Tidak cukup dengan itu, minggu ini juga adalah ming­gu cuti sekolah. Rakyat Malaysia, masing-masing dengan agenda dan program yang tersendiri.

Inilah keunikan kehidupan rakyat Malaysia yang majmuk. Sepanjang Sukan SEA KL2017, jelas kelihatan rakyat Malaysia memberi sokongan padu kepada atlet-atlet Malaysia sehingga menjadi juara keseluruhan Sukan SEA KL2017.

Tahniah buat kontinjen Sukan SEA Malaysia. Pelbagai perasaan dan reaksi yang boleh dilihat sepanjang temasya ini. Ada yang gembira mendapat kejayaan. Tidak kurang juga yang menangis kerana kegagalan. Sebaliknya, ada yang menangis kerana begitu puas mendakap kejayaan. Begitulah lumrah kehidupan manusia moden pada masa kini. Mengharungi kehidupan yang penuh cabaran.

Sebesar mana pun cabaran, kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa sanggup melakukan pengorbanan. Sebab itulah setiap kali Hari Raya Aidiladha, kita diingatkan peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Iktibar peristiwa pengorbanan tersebut wajar diamalkan dalam kehidupan manusia tidak kira zaman. Lebih-lebih lagi dalam kehidupan moden pada masa kini yang berpaksikan kebendaan.

Kita perlu mengenang jasa generasi sebelum merdeka yang sanggup berjuang demi masa hadapan zuriat mereka iaitu kita yang menjalani kehidupan serba baik pada masa ini. Susah untuk kita mengimbau kehidupan sebelum merdeka kerana rata-rata ramai rakyat Malaysia tidak pernah mengalami sendiri kisah-kisah penderitaan sebagaimana generasi sebelum merdeka. Mendengar kisah penderitaan mereka tidak sama sebagaimana mengalaminya sendiri.

Celik mata sahaja segala-galanya sudah terhidang di depan mata. Maka, kita sering terlupa dan leka dibuai dengan kemakmuran negara. Manusia selalunya bersikap sebegitu rupa. Semasa senang, mudah alpa. Hanya semasa susah, barulah berasa insaf. Iktibar peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail mengajar kita berkorban. Meskipun kedua-dua baginda adalah Rasul dan Nabi, namun tetap disuruh oleh Allah SWT untuk berkorban.

Bayangkan jika seorang Rasul dan Nabi pun disuruh untuk berkorban, inikan kita sebagai manusia biasa. Jadi, wajar kita sentiasa berkorban tidak kira masa terutama ketika berada dalam kesenangan. Berkorban bukan setakat untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain. Malang sekali, kerana terlalu terkejar-kejarkan kebendaan, pangkat, kuasa dan wang ringgit, maka pengorbanan itu hanya bermain di bibir semata-mata. Jangan kita ingat segala kejayaan yang kita peroleh hanya kerana usaha kita sendiri tanpa adanya pengorbanan oleh orang lain. Ditambah lagi dengan sifat terlalu pentingkan diri sendiri dek kerana ketamakan yang mengawal diri.

Maka, lahirlah manusia yang terlalu berbangga dengan diri sendiri. Berasakan orang lain tidak diperlukan kerana menafikan sumbangan orang lain kepada dirinya. Sifat sebeginilah yang cenderung terhadap kerosakan diri sendiri dan juga masyarakat.

Orang yang senang akan sentiasa membantu yang susah. Mereka yang berkuasa tidak lupa menabur jasa kepada mereka yang lemah. Tiada balasan yang dipinta. Jauh sekali berkira sumbangan yang diberikan. Malang sungguh mereka yang terlalu berkira dan mementingkan diri sendiri dek kerana dibuai dengan ketamakan yang sukar untuk dibendung sama sekali.

Sebagaimana pengorbanan ibu bapa menjaga kita sejak kecil sehingga besar, tiada balasan yang diharapkan oleh mereka kecuali melihat anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna dan memanfaatkan orang lain.

Bukan menjadi manusia yang tidak kenal ibunya sendiri sebagaimana kisah si Tanggang yang tidak sanggup mengaku ibunya sendiri dek kerana dibuai dengan ke­senangan.

Di sini kelihatan sukar bagi manusia melakukan pe­ngorbanan semasa menikmati kesenangan. Sanggup berkorban akan kesenangan yang dinikmati demi membantu orang lain. Inilah yang wajar kita lakukan dalam mengangkat rakyat Malaysia sebagai masyarakat yang sanggup berkorban pada setiap masa. Negara yang sedang menuju kemajuan memerlukan lebih banyak pengorbanan. Lebih maju sesebuah tamadun, lebih banyak pengorbanan diperlukan.

Pengorbanan dari segi masa, buah fikiran dan tenaga serta harta benda dan wang ringgit. Berkorban membantu mengubah nasib orang lain terutamanya pengorbanan bagi mereka yang memiliki kekuatan dan kebijaksanaan.

Salurkan kekuatan dan kebijaksanaan itu ke arah kebaikan orang lain. Bukanlah ke arah keburukan. Inilah erti sebenar kehidupan manusia. Memberi manfaat kepada orang lain. Bukannya membuatkan kehidupan orang lain lebih sengsara.

Marilah kita bersama-sama berganding bahu berkorban demi manfaat bersama. Usah terlalu berkira setiap sumbangan yang diberikan. Ingatlah bahawa segala kejayaan bermula daripada pengorbanan. Pengorbanan itu pula wajar datang daripada hati yang ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Nilai pengorbanan sebeginilah memakmurkan lagi kehidupan masyarakat Malaysia yang maju dan merdeka. Selamat menyambut Hari kebangsaan 2017 dan Selamat Hari Raya Aidiladha.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia.