* Shahrun Nizam, Muar.

UKE: Nabi SAW bersabda: Sekiranya terdapat sebatang sungai di hadapan rumah salah seorang daripada kamu, lalu kamu mandi di sungai itu lima kali setiap hari, adakah masih kekal kekotoran di badan kamu?

Mereka (para sahabat) menjawab: Tidak ada kekotoran yang kekal. Sabda Rasulullah SAW lagi: Begitulah juga solat lima waktu, Allah SWT menghapuskan dengannya dosa-dosa iaitu dosa-dosa kecil. 

 Begitulah kelebihan solat sedangkan berwuduk menggugurkan dosa apatah lagi jika dikerjakan solat. Sama ada solat fardu atau sunat pasti ada ganjarannya. Berkenaan solat ba’diyah dan qabliyah juga dikenali rawatib ialah solat sunat yang mengiringi solat fardu. 

Sunat rawatib terdiri daripada dua bahagian iaitu yang ditekankan pelaksanaannya (muakkad) dan yang tidak ditekankan pelaksanaannya (ghaira muakkad). 

Bagi solat sunat yang dikerjakan sebelum solat fardu dikenali sebagai qobliyah manakala bagi solat sesudah solat fardu dikenali sebagai ba’diyah. 

 Hikmah solat qobliyah adalah untuk menenangkan jiwa seseorang setelah melalui aktiviti kehidupan seharian yang ada kalanya terlalu sibuk hingga menyebabkan seseorang itu tidak mampu khusyuk.

 Manakala hikmah solat sunat ba’diyah bertindak bagi meyempurnakan apa-apa kekurangan yang mungkin wujud ketika melakukan solat fardu. Banyak hadis menerangkan kelebihan solat sunat ini. Antaranya Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang tetap mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas Zuhur sebanyak empat rakaat maka Allah akan mengharamkan dirinya dari api neraka” (H.R. Abu Daud & Tirmidzi)
 Pada solat sunat rawatib sebelum asar (qabliyyah) adalah dua hingga empat rakaat manakala selepas asar tidak ada rawatib ba’diyyah.  Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang solat sunat sebelum Asar empat rakaat maka Allah akan mengharamkan jasadnya dari api neraka” (H.R. At-Tabrani).

 

 Mengelak musibah 

Apakah itu musibah? Sebab saya selalu dengar orang kata, orang ditimpa musibah. Bagaimana caranya hendak mengelakkan musibah dan cara mengatasinya? Harap dapat beritahu jenis-jenis perkara yang berlaku yang boleh dikaitkan dengan musibah.
* Hary, Kuala Lumpur.

UKE: “Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raajiun.” Mereka itulah yang mendapat keberkahan yang sempurna dan rahmat dari Rabb mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-Baqarah: 155-157).

 Ayat tersebut jelas mengatakan bahawa adanya musibah dan kejadian musibah. Sebagai satu sunnatullah di atas muka bumi maka setiap kegembiraan akan ada juga kesedihan. 

Maka perkara yang menimbulkan kesedihan inilah dipanggil musibah. Mungkin ia kematian, kehilangan, kesakitan, ujian, kesusahan, kemiskinan, bala bencana, kecurian dan sebagainya. 

 Di anjur kepada kita untuk bersabar dengan setiap musibah dan diajar supaya mendekatkan diri kepada Allah. 

Bukan semua musibah itu adalah tanda kebencian daripada Allah malah kadang-kadang ujian itu untuk menaikkan darjat, menghapuskan dosa atau sebagai ujian keimanan. 

 Kadang-kadang musibah ini untuk menguji tahap ketakwaan seseorang dan supaya mengingatkan dia kepada Allah selepas jauh menyimpang. Kadang-kadang ia sebagai pembalasan Tuhan atas perbuatan keji yang dilakukan. 

 Apapun ujian ini pasti berlaku dan ia akan sampai di bawah ilmu Allah. Dan tidaklah Allah membebankan kita dengan sesuatu yang kita tidak mampu menghadapinya. 

“Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya...” (al-Baqarah: 286).

 Allah menguji dengan pelbagai ujian dan bentuk antaranya: “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (al-Baqarah: 155).

 Maka orang yang sabar, reda dan memandang baik musibah dan ujian daripada Allah akan mendapat kebaikan dan rahmat daripada Allah.

 
Lima kali takbir 

Apakah hukumnya solat sunat hari raya pada rakaat kedua dilakukan takbir sebanyak lima kali tidak termasuk takbir rukun. Adakah sah solat tersebut?
* Mat, Kuala Lumpur.

UKE: Memang rakaat kedua takbirnya lima kali.