Justeru wujud kepelbagai­an keupayaan, cita-cita dan keinginan, profesion dan pekerjaan; dan manusia diseru agar berlumba-lumba berbuat kebajikan (surah al-Ma’idah ayat 48), bukan merosakkan dan bermusuh-musuhan antara satu sama lain.

Kepelbagaian gender dan bangsa diberikan matlamat yang mulia dalam ayat universal (surah al-Hujurat ayat 13): “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu sekaliannya dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang pa­ling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Ukuran kemuliaan adalah ketakwaan, yang terdiri daripada ilmu, akhlak, adab dan jasa membangun peradaban bangsa. Kuasa, harta dan keturunan bukan ukuran Islam. Dalam praktis Nabi dan para sahabat baginda SAW, tidak wujud penganiayaan berdasarkan kaum kelahiran atau warna kulit. Bahkan sejarah merakamkan dengan tinta emas, bagaimana seorang Islam kaum Negro yang berhidung pesek boleh sahaja meraih takwa, kemuliaan, dan kepimpinan, ­seperti Bilal bin Rabah.

Seorang bekas abdi berkulit hitam, Zayd bin Harithah pula telah dimerdekakan oleh Rasulullah SAW, dan diambil sebagai anak angkat. Dia satu-satunya sahabat yang mendapat penghormatan namanya disebut secara langsung dalam al-Quran (surah al-Ahzab ayat 37). Hasil perkahwinannya dengan Umm Ayman Barakah (juga seorang bekas hamba yang dimerdekakan), putera mereka Usamah bin Zayd dilantik Nabi menjelang kewafatan baginda SAW sebagai pemimpin angkatan tentera yang membariskan tokoh ternama seperti Abu Bakr, ‘Umar, Khalid, Abu ‘Ubaydah, Talhah, dan Zubayr.

Demikian pelaksanaan seruan dalam surah al-Nisa ayat 1: “Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari satu diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada ke­duanya Allah membiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan nama-Nya kamu saling berurusan satu sama lain, dan peliharalah hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.”

Ayat tersebut memberikan panduan bahawa meskipun wujud kepelbagaian, namun masing-masing tetap ada tugas dan kewajipan kepada yang lainnya, berdasarkan kepada hakikat sifat kemanusiaan, sama-sama seketurunan dicipta-Nya daripada tanah daripada satu bapa dan ibu iaitu Adam dan Hawa, sama-sama bersaudara abang kakak adik beradik, tanpa perlu mem­belakangkan orang yang berlainan warna kulit, berlainan kaum, berlainan bahasa, atau berlainan jantina.

Menurut sejarah, Malaysia terletak dalam kawasan yang dahulunya adalah sebahagian daripada kerajaan Alam Melayu-Islam sebelum zaman penjajahan kuasa-kuasa Barat seperti Portugis dan Belanda. Mulai akhir abad ke-18 hingga 19, kita dijajah oleh Inggeris (oleh Jepun antara tahun 1942 hingga 1945).

Dasar utama Inggeris adalah menggalakkan kedatangan kaum Cina dan India untuk bekerja di negara ini, sebagai pembekal barangan keperluan atau komoditi kepada negara British dan negara-negara Barat yang sedang mengalami revolusi industri.

Apabila kita merdeka sebagai Persekutuan Tanah Melayu pada 1957, dan dengan pembentukan Malaysia bersama Singapura, Sabah dan Sarawak pada 1963, maka negara kita sekarang ini mempunyai susunan atau komposisi kaum yang unik lagi istimewa.

Bayangkan bahawa untuk setiap 10 orang di Malaysia terdapat lima orang Melayu, seorang bumiputera lain (seperti etnik Siam, Kemboja dan pribumi Sabah dan Sarawak seperti Iban, Kadazan-Dusun dan Bajau), dua orang Cina, seorang India, dan seorang lain-lain.

Dari sini terbayang kepelbagaian bahasa: tahukah kita, bahawa warga Malaysia seluruhnya bertutur dalam sejumlah 137 bahasa hidup? Sementara itu, bahasa kebangsaan berperanan ­menyatukan kita, Malaysia turut diperkayakan dengan bahasa Iban, Dusun, Tamil, dan pelbagai bahasa daerah selatan China se­perti Hokkien, Hakka, Kantonis, Teochew, Fuchow dan Hainan.

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang yang berilmu.” (surah al-Rum ayat 22).

Mari kita bersama mensyukuri, dalam naungan langit dan di persada bumi Malaysia, dalam ­kesungguhan mendaulatkan bahasa kebangsaan bahasa perpaduan, tiada bahasa dan bangsa yang dinafikan ruang dan ­peluang yang seadilnya.

Sebagai menghormati kepercayaan yang pelbagai, Perlembagaan Malaysia menjamin kebebasan beragama, sungguh pun Islam selaku agama yang paling ramai penganutnya adalah agama bagi Persekutuan.

Keamanan dan rukun damai amat penting, kerana untuk setiap 10 warga Malaysia terdapat enam orang Islam, dua orang Buddha, seorang Kristian, dan seorang agama-agama lain, seperti Taoisme, Sikhisme, Jainisme dan pelbagai lagi.

Keadilan dan kesaksamaan tu­rut merangkum kepelbagaian dalam sistem kehakiman: mahkamah sivil, mahkamah syariah (berasaskan mazhab Imam Syafie), dan mahkamah anak ­negeri di Sabah dan Sarawak.

Allah melarang kita daripada menghina objek-objek sembahan penganut agama lain kerana akan menimbulkan kemarahan, dendam dan kedengkian, hingga mereka membalas dengan menghina Allah secara yang melampaui batasan permusuhan dan dengan ketiadaan pengetahuan (surah al-An’am ayat 108). Jelas bahawa semangat mementingkan diri yang jahil, berpuak-puak dalam kezaliman, bermusuh-musuhan dan saling benci-membenci tidak layak wujud di bumi bertuah ini: Selamat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia!

DR. MOHD. SANI BADRON ialah Felo Utama/ Pengarah, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).