Namun yang pasti, kerajaan baharu di bawah kepe­mimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui gabungan Pakatan Harapan sedang meraikan kemenangan yang boleh dianggap bersejarah serta dilihat akan mengubah lan­dskap politik tanah air selepas daripada ini. Apapun, rakyat tidak boleh menolak bahawa BN tetap dianggap keramat dan berjasa kerana telah membawa Malaysia selama 62 tahun sejak 1957 hingga kini dalam keadaan yang baik.

Rakyat telah bersuara di kertas undi dan ia harus dihormati oleh semua pihak atas dasar menghormati kesuburan sistem demokrasi di dalam negara tercinta. Proses peralihan kuasa yang berjalan secara aman dan harmoni sudah pasti perlu diberi pujian oleh semua pihak di luar sana. Mereka yang kalah secara profesionalnya menyerahkan tampuk kuasa kepada parti yang telah menang tanpa berlaku sebarang protes kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini.

SPR telah menjalankan peranan mereka dengan cukup baik dan pujian harus diberikan oleh semua petugas mereka yang bekerja keras baru-baru ini. Peralihan kuasa secara harmoni membuktikan bahawa sistem demokrasi di Malaysia sudah mencapai usia yang semakin matang apabila BN boleh menerima kekalahan dengan hati yang terbuka tanpa menuding jari kepada pihak lain. Kita mengharapkan situasi seperti ini akan berterusan dalam tempoh lima tahun ini untuk memberi laluan kepada kerajaan baharu meneruskan tugas mereka.

Pembentukan sebuah kerajaan baharu sudah pasti dinanti-nantikan oleh semua pihak sama ada mereka yang menyokong ataupun pihak membangkang. Manifesto 10 perkara dalam tempoh 100 hari yang dijadikan bahan kempen oleh kerajaan hari ini perlulah dijadikan agenda utama untuk memberi keyakinan awal kepada rakyat terhadap kerajaan yang terbentuk sekarang.

Mandat yang diberikan oleh rakyat tidak harus disia-siakan oleh kerajaan hari ini kerana pilihan yang rakyat buat pada 9 Mei lalu tidak boleh katakan tidak bahawa ia berasaskan manifesto 100 hari tersebut tanpa kita menolak faktor-faktor lain seperti isu nasional dan isu tempatan. Namun, apa yang pasti rakyat meletakkan harapan begitu tinggi kepada kerajaan baharu agar segala janji yang dibuat dalam tempoh kempen perlu ditunaikan khususnya perkara yang melibatkan kos sara hidup iaitu isu paling hampir dengan mereka.

Selepas berakhirnya PRU-14, kita sendiri dapat perhatikan media sosial begitu rancak apabila pembangkang sedang mengkritik pihak kerajaan manakala bagi penyokong kerajaan Pakatan Harapan akan terus mempertahankan kerajaan hari ini. Inilah lumrah yang perlu dihadapi oleh pemerintah di zaman ledakan teknologi maklumat. Apapun, perubahan kerajaan baharu ini seharusnya diraikan oleh semua pihak.

Tempoh pilihan raya telahpun berakhir dan sekarang adalah waktu untuk seluruh masyarakat memberi tum­puan kepada agenda pembangunan negara dan kebajikan rakyat. Proses peralihan kuasa yang dilakukan secara baik oleh pemimpin atasan kedua-dua parti tidak perlu dicemari dengan adegan keji mengeji oleh penyokong kedua-dua parti di akar umbi.

Kedudukan kerajaan di Parlimen ketika ini boleh dikatakan tidak begitu kuat apabila hanya menang dengan jumlah 113 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen. Pihak kerajaan perlu menerima hakikat bahawa mereka akan berhadapan dengan pasukan pembangkang yang bukan sahaja kuat tetapi turut mempunyai pengalaman dalam urus tadbir negara sebelum ini.

Tetapi penulis begitu yakin, pihak kerajaan pastinya akan menggunakan sebaik mungkin pengalaman 22 tahun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sebelum ini. Kita juga tidak boleh menolak bahawa blok pembangkang juga barangkali ramai dalam kalangan anak didik kepada Dr. Mahathir yang masih menghormati beliau sebagai mentor politik.

Apapun, sebagai rakyat sudah pasti kita mengharap­kan kerajaan yang telah terbentuk melalui sistem dan lunas undang-undang yang sah ini adalah sebuah kerajaan baik manakala pihak pembangkang baharu adalah mereka yang lebih profesional untuk membangunkan Malaysia.

Bagaimanapun, kerajaan hari ini tidak boleh berasa terlalu selesa dengan kemenangan tipis baru-baru ini. Me­mimpin dan mentadbir negara dalam era yang serba canggih ini pastinya mempunyai cabaran besar yang perlu diatasi. Pemimpin dalam kerajaan baharu perlu memiliki persiapan rapi dari segi mental dan fizikal untuk mene­rima sebarang kritikan pedas yang bakal membanjiri platform media sosial dari semasa ke semasa.

PENULIS ialah Penolong Pengarah Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri Negeri Perak.