Ini termasuklah banjir teruk yang membadai negeri itu beberapa hari lalu. Tak ada kerja lain. Perlakuan ‘pelik’ Guan Eng ini dijawab oleh Ketua Menteri Melaka, DATUK SERI IDRIS HARON kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL di ibu negara Ahad lalu.

UTUSAN: Guan Eng mendakwa punca banjir di Pulau Pinang beberapa hari lalu akibat dari hujan lebat yang melampau, dikatakan purata taburannya sebanyak 270 milimeter? 

IDRIS: Apabila Pulau Pinang dilanda banjir, beliau kata Kerajaan Pusat terlupa sedia peruntukan untuk menyelenggara dan selesaikan masalah banjir di Pulau Pinang. Kalau ada tahap pemikiran sedemikian, beliau hanya sesuai jadi ketua pembangkang. Seorang ketua menteri tidak boleh berfikir seperti ketua pembangkang.

Bukankah Melaka juga dilanda banjir tempoh hari, bagaimana kerajaan negeri kendalikan masalah ini?

Kerajaan negeri Melaka mempunyai pelbagai bentuk perancangan jangka pendek dan jangka panjang mengatasinya.

Ini termasuklah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) untuk penyelenggaraan longkang dan saliran oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan parit dan saliran.

Kita tak kata kita terlupa nak bajet. Kerajaan negeri bertanggungjawab walaupun pada sesetengah masa kita tidak boleh kawal kekangan cuaca itu sendiri.

Ramalan cuaca pun tidak begitu tepat dan kita tak jangka hujan lebat berlarutan hingga ke satu atau dua jam.

Di Melaka, kalau hujan berlarutan hingga tiga jam, pasti berlaku banjir. Kita tak pernah kata Kerajaan Persekutuan terlupa bajet kerana kita tak berfikir seperti ketua pembangkang tetapi kerajaan negeri.

Jadi, mengapa Guan Eng salahkan Kerajaan Persekutuan dalam isu banjir di negerinya?

Guan Eng suka tuding jari pada Kerajaan Persekutuan.

Ini salah satu cara berfikir yang hanya sesuai untuk jawatan ketua pembangkang, bukannya ketua menteri.

Sebab itu Pulau Pinang berdepan pelbagai bentuk masalah. Janji-janji tidak ditepati. Pembangkang gemar tabur janji tapi apabila sampai masa untuk laksanakan janji itu, dia akan kata, ini bukan kuasa kita. Ini kuasa Kerajaan Pusat.

Ada contohnya?

Isu pencerobohan Kampung Buah Pala di Bukit Gelugor, Pulau Pinang. Sebelum pilihan raya umum ke-12 (PRU-12), ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji tidak akan usik walaupun seincipun Kampung Buah Pala kalau menang PRU ke-12. Tetapi selepas dua tahun menang, mereka halau penduduk di kampung itu.

Akhirnya Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang selamatkan kampung ini. Semasa saya jadi Pengerusi SPNB, saya datang bersama Perdana Menteri (Jun 2012) serahkan kunci kepada 20 keluarga India yang merupakan bekas penduduk Kampung Buah Pala. Kesemua 20 keluarga itu mendapat sebuah rumah teres dua tingkat berharga RM250,000 yang dibina SPNB dengan dilengkapi tiga bilik tidur serta dua bilik air dan terletak di Taman Sejahtera Indah, Teluk Air Tawar.

Mana juga janji Guan Eng nak mansuhkan Tol Sungai Nyior, kini berjanji pula nak mansuhkan kutipan tol di Lebuh Raya Utara-Selatan dan tol Jambatan Pertama Pulau Pinang jika Pakatan Harapan menang pada PRU-14. Kemudian lari salahkan kerajaan pusat.

Sebab apa berlaku macam ini? Kerana Guan Eng dipagari kon­flik kekeliruan, pada masa sama dia berfikir dan bercakap sebagai ketua menteri dan ahli parlimen DAP. Akhirnya rakyat tersepit di tengah-tengah...menderita.

Baru-baru ini anak bekas Setiausaha Agung DAP, Kerk Kim Hock dilantik sebagai setiausaha politik Lim Kit Siang, bukankah sebelum ini ada isu Guan Eng tidak diterima di Melaka?

Tindakan Kit Siang melantik Kerk Chee Yee, 25, sebagai setiausaha politik baharunya menggantikan Dyana Sofya Mohd. Daud, saya mahu bertanya apakah ini untuk ‘mencuci dosa’? Ini termasuklah sebagai ‘pembelaan’ kepada Guan Eng untuk kononnya bertapak kembali di Melaka. Ini berikutan Guan Eng pernah ditolak mentah-mentah oleh DAP Melaka yang diketuai bekas ketua pembangkang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong dari DAP, Goh Leong San.

Guan Eng telah terpelanting keluar dari Melaka, lari ke Pulau Pinang dan menjadi ketua menteri. Kita maklum dari satu sudut Guan Eng terpelanting ke Pulau Pinang sebagai tactical withdra­wal. Bila dia keluar, dia berazam datang balik dan menakluki Me­laka. Gerakannya yang dikatakan diketuai Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh) nampaknya berjaya sehingga mengakibatkan empat Yang Berhormat tinggalkan DAP tempoh hari.