Kelmarin, Musa berucap lagi tetapi nadanya berbeza berbanding ucapan-ucapannya sebelum ini. Musa membawa suara akar umbi. Semua isu beliau sentuh. Bermula daripada konflik dalaman parti hinggalah kepada sikap malas sesetengah pemimpin UMNO turun padang menjenguk orang kampung.

Apa dilafazkan datang dari hati ikhlas. “Usia saya pun dah 65 tahun, balik esok mungkin mati, rumah kata pi kubur kata mai”. Musa tidak ada apa-apa kepentingan. Musa ‘menghidangkan’ kepada kepemimpinan UMNO, betapa letih dan gelisahnya ahli-ahli parti melihat apa yang berlaku sekarang.

Pada saat ini, permintaan mereka hanya satu; “Tolonglah kami, bantulah kami, hentikan sengketa, kami sudah letih.” Rintihan ahli UMNO melalui Musa itu tidak harus dibiarkan sekadar satu ucapan ketika Perhimpunan Agung UMNO sahaja.

Pesanan Musa tidak boleh berakhir di Dewan Merdeka. Sebaliknya apa yang beliau perkatakan harus dipandang serius. Para pemimpin UMNO harus kembali bersatu. Mereka perlu melupakan sengketa dan menumpukan perhatian kepada perjuangan parti. UMNO bukan sekadar harapan atau milik ahli-ahlinya sahaja, tetapi juga kepunyaan orang Mela­yu secara keseluruhannya.

Dunia politik, sama juga sebuah rumah tangga, pasti ada ketikanya dilanda ujian dan cubaan. Begitu juga UMNO. Ini bukanlah kali pertama UMNO menempuh masalah terma­suklah melibatkan hubungan antara Presiden dan Timbalan Presiden, malah sudah beberapa kali berlaku. Tetapi akhir­nya, segala kemelut dapat diselesaikan melalui kematangan pemimpin dan ahli-ahli UMNO.

Sememangnya menyelesaikan konflik sesama pemimpin memerlukan kematangan dan jiwa besar. Tidak boleh ma­sing-masing mahu mempertahankan hujah sendiri. Perlu ada keterbukaan untuk duduk semeja berbincang. Pemimpin tidak penting, survival politik pemimpin bukan persoalan utama, yang mustahak ialah survival UMNO.

Oleh itu, janganlah mengamalkan sikap berpatah arang berkerat rotan, duduk sebelah menyebelah pun tidak bertegur sapa. Biar apapun perbezaan pandangan jangan sampai memutuskan silaturahim. Ahli-ahli UMNO sedang merintih, tertanya-tanya dan terpinga-pinga, kenapakah konflik yang berlaku dibiarkan berterusan? Kenapakah ada pemimpin yang diserang? Kenapakah ada pemimpin yang dipinggirkan? Kenapakah ada pula pemimpin yang menjadi ‘batu api’?

Sedangkan mereka mahu melihat UMNO kukuh dan bersatu demi memastikan nasib orang Melayu terus dibela. UMNO bukanlah dalam keadaan selesa. Pencapaian pilihan raya di beberapa negeri tidaklah memberangsangkan sangat. Sesetengah hanya cukup-cukup makan. Apakah selepas kehilangan kuasa baru hendak sedar?

Apa akan berlaku jika UMNO terus berada dalam kon­flik? Orang Melayu akan berasa ‘muak’ kerana parti itu tidak habis-habis berbalah. Memetik kata-kata Musa, “Kami sudah letih. Dulu pemimpin yang kat atas ni juga yang minta kami bersatu, la ni depa macam ‘ketam nak ajar anak berjalan lurus.” Dalam masa sama perlu difahami, ramai musuh UMNO kini ibarat ‘yu lapar, menanti tongkang pecah untuk meraih habuan masing-masing.’

Justeru dengarlah keluhan ahli akar umbi. Janganlah merasakan kita sahaja yang betul. Suara-suara akar umbi seperti diketengahkan oleh Musa perlu diberi perhatian. Hal ini kerana mereka yang berhadapan dengan rakyat bagi me­raih sokongan. Malah merekalah yang memungkinkan UMNO terus ‘bernafas’ sehingga ke hari ini.

Jika pemimpin-pemimpin terus bertelagah dan masih mahu mempertahankan hujah masing-masing tetapi dalam masa sama mahu ahli-ahli setia, bersatu dan berkhidmat demi perjuangan UMNO, saranan itu ibarat ‘mengangkut air di dalam tapis santan’ - hanya sia-sia. Ahli-ahli di peringkat akar umbi akan mengalami kesukaran untuk berhadapan dengan rakyat bagi mempertahankan parti.

Pemimpin-pemimpin perlu bersikap terbuka dan berjiwa besar untuk menyelesaikan konflik yang berlaku.

Cukup-cukuplah berbalah!