Sekiranya dilihat kepada kea­daan alam sekitar semasa, ia ­jelas memberi cerminan bahawa masyarakat kita masih gagal dalam menterjemahkan konsep kelestarian terhadap alam sekitar sebagaimana yang ditekankan ajaran Islam. Buktinya, sejak kebelakangan ini alam sekitar kian diancam dari pelbagai sudut di­sebabkan oleh aktiviti tidak beretika manusia sehingga mengakibatkan kelestariannya tergugat.

Sedangkan konsep kelestarian alam sekitar yang sebenar adalah memastikan keadaan dan segala komponen yang ada di dalamnya kekal terpelihara. Namun, sebaliknya berlaku apabila saban hari menyaksikan masyarakat kita semakin keliru dalam memahami hakikat sebenar kejadian alam sebagai ayat-ayat serta simbol kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Natijahnya, ia membawa kepada kegagalan melahirkan masyarakat minda kelas pertama terhadap aspek kelestarian alam sekitar, sekali gus gagal menzahirkan peranan selaku khalifah dalam memakmurkan bumi.

Contoh paling dekat, kegagalan sikap dan cara berfikir masyarakat terhadap alam sekitar dapat dilihat dengan jelas terutamanya dari aspek kebersihan dan permasalahan sampah di persekitaran kita tanpa adanya titik noktah.

Siapa yang harus dipersalahkan dalam isu ini? Bukan tiada usaha dilakukan oleh pihak kerajaan dalam mengatasi permasalahan ini. Sebagai contoh, salah satu usaha yang harus dipuji adalah langkah yang diambil oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang melakukan pemasangan perangkap pencemaran kasar atau Gross Pollutants Traps (GTP) di sepanjang lembangan Sungai Klang. Pemasangan GTP ini didapati banyak mengurangkan sampah ­pepejal yang terdapat di sungai berkenaan, sekali gus sedikit sebanyak membantu menjadikan sungai itu lebih bersih keadaannya berbanding sebelum pemasangan alat tersebut.

Namun demikian, pemasa­ngan peralatan ini semata-mata tidak akan mampu membantu dan memberi kesan maksimum dalam mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar sekiranya tidak disokong oleh masyarakat terutamanya dalam melakukan transformasi ke atas sikap serta cara berfikir bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan tamadun terjamin.

Ini memandangkan pencemaran yang berlaku adalah berpunca daripada tindakan masyarakat yang gemar membuang sampah di merata-rata tempat. Sudah tiba masanya masyarakat kita mengubah mentaliti ke arah yang lebih optimis agar mereka tidak sewenang-wenangnya membuang sampah. Sebaliknya, mereka perlu mempunyai rasa tanggungjawab terhadap aspek penjagaan alam sekitar dengan membuangnya secara lebih sistematik.

Sementelah, ajaran Islam sendiri sangat menekankan bahawa manusia mempunyai pe­ranan penting dalam menjaga kelestarian alam sekitar. Islam menuntut umatnya memelihara alam sekitar dengan sebaik-baiknya dan menegah kita daripada melakukan kemusnahan terhadapnya. Hal ini ditegaskan secara jelas dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi,” (Surah al-Baqarah, ayat 11). Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengurangi hak-hak orang ramai, dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di bumi,” (Surah as-Syu’ara, ayat 1).

Kita perlu menyedari Islam adalah agama yang meletakkan alam sekitar sebagai komponen penting yang tidak boleh dipisahkan daripada ke­imanan seseorang terhadap penciptanya Allah SWT. Mani­festasi yang menggambarkan tahap ­keimanan seseorang dapat dilihat daripada perilaku mereka selaku khalifah terhadap alam sekitar­nya.

Dalam konteks kelestarian alam sekitar, ilmu pengetahuan adalah tunjang yang penting ­kerana dengan adanya ilmu manusia akan lebih berfikiran terbuka, kritis dan celik pengetahuan dalam memastikan mutu alam sekitar kekal terpelihara. Peranan pakar-pakar alam sekitar juga sangat penting dalam mendidik masyarakat supaya memahami bahawa alam sekitar dan segala komponen yang ada di dalamnya adalah mempunyai hubung kait antara satu sama lain dalam memastikan keseimbangannya terus terpelihara.

Islam juga sangat menitikbe­ratkan akhlak dalam aspek pengurusan alam sekitar sebagai teras penting hubungan antara manusia, alam dan Tuhan. Dalam hal ini, akhlak yang mulia adalah akhlak yang membawa ke arah kebaikan dan keharmonian. Justeru, sifat-sifat mulia seperti kasih sayang, prihatin terhadap aspek kebersihan dan bertanggungjawab merupakan aspek yang perlu diutamakan dalam memastikan alam sekitar berada pada tahap terbaik.

Apatah lagi, konsep manusia selaku khalifah di atas muka bumi jelas menunjukkan bahawa alam sekitar adalah hak mutlak Allah SWT yang dianugerahkan kepada manusia sebagai amanah untuk dipelihara. Bahkan, perbuatan baik ataupun buruk terhadap alam sekitar akan dihisab oleh Allah SWT. Oleh itu, kita perlu memahami bahawa menjaga kelestarian alam sekitar adalah wajib dan satu ibadah kerana amalan ini dapat menjamin ke­sejahteraan hidup manusia dan juga kelestarian tamadun.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM.