Meneliti potensi insan, yang harus dibangunkan tidak saja aspek akal atau mindanya. Sekiranya keupayaan akal hanya untuk mengingat tetapi tidak membimbing pelajar faham dan berfikir, pembelajaran sebenarnya belum berlaku. ­Proses faham bukanlah suatu yang mudah. Melakukan hafazan umpamanya belum tentu menjadikan pelajar faham apa yang dihafaz, lebih-lebih lagi hal-hal yang menyangkut perkara ghaib dalam keyakinan beragama.

Aspek lain yang selalu dilupakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah kemahiran keinsanan (soft-skills) yang perlu dipupuk sejak awal pendidikan lagi. Secara fitrahnya pelajar mempunyai naluri untuk berhubung, berkawan, berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain. Perkongsian pemikiran, ilmu, bakat, minat dan kebolehan secara muafakat adalah penting supaya lahir hubungan keinsanan, jiwa jemaah mencetuskan rasa kebersamaan, kekitaan, kepunyaan dan persaudaraan tinggi yang menjadi asas penting dalam binaan masyarakat.

Kita tidak mahu masyarakat kini dan hari depan mempunyai kecenderungan yang tinggi terhadap fahaman indivi­dualistik, kebendaan, hilang rasa malu dan hormat terhadap orang lain dan mempunyai rasa ego yang tinggi dan kurang bersedia untuk bertukar-tukar fikiran, enggan memohon nasihat daripada orang lain, tidak bersedia untuk ditegur dan menegur untuk maksud yang baik. Akhirnya generasi seperti ini akan membina jalan kehidupan seperti yang diungkapkan oleh pepatah Melayu, ibarat enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.

Kemahiran keinsanan berkait rapat dengan naluri, emosi dan hati. Pendidikan bukan bermaksud menjadikan pelajar akhirnya semacam robot. Pendidikan yang holistik sifatnya ingin menjadikan manusia itu memiliki kualiti kemanusiaan yang tinggi di samping ilmu pengetahuan dan kemahiran atau keahlian tertentu yang dimilikinya. Asas kepada pendidikan itu adalah mengadabkan insan.

Mendidik pelajar tentang ilmu berbahasa tidak saja diberikan kemahiran berbahasa secara tatabahasa yang betul, sebutan yang baku, ayat yang sempurna dan boleh menggunakan bahasa sebagai alat perhubungan dan menguasai ilmu pengetahuan tetapi bahasa itu hendaklah dituturkan dengan sopan dan tertib supaya maksud berbahasa mampu meningkatkan kualiti ilmu sekali gus kualiti akhlak.

Mendidik pelajar tentang agama dan nilai tidak sekadar mereka diberikan maklumat baharu tentang kebaikan sesuatu tetapi aspek amali dan penghayatan amat dituntut supaya mendidik mereka dengan nilai-nilai Islam umpamanya ber­upaya membentuk akhlak dan rohaniah pelajar. Sekiranya pendidikan J-QAF hanya banyak menyentuh ilmu ketatacaraan ia tidak mampu membentuk watak dan peribadi yang mendukung sifat ibadulullah dan ibadur rahman. J-QAF perlu didekati secara rohaniah supaya kesan penghayatannya ada dan nyata.

Mendidik pengajaran sejarah tidak sekadar mengingat fakta, tarikh, tokoh dan peristiwa tetapi harus dikaitkan de­ngan semangat yang memberi kesan kepada jiwa pelajar. Sifat sejarah mengulangi jejak dan peristiwa silam boleh berlaku semula sekiranya ibrah atau iktibar tidak dijadikan sandaran dan rujukan supaya peristiwa yang sama tidak berulang lagi.

Membangun teknologi tinggi (high-tech) adalah suatu kelaziman yang berlaku dalam perubahan sains dan teknologi. Ia harus seiring dengan pembangunan kualiti keinsanan (high-touch) supaya nilai dan etika menjadi sandaran dan membentuk cara guna yang bermanfaat kepada umat manusia. Kewujudan bidang teknologi robotik (AI), teknologi nano dan siber umpamanya boleh memberi manfaat yang lebih bermakna sekiranya nilai manusiawi dan etika adab dan ke­tertiban dijadikan pedoman.

Revolusi Industri 4.0 membawa perubahan yang lebih mekanistik terhadap kegunaan alat. Kemajuan teknologi robotik mencabar keperluan manusia dalam guna tenaga terutama dalam bidang pendidikan. Pendidikan adalah suatu proses mengadabkan insan. Adab bagi setengah ilmuwan adalah mendisiplinkan akal, hati dan amal. Akal harus dijana supaya tampil upaya pemikiran yang tinggi. Akal harus ditautkan dengan disiplin hati supaya kualiti dalaman diri manusia terbina. Amal yang dipedoman oleh akal yang sihat dan hati yang tulus bakal melahirkan gerak kerja yang berpedoman dan terarah.

Kemahiran keinsanan menjadi suatu tuntutan masa kini supaya sikap dan amalan yang terdidik lebih manusiawi bukannya haiwani. Kedapatan orang yang dikatakan terpelajar menghadapi masalah kehilangan adab, berpaut dengan maklumat yang belum tentu benar, menyebarkannya kepada orang lain dan menyebabkan kecelaruan pemikiran terjadi. Penyakit kehilangan adab ini sedang merebak dalam kehidupan kita dan menyebabkan makna perubahan dan tamadun tidak tentu arah jadinya.

Kalau tidak mahu manusia melihat akal itu segala-gala, sains dan teknologi tanpa etika dan melahirkan manusia yang cenderung individualistik, materialistik dan mempunyai ego yang tinggi dan memiliki budaya nafsu-nafsi yang terarah kepada keseronokan semata-mata dan lupa kepada amanah kemanusiaan yang menuntut kefahaman dan kesantunan supaya kualiti manusiawi dapat disuburkan.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).