Mengutuk dan mencerca antara satu sama lain sehingga ke tahap membangkitkan peristiwa silam contohnya secara tidak langsung boleh menunjukkan bahawa seseorang pemimpin politik itu masih kurang akur terhadap perubahan zaman dan minda masyarakat.

Sebagai parti politik berwibawa dan matang, tum­puan utama perjuangan politik sepatutnya kepada perancangan masa depan negara dan masyarakat kerana peristiwa lampau jika diungkit tidak akan dapat mengatasi permasalahan dihadapi masa kini.

Minda dan pemikiran masyarakat masa kini lebih mengutamakan pembangunan dan kemajuan ekonomi, bukan menumpukan perhatian kepada ideologi politik jumud, gemar mengherdik dan menonjolkan dendam kesumat seolah-olah mereka adalah suci atau maksum.

Keegoan dan keujuban diri yang ditonjolkan sebagai jaguh perjuangan Islam bukan sahaja boleh mencemar kewibawaan parti politik tersebut malah ia boleh membangkitkan perasaan kurang hormat masyarakat Islam terhadap para pemimpin agama.

Islam merangkumi pelbagai aspek kehidupan sama ada berkaitan akidah, politik, ekonomi dan sosial. Tidak ada pemisahan di antara perkara berkaitan dengan duniawi dan ukhrawi.

Setiap aspek berkaitan kehidupan di dunia merupakan isu perbahasan yang tidak boleh diketepikan oleh ulama dan pemimpin. Ulama dan pemimpin berada dalam satu barisan sama untuk membicarakan isu-isu berkaitan dengan agama, negara dan kemasyarakatan.

Ulama hebat adalah mereka yang memiliki il­mu wahyu yang mendalam, pakar dalam hal ehwal kemasyarakatan dan mempunyai minda kritikal serta berani memperkatakan sesuatu yang benar apabila keadaan masyarakat Islam berada da­lam kancah permusuhan dan sebagainya.

Islam me­ngajar umatnya supaya menjadi masyarakat yang mempunyai pemikiran kritikal, mampu mengendalikan urusan kemasyarakatan dan negara bukan sekadar menjadi simbol kepada institusi tertentu sahaja.

Permasalahan wujud dalam dunia Islam masa kini ialah umat Islam menganuti pemahaman gereja yang mana institusi agama tidak boleh mencampuri urusan politik. Oleh itu, mereka yang dilantik menjadi tokoh agama tidak boleh mengeluarkan pandangan agama secara berani untuk memperkatakan sesuatu benar kepada para pemimpin walaupun secara berhemah.

Ulama sepatutnya berani memberi nasihat kepada pemimpin dan tegas dalam mempertahankan kebenaran kerana mereka adalah orang yang memegang dan ­melaksanakan amanah ilmu Allah di muka bumi. Mereka lebih mencintai pembalasan pada hari akhirat daripada duniawi. Ciri-ciri ulama begini amat dihormati oleh masyarakat.

Oleh itu Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ­perumpamaan ulama di muka bumi laksana bintang di langit yang menjadi pedoman di dalam kegelapan di darat dan di laut. Maka apabila bintang telah gelap hampirlah petunjuk itu sesat”.

Para pemimpin parti politik yang memperjuangkan Islam tidak akan menghabiskan masa mereka memperdebatkan sesuatu peristiwa yang sudah menjadi sejarah negara demi untuk menunjukkan kewibawaan dan kehebatan parti politik mereka.

Masyarakat masa kini kurang gemar membicarakan sesuatu yang sudah berlalu kerana kemelut ekonomi masa kini lebih mendorong masyarakat memikirkan perkara berkaitan dengan keperluan asas dan keselesaan kehidupan.

Parti politik jumud kurang berkemampuan untuk merancang strategi lebih berkesan dalam arena politik. Ini disebabkan pemikiran mereka sudah diorientasikan dengan budaya menurut perintah pucuk pimpinan parti tanpa sebarang tentangan yang akhirnya mengongkong pemikiran daripada menjadi kritikal dan proaktif untuk merancangkan strategi yang lebih efektif bagi mendapat sokongan masyarakat.

Oleh itu, setiap kali pilihan raya strategi sama digunakan sejak dahulu iaitu mendabik dada menonjolkan diri sebagai ahli syurga dan memujuk pemimpin parti lain supaya bertaubat seolah-olah mereka tahu nasib seseorang di hari akhirat.

Parti politik dalam kategori begini hanya mendapat sokongan daripada masyarakat yang sama pemikiran dengan mereka.

Sedangkan majoriti rakyat Malaysia lebih menumpukan perhatian kepada parti-parti politik yang mempu­nyai wawasan dan strategi bagi pembangunan negara dan masyarakat.

Parti politik lebih dihormati jika mereka mampu mempertahankan hujah dan isu-isu dibangkitkan parti pembangkang secara rasional dan demokratik tanpa menggunakan kuasa untuk membatasi kritikan daripada parti pembangkang.

Masyarakat akan menilai kemampuan dan kebolehan parti politik berdasarkan kepada keaktifan mereka memperjuangkan agama, bangsa dan negara secara demokratik. Oleh itu, berhujah dan berdebatlah secara rasional sebagai parti politik yang matang.

PROFESOR MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).