Ketika Anwar sedang menghitung hari di sebalik tirai besi, di luar pula, parti beliau yang kini bergabung bersama DAP, PPBM dan PAN dalam Pakatan Harapan sedang mengatur strategi bagi menumbangkan BN dalam PRU-14. Musuh ketat parti-parti pembangkang satu ketika dahulu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dinamakan sebagai calon Perdana Menteri jika mereka menang.

Dr. Mahathir dicalonkan sementara bagi menduduki jawatan yang menjadi idaman Anwar sekian lama de­ngan perjanjian ia akan diserahkan kepada bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh tersebut apabila mendapat pengampunan diraja. Bagaimanapun, sudah wujud ­keraguan dalam kalangan penyokong PKR sejauh manakah Dr. Mahathir akan mengotakan janjinya.

Keraguan terhadap Dr. Mahathir semakin meningkat dalam kalangan penyokong pembangkang apabila beliau menyatakan akan menjadi Perdana Menteri selama dua tahun. Melihat penguasaan bekas Perdana Menteri itu dalam Pakatan Harapan dengan sokongan kuat DAP, Anwar sebenarnya semakin dilupakan. Kelicikan politik Dr. Mahathir membolehkan beliau menutupi pengaruh Anwar yang sebelum ini menjadi calon nombor satu untuk menjadi Perdana Menteri.

Lagi pula, pejuang-pejuang reformasi dalam PKR sudah melupakan ‘dosa-dosa’ Dr. Mahathir terhadap mereka. Dr. Mahathir kini dilihat tokoh yang berada dalam kedudukan lebih baik berbanding Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

Dr. Mahathir sendiri sejak dicalonkan bagi jawatan itu tidak banyak bercakap mengenai Anwar kecuali cuba untuk melawat bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut di hospital baru-baru ini.

Justeru itulah sudah ada khabar dalam PRU-14, PPBM mahu memastikan mereka memenangi lebih ba­nyak kerusi Parlimen berbanding PKR. Walaupun mungkin tidak mampu menandingi pe­nguasaan DAP tetapi PPBM mahu menjadi parti kedua paling berkuasa dalam Pakatan Harapan.

Melalui cara itu ia akan membolehkan Dr. Mahathir membuat percaturan politik siapa pengganti beliau jika benar beliau mengotakan janjinya untuk menjadi Perdana Menteri sementara. PKR tidak harus bermimpi Anwar akan menjadi Perdana Menteri manakala Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bakal menjadi Timbalan Perdana Menteri. Dengan sokongan kuat DAP, bukanlah satu kejutan jika Dr. Mahathir memastikan Mukhriz menggantikan tempat beliau.

Atas sebab itulah Dr. Mahathir tidak mengambil kisah apa yang berlaku dalam PPBM. Beliau tahu jika PPBM tidak boleh bertanding menggunakan lambang parti tersebut, beliau dan calon-calon lain masih ada pilihan sama ada menggunakan lambang DAP, PKR mahupun PAN. Demi mahu memperdayakan orang Melayu, Dr. Mahathir tidak akan menggunakan lambang DAP. Tetapi tidak kira apapun lambang yang digunakan oleh calon-calon PPBM, yang pasti kalau mereka menang ia adalah kerusi PPBM.

Dengan keadaan DAP semakin selesa bergandingan dengan Dr. Mahathir dan keazaman PPBM untuk menjadi parti kedua memenangi paling banyak kerusi dalam Pakatan Harapan, tidak mustahil kesudahannya PKR dan Anwar akan dipinggirkan. Kalaupun nanti Anwar keluar penjara dan menuntut haknya, ia hanya akan menjadi bahan lawak.

Mungkin bimbang perkara ini, Mukhriz membuat kenyataan mempertahankan bapanya dengan menegaskan, Dr. Mahathir adalah seorang lelaki yang berpegang kepada kata-katanya, maknanya akan mengotakan janji.

Tetapi kalau melihat sejarah politik Dr. Mahathir, kalaulah penyokong-penyokong PKR mempercayai kenya­taan ‘Boboi’ itu, bersedialah untuk dikelentong oleh dua beranak berkenaan. Dalam keadaan Dr. Mahathir se­ring melakukan ‘pusingan U’ dalam tindakan politik­nya, adakah benar beliau berpegang kepada janji?

Kalau beliau berpegang kepada janji, berprinsip dan mempunyai kredibiliti, Dr. Mahathir tidak akan ‘me­nyem­bah’ DAP bagi mendapat pengaruh politik. Dr. Mahathir bersedia menarik semula segala kata-katanya kepada DAP termasuklah DAP parti rasis, tetapi pernahkah penyokong-penyokong PKR mendengar Dr. Mahathir membuat kenyataan terbuka menarik segala kata-kata dan tuduhannya terhadap Anwar. Kalau sekadar ‘me­minta maaf politik’ siapapun boleh!

Sebab itulah dalam kenyataan politiknya Dr. Mahathir dilihat tidak menyentuh soal Anwar, begitu juga pemimpin-pemimpin DAP. Mereka bagaikan tidak mahu orang mengingati Anwar sebaliknya menumpukan perhatian kepada pencalonan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. Kesudahannya Anwar semakin dilupakan untuk dirangkul bersama dalam usaha Pakatan Harapan diketuai DAP. Lagipun untuk menggunakan isu Anwar bagi tujuan kempen sudah tidak berguna lagi kerana orang yang dituduh menganiaya Anwar satu ketika dulu kini bersama pakatan tersebut. Begitu juga isu rasuah dan kekayaan anak-anak pemimpin BN. Mereka juga tidak layak membangkitkannya memandangkan sehingga ke hari ini persoalan bagaimana anak-anak Dr. Mahathir boleh kaya belum terjawab, biarpun itulah antara isu yang secara konsisten dibangkitkan oleh Anwar dan pemimpin-pemimpin pembangkang satu ketika dahulu.

Oleh kerana ia sudah tidak relevan lagi maka keadaan itu akan memudahkan lagi usaha Dr. Mahathir dan PPBM untuk memastikan penyokong-penyokong pembangkang tidak lagi mengingati Anwar.

Kesimpulannya, ‘tahniah’ kepada penyokong-penyokong PKR. Mereka sekadar berupaya memasang papan tanda dan sepanduk mengalu-alukan pembebasan Anwar pada 8 Jun nanti tetapi ia sudah ‘tidak laku’ untuk dijadikan modal politik kerana Dr. Mahathir ‘secara diam’ sekali lagi ‘sedang mengkafankan’ karier politik Anwar. Benar atau tidak, nilailah sendiri!