Bukan setakat pasukan bola sepak Selangor yang diharamkan bermain di Stadium Shah Alam, Majlis Kebudayaan Negeri Selangor (MKNS) juga dihalau daripada pejabat dan premis asal mereka.

Saya mendapat maklumat terperinci berkenaan penganiayaan tersebut apabila pertama kali dapat bersemuka dan mendengar sendiri keluhan MKNS dalam “Diskusi Budayawan Selangor” di Shah Alam pada 30 Januari lalu. Terasa pilu apabila gabungan 20 persatuan kebudayaan seluruh Selangor, MKNS kini merempat di negeri sendiri.

Sebelum 2016, MKNS ditempatkan di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor di Seksyen 7, Shah Alam. Selepas pakatan berkuasa, MKNS dikenakan sewa, tetapi kemudiannya mereka terus dihalau daripada kompleks berkenaan.

Geran tahunan kepada mereka juga dihentikan. Bantuan-bantuan program yang diperolehi semasa BN memerintah juga dihentikan.Sejak empat dekad lama sebelum pakatan pembangkang mengambil alih negeri Selangor, MKNS telah berjasa menyimpul jati diri, memperkukuh kebudayaan dan menjaga tradisi negeri.

Betapa hinanya budayawan Selangor di mata kerajaan negeri sekarang, mereka tetap anak negeri yang patut diangkat maruahnya sepertimana budayawan di negeri-negeri lain.

Sejak pakatan pembangkang menguasai negeri ini, MKNS tidak mendapat sesen pun bantuan. Apa yang anehnya, ada kelompok ‘bangsawan’ pula mendapat habuan jutaan ringgit walaupun program yang dijalankan akhirnya gagal.

Saya pernah menulis dan membangkitkan cerita sebuah syarikat sendirian berhad diberikan tender terus untuk menjalankan program yang dikenali sebagai “Festival Bahasa dan Persuratan Melayu Nusantara” penghujung tahun lalu.

Program itu tidak dapat sambutan. Kosnya dilaporkan berjumlah RM1 juta! Wang itu adalah wang titik penuh anak Selangor. Syarikat sama yang berselindung sebagai NGO pada 2016 juga mendapat projek langsung yang melibatkan masyarakat Mahmeri di Pulau Carey.

Hasilnya juga seperti habuk yang diterbangkan angin. Kera di hutan disusukan, anak sendiri mati ditabur racun.

Selain itu beberapa program yang diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali berkaitan pembangunan kebudayaan, juga hilang tanpa khabar berita. Di dalam Bajet Negeri Selangor 2017, antaranya beliau mengumumkan pembinaan beberapa buah muzium baharu tetapi sehingga kini tidak kelihatan.

Malahan sebuah galeri seni baharu menelan belanja jutaan ringgit yang mahu dibina di Klang, juga dipertikaikan dari sudut lokasinya. Bukankah lebih baik kalau Galeri Seni Lukis Shah Alam di ibu negeri diperbaiki dan dinaikkan taraf kerana sudah terlalu lama?

Semua keputusan dan dasar kerajaan negeri nampaknya langsung tidak mengambil kira suara penggiat kebudayaan. Semuanya datang daripada arahan pimpinan negeri yang terlalu sibuk membuat pertimbangan politik peribadi yang sempit.

Kebangkitan

Selepas dua penggal pakatan pembangkang berkuasa di Selangor, aspek kebudayaan semakin diabaikan, semakin ketinggalan. Kita dapat melihat bagaimana negeri seperti Perak, Johor, Melaka dan Sarawak jauh lebih serius dan rancak dalam usaha memajukan kebudayaan.

Kerajaan Negeri Selangor hanya dilihat menyombong dan mendabik dada dengan jumlah bajet berbilion-bilion dan pelbagai gula-gula untuk pengundi. Realitinya bajet kebudayaan Selangor yang berjumlah tidak sampai RM5 juta bagi 2018 adalah sangat kecil.

Johor, Perak dan Sarawak yang selalu beradab dan merendah diri, tetapi peruntukan kebudayaannya berkali ganda lebih tinggi. Hari ini Selangor semakin dipandang sepi para budayawan. Mereka lebih berminat beraktiviti di Kuala Lumpur.

Kepesatan pembangunan kebudayaan di ibu negara gagal diraih oleh Kerajaan Negeri Selangor, sedangkan Kuala Lumpur berada di tengah-tengah negeri Selangor.

Kesan buruk di kemudian hari ialah Selangor akan menjadi negeri yang tidak beridentiti dan tidak berjati diri. Apakah erti kemajuan yang dimegah-megahkan kalau bangsa hilang identiti dan jati diri?

Jika budayawan dan gerakan budaya ini terus dibunuh, sementara kepimpinan negeri pula terus rakus dengan percaturan politik dalam setiap sektor urusan negeri, kita bukan sahaja akan menempa generasi yang hilang jati diri, malah pelbagai krisis sosial yang sangat buruk.

Atas keinsafan ini maka pertemuan saya dengan Tan Sri Muhammad Mohd Taib dengan para budayawan Selangor turut mengikat beberapa kata sepakat. Kami berikhtiar mahu mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bagi menyampaikan kebimbangan tersebut.

Kami juga akan menganjurkan satu perhimpunan besar seluruh budayawan dan pencinta seni sebagai tanda solidariti atas penindasan kerajaan negeri. Perhimpunan itu adalah kebangkitan budayawan dan lambang kemaraan rakyat Selangor seluruhnya.

Kami juga akan kembali menggerakkan tenaga budayawan untuk merangka corak pemikiran yang dapat melampaui politik pemaksaan kerajaan negeri. Corak pemikiran baharu itu nanti pasti berguna dalam skala lebih luas.

Saya juga percaya budayawan Selangor tidak mahu ketinggalan dalam usaha pembinaan negara sehinga ke tahun 2050, atau dikenali sebagai TN50. Kekentalan, tekad dan semangat baharu budayawan Selangor membuatkan saya sangat teruja.

Kemaraan ini pasti akan membuka gerbang ke arah mengembalikan kegemilangan Selangor sebagai negeri maju yang hebat kebudayaannya dan gerakan budayanya seperti suatu masa dahulu.

PENULIS ialah Ahli Parlimen Sungai Besar Selangor.