Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Cara kita memandang sesuatu menentukan “FIKIRAN – EMOSI – TINDAKAN – HASIL KEHIDUPAN”. Memandang situasi negatif dengan menggunakan “kanta” positif akan menghasilkan emosi, tindakan dan hasil kehidupan yang positif.

Peristiwa negatif atau positif yang berlaku saban hari dan setiap detik waktu dalam hidup kita, tidak dapat kita kawal, kerana semuanya berlaku atas kuasa Allah SWT. Tetapi, kita mampu mengawal fikiran, emosi dan tindakan kita kalau kita bijak memilih “kanta kehidupan”.

Menangani peristiwa negatif atau positif, umpama kita memilih 'kanta kehidupan'. Kalau kita memilih kanta berwarna biru, semua yang kita pandang akan kelihatan biru. Jika kita memilih kanta jernih semua yang kita pandang akan jelas dan jernih.

Hal ini bermakna kesan kehidupan kita bergantung kepada jenis dan warna kanta pilihan kita. Macam itulah kehidupan kita, pilihlah kanta yang betul/jelas supaya fikiran dan pandangan kita sentiasa betul dan jelas serta tidak tertakluk oleh emosi negatif.

Antara emosi negatif yang perlu dijauhi dalam hati dan fikiran kita ialah perasaan marah. Sebaik-baik manusia ialah orang lambat marahnya dan cepat padam perasaan marahnya.

Sejahat-jahat manusia ialah orang yang cepat marahnya dan lambat padam kemarahannya. Jom audit diri, adakah kita seorang yang cepat melenting marah atau di sebaliknya.

Oleh sebab itu, kalau kita rasa marah, tanyalah kepada hati kenapa kita marah? Ingatlah orang yang cepat marah banyak syaitan dalam diri mereka. Sesungguhnya Allah yang kurniakan sikap marah dalam hati kita, tetapi Islam mengajar kita macam mana hendak mengurus kemarahan.

Tujuh sifat yang membuatkan hidup kita susah. Pertama, cepat marah. Kedua, sentiasa berasa hendak betul dalam percakapan, yang membuatkan orang marah akan kita.

Ketiga, dalam semua urusan kita hendak lebih – kalau tidak dapat kita marah, kalau dapat orang pula yang akan marah kepada kita. Keempat, kita sentiasa hendak lebih daripada orang, hingga menyebabkan kita suka bersaing. Untuk dapat capai sasaran, kita sanggup buat apa-apa sahaja walaupun terpaksa menggunakan jalan yang salah atau menggunakan kekasaran/kemarahan.

Kelima, sangat fikir apa orang kata. Hingga kita marah kepada diri kita sendiri, kerana kita tidak boleh menjadi diri kita sendiri kerana asyik fikirkan tanggapan orang terhadap kita. Keenam, sangat fikir apa yang kita capai ialah hasil usaha kita, bukan bantuan orang lain dan pertolongan dan kuasa Allah SWT.

Sikap ini membuatkan kita marah apabila orang tidak memuji dan marah orang tidak menghargai hasil usaha dan kehebatan kita. Ketujuh, kita sangat pentingkan kedudukan dan pangkat kita (kesedaran keegoan atau nafsu yang menyebabkan punca kerosakan minda dan kesihatan manusia). Keegoan, kesombongan dan takbur menjadi umpan api menyemarakkan bara kemarahan.

Orang yang sifat keegoannya tinggi akan berasa dirinya lebih tinggi dan hebat daripada orang lain dan, cepat marah apabila dapati orang lain tidak mampu melaksana sesuatu yang kita rasa sangat mudah dan, mampu laksanakan dengan baik dalam masa singkat. Bagi merawat sikap negatif ini, kita pinda tujuh sifat negatif tersebut kepada tujuh sifat positif (kesedaran ketuhanan).

Pertama, kawal hati dan fikiran kita dengan memilih “kanta kehidupan” yang betul. Iaitu melihat dengan pandangan yang betul dan membuat nilaian positif terhadap perkara yang positif, dengan berpegang kepada sikap sabar, reda dan sentiasa bersyukur.

Kedua, jadilah pendengar yang baik. Didik hati dan jiwa supaya kurangkan bercakap tetapi lebihkan mendengar.

Pegangan

Bercakap pada perkara yang perlu sahaja dan, bercakap pada ketika kita diperlukan memberikan buah fikiran dan idea.

