).

Al-Quran tidak sahaja menghubungkan kefahaman manusia dengan faktor yang ghaibiy­yah tetapi kandungan al-Quran memberikan pedoman dan jalan bagaimana kehidupan yang diredai seharusnya berlaku.

Tanpa pedoman dari Allah, penyimpangan dalam amalan boleh terjadi. Menghubungkan amalan dan pekerti diri dengan al-Quran, ia memberi bimbingan yang amat bermakna. Sesuatu yang dilakukan dengan redha Allah bakal memberikan barakah kepada kehidupan manusia.

Berinteraksi dengan al-Quran sekurang-kurangnya memerlukan tiga pendekatan. Pertama pendekatan baca. Setiap kalimah al-Quran yang dibaca, Allah berikan fadhilat atau pahala.

Kedua, selepas membacanya sangat penting ia difahami. Ia memerlukan pemahaman tentang maksud ayat, asbab me­ngapa ayat-ayat itu diturunkan dan bimbingan seorang Qari dan Pentafsir.

Membaca dan memahami apa yang dibaca memberi kekuatan kepada pemikiran dan hati. Pembentukan hati budi yang Qurani memberi kekuatan kefahaman kepada diri dan bakal menjadi pedoman dalam amalan dan penghayatan. Ketiga, al-Quran perlu dihayati dalam amalan dan perbuatan.

Jika ia berlaku dalam pemikiran, percakapan dan amalan, roh al-Quran akan sentiasa membekalkan kita dengan kekuatan menghubungkan diri dengan Allah untuk kebaikan hubungan manusia sesama manusia dan juga sistem.

World#QuranHour adalah suatu usaha murni yang ingin mencetuskan kesedaran supaya umat kembali kepada mendekati dan berinteraksi dengan al-Quran.

Telah sekian lama ramai dalam kalangan kita meninggalkan al-Quran, tersimpan di rak-rak tanpa menjamahnya. Malah, jauh sekali memahaminya dan mengamalkannya dalam hidup.

Sebab itu ramai orang Islam kehilangan arah dalam kehidupan. Gagal menampilkan contoh terbaik dalam pekerti dan amalan dan menyebabkan Islam itu sendiri terfitnah disebabkan gelagat umat Islam sendiri.

Para liberalis dan sekularis cuba menjauhkan diri dari agama termasuk al-Quran. Kelompok yang berpegang kepada akal semata-mata menjadikan rasional sebagai asas mencari kebenaran.

Al-Quran bagi mereka dianggap sebagai tahyul dan tidak rasional lalu ditolak. Seorang ahli Parlimen di Great Britain pernah menyatakan bahawa selagi al-Quran menjadi pegangan orang-orang Islam, selagi itu Islam akan terus bertahan.

Orang Barat mengetahui kewujudan tamadun umat Islam yang pernah lahir selama 700 tahun di zaman Abbasiyyah, Andalusia dan Uthmaniyyah. Kekuatannya ialah al-Quran yang menjadi sumber ilmu dan rujukan utama umat Islam.

Penemuan awal mengenai sains dan teknologi dilakukan oleh ulama dan ilmuwan Islam di abad yang awal sebelum ilmuwan Barat menemuinya di Zaman Pertengahan di mana buku-buku sains dan teknologi yang dihasilkan oleh Ibn Sina, al Biruni, al Khuwarizmi, Abu Qasim az Zaharawi dan banyak lagi diterjemahkan ke dalam Bahasa Hebrew, Ibrani dan Latin dan mengambil manfaat berban­ding darinya.

Justeru, kembali dan berinteraksi dengan al-Quran adalah sesuatu yang wajar kerana umat manusia kini sedang meninggalkan nilai-nilai murni dan abadi yang datangnya dari Allah dan hanya berpegang kepada akal yang terbatas dan nafsu-nafsi yang sifatnya meruntun.

World#QuranHour tidak sahaja bersifat simbolik kepada seluruh umat Islam tetapi membawa mesej ke arah ukhuwah sesama warga umat, pentingnya wehdah dijelmakan, jangan biarkan diri menjadi alat yang menyumbang ke arah perpecahan umat hingga wujudnya firqah-firqah (kumpulan) yang tidak sekata dan terbuka untuk menerima perbezaan.

Mengembalikan diri kepada al-Quran adalah mengembalikan diri dengan sesuatu yang fitrah.

Akliah berserta nakliah (wahyu) memberi manusia pedoman tentang hal-hal yang nyata dan hakikat yang ghaib. Landasan ini sa­ngat penting diyakini dan difahami supaya kehidupan manusia terbimbing dan terpedoman.

Al-Quran terkandung prinsip dan cara, kaedah dan pendekatan supaya pemikiran terhubung dengan hati dan akal budi insan apabila terbina ia memberi kesan langsung kepada niat dan amalan. Darinya terhasil watak dan pekerti yang menjadi contoh dan sumber ikutan manusia.

Di Malaysia sedang disuburkan tradisi Ulul albab (mereka yang berfikir) dalam kalangan para pelajar yang menghafaz al Quran dan mempelajari subjek akademik, program Imtiaz mendekati al-Quran, program Maahad Tahfiz melatih generasi muda interaktif dengan al-Quran dan program hafazan Darul Quran dan Profesional Huffaz dengan lima universiti tempatan.

Bayangkan sekiranya men­dekati al-Quran secara integratif berlaku ia bakal melahirkan ilmuwan, ulama dan profesional yang mampu menghubungkan al-Quran dengan pelbagai disiplin ilmu dan bakal menyumbang kepada pembangunan negara dan umat manusia.

World#QuranHour mengi­ngat­kan kita betapa pentingnya berinteraksi dan kembali kepada al-Quran supaya penghayatan ter­hadapnya mengembalikan kita kepada fitrah insaniah.

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA ialah Dekan Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain