Sebagai latar belakang, Saga diangkat sebagai karya terbaik dalam Sayembara Novel GAPENA (Gabungan Penulis Nasional) 1976. Lama betul itu. Ada kalangan pembaca setia Merrepak belum lahir pun ketika itu.

Saya sendiri pun pertama kali membacanya semasa di sekolah menengah pada lewat 1980-an. Bersama teks-teks karya luar biasa lain oleh A. Samad Said (Salina), Usman Awang (Tulang-Tulang Beserakan) dan Khadijah Hashim (Badai Semalam), semua karya agung Kesusasteraan Melayu ini sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran saya hingga ke saat ini, sebagai penulis Merrepak dan wartawan.

Secara ringkasnya, Saga mengisahkan tiga watak utama iaitu Rahmat, Hisyam dan Munirah. Mereka meninggalkan kemewahan hidup di kota dan pulang ke desa terpencil untuk mencurahkan bakti membangun masyarakatnya yang masih jauh ketinggalan dalam semua aspek kehidupan.

Perjuangan mereka tidaklah semudah yang dijangka. Mereka turut terjebak dalam pelbagai kancah konflik seperti hasad dengki, khianat dan cabaran-cabaran lain terutamanya oleh sebahagian daripada masyarakat desa yang mencurigai kejujuran dan kemurnian cita-cita mereka.

Kehebatan karya Abdul Talib ini dirumuskan oleh 13 panel hakim sayembara ketika itu sebagai "... telah menunjukkan kemampuan pengarangnya untuk membawa pembaharuan kepada novel Malaysia. ...novel ini telah membawa berbagai-bagai persoalan sastera. Di samping itu, pengarangnya berhasil memperlihatkan kemampuannya melukiskan persoalan watak-wataknya dari segi psikologi yang dapat dipertanggungjawabkan".

Sejak itu, Abdul Talib telah menyambung novel Saga menjadi Saga 2 dan Saga 3, yang merupakan kesinambungan daripada tiga watak utama asal bukunya iaitu Rahmat, Hisyam dan Munirah. Dengan permohonan maaf, saya berpendapat 'Saga’ pertama yang meraih menjadi juara sayembara GAPENA 1976 sebagai karya agung terulung Abdul Talib.

1. Konflik pertama

Konflik dalam novel ini terbentang kepada dua dimensi iaitu kehadiran tiga anak muda kembali melakukan kerja-kerja CSR di kampung halaman. Sesuatu yang tidak pernah didengar atau wujud pada era 1970-an. Lazimnya yang berjaya akan kekal di bandar besar, dan menjadikan kampung sebagai destinasi beraya Aidilfitri semata-mata.

Pemaparan tiga watak anak muda ini, ternyata mendahului zaman dan sekali gus menjadikannya tetap relevan kepada generasi milenium. Ini kerana kempen-kempen agar anak muda giat melakukan kerja-kerja kemasyarakatan dan kembali berbakti kepada ibu pertiwi begitu popular hari ini. Atas sebab itu juga, bila saya mengulang membacanya baru-baru ini, imaginasi saya bukan berkisar pada era 1970-an, hitam putih atau dihiasi irama disko. Sebaliknya, pembayangan berkisar kepada situasi semasa, terhadap golongan muda yang berduyun-duyun memberi makanan kepada kaum gelandangan. Itu contoh sahaja.

2. Konflik kedua

Dimensi kedua ialah konflik antara ketiga-tiga watak ini. Munirah sebagai heroin merupakan wanita pujaan kedua-dua watak lelaki iaitu Rahmat dan Hasyim. Atas sebab khusus, Munirah memilih Rahmat sebagai suami. Atas apa sebab pula, ketiga-tiga mereka kekal akrab. Begitu akrab, hinggakan Rahmat mempercayai Hasyim untuk menjaga Munirah ketika kesibukannya menguruskan projek-projek kemasyarakatan.

Dan kemuncak novel ini ialah bila Rahmat 'melepaskan’ Munirah untuk mengikuti Hasyim kembali ke ibu kota, sementara dia meneruskan misi kemasyarakatannya di kampung halaman.

3. Mesej tersirat

Seperti disebut di atas, Saga ini mendahului zamannya dalam menceritakan kerelaan dan kesediaan anak kampung yang telah berjaya menimba ilmu di menara gading untuk kembali berbakti ke kampung halamannya.

Kalau dikaji sejarah pembentukan negara, sebenarnya ada anak-anak tempatan yang melakukan perkara yang serupa. Mereka sedar pada ketika itu, ibu bapa mereka berhempas-pulas menyediakan dana untuk membayar yuran pengajian anak-anak di menara gading. Malah dalam sesetengah kes, sanak saudara dan seluruh kampung mengumpul derma untuk diserahkan kepada anak yang berjaya. Ia memerlukan seorang anak yang bukan sahaja pintar untuk lulus cemerlang dalam pengajiannya tetapi lebih pintar apabila beberapa tahun kemudian, menggunakan kemahirannya untuk kembali berbakti kepada kampung halaman.

Sekali baca perenggan di atas, mungkin ada yang berperasaan bahawa itu cerita zaman Pak Kadok. Mana hendak sama zaman sekarang. Zaman ini sendiri-sendiri kena usaha. Jadi setelah lulus universiti, dia tidak berhutang budi kepada sesiapa. Jika benarlah begitu, luluhlah jiwa dek angkara lupa daratan.

4. Kembali berbakti kepada Ibu Pertiwi

Mengenali sahabat-handai sekian lama, hampir 95 peratus merupakan penghijrah ekonomi. Begitu kecil yang ibu bapa mereka berasal dari Kuala Lumpur. Jika sudah menetap 20 tahun sekali pun, misalnya ibu bapa mereka akan mengatakan kampung halaman mereka di luar Kuala Lumpur.

Novel Saga membuka perspektif ini. Diceritakan bagaimana Rahmat tidak selesa untuk terus menetap di ibu kota, walaupun memiliki pekerjaan yang baik, gaji tinggi dan isteri yang pintar lagi jelita. Rahmat menanti saat yang sesuai dan memutuskan untuk kembali berhijrah ke kampung halamannya untuk berbakti kepada ibu pertiwi.

Watak Rahmat meninggalkan yang indah-indah di kota kerana makna hidup baginya sudah menipis di hutan batu-bata. Rahmat mencari-cari jawapan kepada persoalan hati. Dia memilih untuk kembali membangunkan kampungnya, menerusi kemahiran kejuruteraan yang dimilikinya dan berusaha mendidik anak-anak tempatan. Pada peringkat awal, usahanya dipandang sinis oleh orang sesama kampung. Malah samseng kampung juga menduga kepandaiannya bersilat.

Meneliti segala pemikiran dan pengorbanan yang disampaikan menerusi watak Rahmat di dalam buku Saga ini, apakah akan ada kalangan kita yang sanggup melakukannya? Meninggalkan segala kemewahan dan kesenangan kehidupan kota untuk berbakti kepada ibu pertiwi? Anda, bagaimana?