Jaga silaturahim de­­ngan terima pandangan orang bu­kan bertegang urat untuk mem­per­tahankan pendangan, prinsip dan pen­dapat kita, kecuali pada perkara melibatkan hukum Allah.

Ketiga, sentiasa buat sesuatu de­ngan kasih sayang dan bahagia apabila orang lain juga dapat manfaat sama macam kita dapat.

Keempat, tidak suka bersaing tetapi kita bekerja sama dengan semua orang. Kita sangat fikir untuk memberikan manfaat ke­pada orang lain, bukan untuk diri kita semata-mata. Kelima, sentiasa mencari kebaikan dan kecantikan da­lam situasi dan seseorang.

Yang di­fikirkan pandangan Allah terhadap kita, bukan apa kata orang terhadap kita. Keenam, sentiasa murah hati. Yang kita harapkan hanya reda Allah, bukan sanjungan dan pujian orang.

Lakukan semua perkara dengan ikhlas dan hanya harapkan balasan kebaikan daripada Allah SWT. Ketujuh, sentiasa menerima manusia seadanya di samping kita terus memperbaiki diri dan terima hakikat kita juga tidak sehebat mana dan tidak sempurna.

Dalam kelebihan kita ada kekurangan diri yang disempurnakan oleh orang lain. Ambillah iktibar daripada amanat Imam Ghazali, lihat dan nilai lima perkara, untuk merawat rasa takbur yang boleh membuak marah.

Pertama, apabila melihat anak kecil, hendaklah dilihat anak itu belum ada apa-apa dosa pun berbanding dengan kita, yang sudah dewasa tentulah lama hidup banyaklah dosa kita.

Kedua, apabila melihat orang tua, hendaklah kita beranggapan mereka lebih dahulu dan utama melakukan ibadah, maka tentulah mereka lebih baik dan mulia di sisi Allah, berbanding dengan kita. Ketiga, apabila melihat para cendekiawan, hendaklah kita berpandangan mereka lebih bijaksana daripada kita.

Keempat, apabila menemui orang bodoh, hendaklah dilihat, mereka melakukan maksiat dan kederhakaan kerana kebodohannya semata-mata. Tetapi, kita yang diberi Allah ilmu pengetahuan, masih lagi melakukan kemaksiatan. Tentu seksaan Allah terhadap kita lebih teruk berbanding dengan mereka yang melakukan maksiat kerana mereka tidak tahu atau tidak berilmu.

Kelima, kalau melihat orang kafir, hendaklah kita merasa tidak mengerti secara pasti. Sebab boleh jadi esok pagi mereka memeluk Islam, mereka beramal dosa mereka terampun dan pahala mereka terkumpul. Sedangkan kita yang sedia Islam, tidak khusyuk beramal, tidak sempat bertaubat, mati pun mengejut.

Demikianlah, padamkan api kemarahan dengan air keimanan. Berwuduk dan bersolat untuk menyejukkan amukkan hati. Kalau dalam hidup kita ini penuh dengan mengingat Allah, kalau orang berbuat sesuatu yang tidak kita suka pun, kita masih boleh senyum dan berterima kasih.

Contoh kalau orang mencuri barang kita, kita patut marah atau berterima kasih? Jawapannya, bergantung kepada tahap keimanan kita. Kalau kita tahap orang yang imannya biasa-biasa, kita akan marah.

Tetapi, orang yang maqam keimanannya tinggi, akan muhasabah diri, “jika rezeki itu bukan hak aku, maka ia tidak akan sampai kepadaku dan menjadi hak aku.” Maknanya dalam bahasa makrifat apabila kita diuji orang mencuri duit kita, kita akan berterima kasih kepadanya. Pertama, mungkin dia melarikan duit yang tidak halal dalam hidup kita.

Kedua, penat dia menggunakan tenaganya untuk menjalankan takdir hidup kita. Kemarahan membuka banyak lagi sikap, perkara dan situasi negatif. Ingatlah melepaskan kemarahan cukup mudah tetapi membalut luka hati akibat kemarahan amat susah.

Seperti kertas yang sudah dikeronyokkan, walaupun cuba diusapbetulkan kertas itu tidak akan menjadi elok seperti sediakala, tetap berbekas keronyokkannya. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain